doktor ronald mccoy malaysia

Sebagai seorang pelajar perubatan muda zaman selepas perang Malaya, Dr. Ronald McCoy membaca 'Hiroshima', laporan John Hersey yang diterbitkan pada tahun 1946, menceritakan pengalaman 6 individu menghadapi hidup selepas letupan bom atom. Tragedi itu memberi kesan besar pada beliau namun dia sedar dirinya tidak berdaya untuk menghalang kejadian seperti itu berlaku lagi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

"Memang saya tak nampak jalan untuk saya halang tragedi seperti itu," kata Dr.McCoy kepada wartawan The Straits Times.

Tak disangka, memang ada.

Satu dekad kemudian, Dr.McCoy menyertai IPPNW atau International Physicians for the Prevention of Nuclear War. Kerap berdepan dengan janji-janji palsu oleh Amerika Syarikat dan Rusia ketika bersama IPPNW, pengalaman yang dikutip membolehkan beliau bergerak sendiri dengan gerakan International Campaign to Abolish Nuclear Weapons (ICAN) sepuluh tahun lalu.

Pada 6 Oktober 2017, ICAN memenangi anugerah Nobel Keamanan, selepas PBB mengumumkan yang 122 negara telah menandatangani persetujuan untuk mengharamkan senjata nuklear daripada digunakan.

"Tidak ramai yang faham kesan perang nuklear," kata Dr.McCoy di kediaman beliau yang terletak di Petaling Jaya.

"Kita beranggapan, tidak mungkin berlaku gencatan senjata nuklear. Namun untuk setiap masalah manusia, pasti ada penyelesaiannya."

nagasaki atomic bomb 1945

Mempunyai latar belakang perubatan yang tinggi, Dr.McCoy berpengalaman menyambut kelahiran lebih 20 ribu bayi sebagai doktor di Malaysia. Menyaksikan sendiri proses kelahiran membuatkan rasa bertanggungjawab beliau untuk melihat kanak-kanak membesar dalam dunia tanpa senjata nuklear.

"Bayi generasi sekarang hidup dalam dunia yang penuh dengan senjata nuklear jadi, saya pikul tanggungjawab untuk berbuat sesuatu tentang isu ini," kata beliau. "Sebagai doktor, memang kami tak boleh buat apa-apa dalam perang nuklear, jadi pencegahan perang nuklear merupakan jalan bagi kami menyumbang tenaga."

Dr.McCoy percaya kunci utama penghapusan senjata nuklear mesti datang daripada negara yang mempunyai paling besar simpanan senjata nuklear sendiri - Amerika Syarikat.

"Jika US menyerahkan senjata mereka, semua negara lain akan turut serta. Perubahan mesti bermula dengan US."

Latar belakang Dr.McCoy memang sinonim dengan Malaysia. Ayahnya seorang penjawat awam dengan Malayan Railways. Dia membesar di Kuala Lumpur walaupun lahir di Seremban. Setiap hari dia berjalan kaki dari rumahnya ke sekolah di Pudu, kemudian berbasikal setiap hari setelah masuk ke Institut Victoria.

Mempunyai darah Anglo-Indian, Dr.McCoy mengakui ramai yang terkejut apabila mengetahui dia orang Malaysia. "Mungkin nama saya, warna kulit saya. Apa pun, saya 200% orang Malaysia!"

misil rusia

Beliau mengakui sukar untuk menghapuskan senjata nuklear secara total, tapi dia tetap berpandangan optimistik apatah lagi selepas PBB mula memperkenalkan langkah mengawal pemilikan senjata nuklear.

"Anda perlu berada di situ bila PBB mengumumkannya!" kata beliau, merujuk kepada pengumuman PBB berkenaan kawalan ke atas senjata nuklear. "Bila kita sudah berjaya mencapai tahap sifar nuklear, saya pasti saya tak akan berada di sini lagi. Namun sampaikan berita itu pada saya," kata Dr.McCoy sambil tersenyum.

Anugerah Nobel Keamanan itu akan disampaikan pada 10 Disember 2017 di Oslo, Norway. Dr.McCoy memberitahu, dia sudahpun merancang kehadirannya. Bagi meraikan usaha titik peluh beliau selama ini, memastikan generasi baru bebas daripada ancaman senjata nuklear yang mampu meragut jutaan nyawa sekelip mata.

Terjemahan artikel asal

Malaysian doctor founds anti nuke movement that wins Nobel prize




Hakcipta iluminasi.com (2017)