Sewaktu era kolonisasi suatu ketika dahulu, pembinaan projek trek kereta api merupakan cara yang efektif untuk membuka kawasan baru dan menghubungkan satu kawasan dengan kawasan yang lain. Sebagai contoh, projek Ekspres Lunatic oleh British yang telah membantu penerokaan negara Kenya dan kawasan-kawasan sekitarnya.

Di pinggir Salekhard, ibukota Wilayah Autonomi Yamal Nenets, Rusia dan di pinggir Bulatan Arktik, terletak kesan-kesan peninggalan projek kereta api Salekhard-Igarka yang terkenal suatu ketika dahulu. Projek ini juga mendapat jolokan "Railroad of Death" dan "Road of Death" berikutan jumlah kematian tinggi yang dicatatkan semasa pembinaannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sistem "Gulag" Soviet Union

sistem gulag 837

Perancangan asal projek ini adalah pembinaan trek kereta api sepanjang 1300 kilometer yang merupakan sebahagian daripada projek perhubungan Transpolar, iaitu sistem perhubungan untuk menghubungkan kawasan timur dan barat Siberia.

Projek pembinaan laluan kereta api ini malangnya tidak pernah disiapkan sepenuhnya. Malah, dilaporkan puluhan ribu pekerja buruh paksa dilaporkan terkorban bagi menyiapkan projek yang dianggap gila ini.

Sebahagian besar daripada pekerja yang dikerah ini datang daripada sistem Soviet yang dikenali sebagai "Gulag" dimana pesalah terdiri daripada rakyat biasa yang telah melakukan kesalahan politik. Kesalahan politik yang dimaksudkan ini termasuklah datang lewat ke tempat kerja, mengkritik kerajaan dan seumpamanya.

Mereka ini ditangkap dan dianggap sebagai musuh kepada rakyat. Pesalah dalam sistem Gulag ini akan dimasukkan ke kem tahanan dan dikenakan pelbagai penyiksaan yang tidak berperikemanusiaan. Apabila projek kereta api Salekhard–Igarka ini diumumkan, para pesalah ini telah dikerah sebagai buruh paksa.

Cita-cita menguasai Artik

kereta api salekhard igarka

Idea asal Joseph Stalin pada asalnya adalah membina sebuah pelabuhan di Salekhard yang terletak di Sungai Ob dan menghantar segala bekalan daripada kilang-kilang di bahagian Barat Siberia seperti kilang nikel di Norilsk melalui sistem pengangkutan laut.

Malangnya, terdapat kekangan memandangkan Sungai Ob terlalu cetek bagi membolehkan kapal kargo besar melaluinya. Sebagai alternatif, sebuah pelabuhan baru telah dibina di Igarka yang terletak di sungai Yenisey. Bagi menghubungkan Igarka dan Salekhard, maka penggunaan kereta api menjadi pilihan.

Walau bagaimanapun, tujuan pembinaan laluan kereta api ini bukanlah atas desakan ekonomi sebaliknya hanyalah cita-cita besar Joseph Stalin untuk menguasai Artik. Pada ketika itu, kilang-kilang di Siberia sudahpun dihubungkan dengan laluan kereta api di bahagian selatan dan kawasan Yamalo-Nenets pula terlalu terpencil dan tidak mempunyai sebarang permintaan yang tinggi.

Namun, projek pembinaan laluan kereta api ini tetap diteruskan dan dimulakan pada tahun 1947. Banduan-banduan daripada kem tahanan dapat memberikan Joseph Stalin sumber tenaga yang murah dan banyak. Dianggarkan seramai 80,000 hingga 120,000 buruh paksa telah dikerah untuk projek ini dan ada sumber mengatakan jumlahnya mungkin mencecah 300,000.

Persekitaran tempat kerja yang mencabar

projek salekhard igarka

Para pekerja yang terlibat dalam projek ini terpaksa berhadapan dengan keadaan persekitaran yang sangat mencabar. Suhu serendah -60 darjah selsius dan angin kuat sangat menguji fizikal mereka. Ketika musim panas pula, nyamuk dan pelbagai parasit lain telah menyebabkan penyebaran pelbagai penyakit dan menyebabkan kematian.

Bentuk muka bumi yang mencabar, kekurangan teknologi, masalah logistik dan bahan mentah menyebabkan projek ini gagal disiapkan. Projek ini dihentikan setelah kematian Joseph Stalin pada tahun 1953. Secara keseluruhannya, hanya 698 kilometer sahaja landasan yang sempat disiapkan.

Tidak dapat dipastikan berapakah jumlah pekerja yang mati sewaktu pembinaan landasan kereta api ini memandangkan tiada rekod yang ditemui. Walau bagaimanapun, sesetengah pihak menganggarkan jumlahnya mungkin satu pertiga daripada keseluruhan pekerja yang terlibat.

Pada tahun 2010, satu bahagian landasan kereta api ini yang menghubungkan Igarka dan Norilsk sepanjang 220 kilometer telah dibangunkan semula menggunakan laluan asal. Usaha ini bagi keperluan industri nikel dan petroleum dan laluan ini telah dibuka semula pada tahun 2015.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. BBC News
  3. The Mirror



Hakcipta iluminasi.com (2017)