5 perkara yang dahulunya dianggap pelik

Memperkenalkan sesuatu yang baru, walau sebaik mana pun niat dan idea kita - pasti akan mendapat tentangan pihak-pihak tertentu.

Ini kerana minda manusia secara amnya takutkan perubahan dilakukan ke atas sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan atau rutin, dalam hidup kita. Dalam sejarah, wujud beberapa situasi di mana sesuatu idea itu boleh dikatakan melangkaui zaman tetapi pada mendapat reaksi negatif masyarakat zaman tersebut.

Idea-idea ini kini mungkin boleh dikatakan satu kebiasaan, tetapi pada awalnya memang berdepan kesukaran. Berikut adalah lima idea yang cuba dipopularkan, namun berdepan kritikan, kutukan dan tohmahan kerana cuba mengubah amalan kebiasaan.

1. Membasuh tangan dengan air

amalan membasuh tangan

Sukar untuk mengerti satu ketika dulu, idea mudah seperti membasuh tangan bagi mengelakkan jangkitan berlaku akan berdepan kritikan masyarakat, bukan?

Itulah yang berlaku kepada Dr. Ignaz Semmelweis selepas dia mencadangkan kepada pihak perubatan idea itu, selepas mendapati kadar kematian wanita-wanita semasa bersalin adalah disebabkan jangkitan daripada petugas-petugas perubatan yang tangannya tercemar.

Bukan sekadar dikutuk, malahan Dr. Semmelweis juga dibuang kerja kerana dilihat cuba meletakkan beban kesalahan kematian pesakit-pesakit itu, ke bahu petugas perubatan yang mengendalikan kes-kes kelahiran. Nak tahu kisah tentang doktor malang ini? Kami sudah menerbitkan artikel tentang beliau.

2. Menggunakan payung ketika hujan

jonas hanway payung umbrella

Zaman sekarang, idea menggunakan payung bagi melindungi diri daripada hujan atau panas terik matahari merupakan satu perkara biasa.

Bagaimanapun, tidak lama dahulu sekitar abad ke 18 stigma berkenaan penggunaan payung masih lagi dikaitkan dengan jantina wanita sahaja. Ini tetap berlaku walaupun payung sebenarnya mempunyai sejarah dan evolusi yang sangat panjang, dalam tamadun manusia.

Seorang lelaki bernama Jonas Hanway yang tinggal di London sekitar tahun ke 1750, membawa pulang sebuah payung yang diperolehinya dari Perancis. Setiap kali dia menggunakannya, Hanway akan dicerca dan dibaling dengan sampah - kerana payung merupakan satu simbol feminin yang lebih mirip dengan kewanitaan pada zaman tersebut.

3. Penggunaan komputer

wanita takut guna komputer

Tidak dapat dinafikan satu masa dulu, komputer-komputer yang ada dibangunkan dengan menggunakan teknologi yang masih layak dikatakan sebagai sensitif.

Jadi stigma dan ketakutan masyarakat dunia terhadap komputer terus dipegang walaupun pada sekitar era 1980-an, komputer peribadi sudah mula dibangunkan untuk digunakan di rumah.

Pada ketika inilah satu 'wabak ketakutan' melibatkan penggunaan komputer mula menyerang masyarakat dunia, disebabkan oleh rasa bimbang mahu menggunakan komputer. Ada juga pihak yang membantah sekeras-kerasnya penggunaan komputer disebabkan risau komputer akan menggantikan mereka.

Fenomena yang berlaku selama lebih 3 dekad itu diklasifikasikan sebagai 'computerphobia' atau takut kepada komputer.

4. Memasang radio dalam kereta

radio kereta lama pemain kaset

Perbincangan berkenaan tahap keselamatan pemanduan akibat gangguan radio dalam kereta, sehingga ke hari ini masih dibincangkan - apatah dengan pengenalan skrin sentuh yang memang layak dikatakan satu bentuk gangguan berisiko pada pemandu.

Fobia terhadap radio kereta ini sebenarnya sudah pun muncul semenjak pengenalan radio yang dipasang dalam kereta lagi. Oleh sebab itulah beberapa negeri di Amerika Syarikat memperkenalkan larangan kepada orang ramai daripada memasang radio di dalam kereta.

Diperkenalkan pada tahun 1922, radio kereta pada awalnya dikritik mampu mengalihkan perhatian pemandu, daripada mampu fokus pada tugasnya untuk memandu. Bagaimanapun, beberapa dekad selepas itu perubahan pada rekaan dan cara pengawalan radio membantu meredakan kebimbangan orang ramai, menyebabkan radio kereta menjadi satu kemestian dalam setiap kereta.

5. Meminum susu lembu yang dipasteurkan

proses pasteur susu segar

Tidak lama dahulu, sekitar 120 tahun yang lepas masyarakat antarabangsa masih membincangkan tentang kebaikan dan keburukan merebus susu lembu, kerana masyarakat zaman tersebut percaya memasak susu terlebih dahulu sebelum diminum, akan menyebabkan berlakunya kekurangan zat pada peminumnya.

Perbincangan ini pula, terus berlaku selepas beberapa dekad proses pempasteuran susu diperkenalkan oleh Louis Pasteur dalam usaha membunuh kuman-kuman yang terkandung dalam susu.

Keengganan meminum susu yang telah dipasteurkan merupakan satu ketakutan yang biasa pada zaman tersebut, walaupun sudah dilaporkan susu yang diperolehi daripada lembu merupakan perumah kepada kuman-kuman yang menyebabkan demam kepialu, difteria serta penyakit kolera. Kadar kematian bayi pula dilaporkan berada pada tahap 240 untuk setiap 1,000 orang hanya disebabkan keracunan susu.

Mereka yang menentang pempasteuran susu percaya proses tersebut menyebabkan orang ramai tidak lagi dapat menganggarkan kualiti susu dan khasiat yang ada dimusnahkan oleh haba yang digunakan.

Rujukan

(3) When People Feared Computers

(5) The Lingering Heat over Pasteurized Milk



Hakcipta iluminasi.com (2017)