Di Australia telah diperkenalkan undang-undang untuk membenarkan 'lane filtering.'
Sebelum ini di Australia, lane splitting atau filtering ini tidak dibenarkan. Penunggang motorsikal perlu beratur sama seperti kereta di atas jalan tanpa boleh menyelit di celah-celah kenderaan walaupun dalam keadaan trafik sesak.
Jika di negara kita, gelaran yang digunakan untuk 'lane splitting' dalam bahasa mudahnya, menyelit dan cilok-cilok di antara kereta. Lane filtering atau lane splitting ini perlu dijelaskan adalah tindakan penunggang motorsikal memandu di dalam ruang di antara kereta.
BESARKAN TEKS A- A+
Situasi itu kita boleh nampak hari-hari berlaku. Budaya cilok-mencilok di negara seolah sudah jadi satu budaya yang dibiasakan hanya kerana perkara itu dah berakar umbi. Walaupun begitu, adalah tidak elok untuk membiarkan amalan biasa ini terlalu berlangsung tanpa ada sebarang kawalan untuk mengelakkan tragedi berlaku.
Ada beberapa idea yang elok untuk kerajaan kita ambil dan laksanakan di negara kita, kerana jelas tidak ada peraturan ketat yang mengawal amalan cilok-mencilok ini di sini.
1. Perlunya ada peraturan khas untuk mengawal aksi menyusur
Kita tidak ada panduan khas untuk mengamalkan lane splitting.
Asalkan jalan sesak sahaja, lane splitting akan dilakukan. Walaupun tengah memandu laju pun, lane splitting akan berlaku kerana kita sudah biasa.
Di Australia, lane splitting hanya dibenarkan jika motorsikal bergerak dalam kelajuan tidak melebihi 30km/j.
2. Hanya pemandu yang mempunyai lesen penuh dibenarkan lane splitting
Di Australia, bagi pemandu yang tidak mempunyai lesen penuh dan masih lagi dalam lesen latihan, mereka tidak dibenarkan melakukan lane splitting.
Ini kerana pemandu yang masih dalam lesen L tidak mempunyai kemahiran yang cukup untuk melakukan navigasi yang baik.
Di Malaysia tidak ada larangan seperti itu. Sesiapa pun boleh buat.
3. Tidak dibenarkan menyelit di kawasan sekolah
Akta baru di Australia ini mengawal kaedah lane splitting ini dari dilakukan di kawasan sekolah, khasnya jalan yang berada di bahagian depan sekolah.
Ketika melintasi kawasan sekolah, pemandu motorsikal perlu mengikut turutan trafik sama seperti kereta tanpa dibenarkan mereka menyelit di celah kereta.
Tujuannya jelas untuk mengurangkan risiko kemalangan.
4. Tidak dibenarkan menyelit di sebelah jalan tempat letak kereta
Pernah tak anda parkirkan kereta di tepi jalan, anda menghadapi kesukaran untuk keluar dari kawasan parkir kerana pandangan anda terlindung?
Kemudian anda terpaksa ke belakang sedikit demi sedikit dan mengharapkan agar pemandu dan penunggang motorsikal perasan anda sedang mengundur ke belakang?
Insiden ini selalu berlaku dan masalahnya, jika ada kereta berhenti memberikan laluan, motorsikal pula tidak berhenti dan akan terus berjalan.
Ini adalah salah satu larangan yang diperkenalkan di Australia untuk mengelakkan kes pemandu melanggar motorsikal yang menyelit.
5. Tidak dibenarkan menyelit di sisi kenderaan berat
Penunggang motorsikal di Australia tidak dibenarkan untuk menyelit di tepi kenderaan berat.
Jika mereka berada dalam keadaan kelajuan tidak lebih 30km/j dan di depan mereka terdapat kenderaan berat, mereka perlu berhenti tanpa menyelit untuk melepasi kenderaan berat tersebut.
6. Tidak dibenarkan menyelit di tepi jalan yang mempunyai ruang pejalan kaki
Untuk mengelakkan pelbagai masalah, penunggang di Austrlia tidak dibenarkan untuk menyelit di bahagian tepi ruang pejalan kaki yang selalunya berada di bahu jalan.
Mereka hanya boleh menyelit di bahagian tengah di antara kereta apabila terdapat ruang pejalan kaki di bahu jalan.
Tujuannya jelas, ini untuk melindungi keselamatan pejalan kaki. Kes jenayah ragut juga dapat diminimakan serta risiko motorsikal melanggar pejalan kaki menurun.
Langkah Australia yang baik untuk ditiru
Sila rujuk gambar di atas, nampak tak perbezaannya berbanding dengan amalan yang dilakukan di negara kita? Betapa berbezanya penekanan mereka berbanding kita dalam mendidik pemandu dan penunggang.
Amatlah baik agar negara kita dapat mengkaji pelaksanaan yang sama supaya kita dapat mengawal jumlah kecelakaan yang menimpa penunggang motorsikal, khasnya.
Cuma persoalannya, adakah masyarakat sudah bersedia untuk menerima perubahan seperti itu yang mampu membuatkan "kemudahan" yang telah wujud dan telah diamalkan, diubah atas kesenangan bersama?
Wallahuallam. Ini adalah satu idea yang sepatutnya kita cuba perkenalkan kepada masyarakat kita, pada pendapat saya.
Rujukan