Setiap minggu ada saja berita yang dilaporkan oleh media tempatan kita, berkenaan mangsa-mangsa taktik penipuan yang dikenali sebagai 'Macau Scam.'

Lebih malang jumlah yang dikatakan berjaya dikebas individu-individu tidak bertanggungjawab ini bukannya kecil-kecilan; sebaliknya melibatkan jumlah puluhan ribu hingga jutaan ringgit kerugian mangsa.

Apa yang hebat sangat berkenaan 'Macau Scam' sehingga berjaya memperdayakan begitu ramai orang?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kenapa namanya 'Macau Scam'?

rampasan macau scam

Tidak jelas kenapa taktik penipuan ini dinamakan sebagai 'Macau Scam' namun banyak pihak mengatakan punca namanya dilabelkan sedemikian rupa - adalah disebabkan dua pendapat.

Yang pertama - sindiket yang beroperasi menjalankan modus operandi ini datang dari Macau. Yang kedua pula menyebut, mangsa pertama kaedah penipuan ini datang dari Macau.

Kedua-dua pendapat tidak dapat dibuktikan secara sahih pada awalnya, namun ucapan yang dilakukan oleh Presiden Polis Antarabangsa (Interpol) Khoo Boon Hui dari Singapura pada tahun 2012 semasa Persidangan Eropah yang dianjurkan di Tel Aviv, Israel mampu menjawab asal-usul nama penipuan ini.

Bercakap mengenai sindiket jenayah antarabangsa, Boon Hui menceritakan berkenaan sekumpulan penjenayah yang di tahan di Malaysia, selepas 8 bulan berjaya melakukan operasi jenayah mereka - sebelum berjaya di tahan di lapangan terbang oleh pihak berkuasa negara kita, semasa cuba melarikan diri.

Presiden Interpol ketika itu jelas menamakan Macau sebagai pusat titik mula operasi sedemikian rupa, sebelum gerakan itu melarikan diri beroperasi di Malaysia, Kemboja, Indonesia, Filipina dan Thailand bagi mengurangkan risiko diberkas.

Bagaimanapun, dalam tangkapan yang berjaya dilakukan itu polis kita terpaksa melepaskan pesalah untuk dihantar pulang ke negara masing-masing, disebabkan oleh bidang kuasa tangkapan mereka terhad.

Ini disebabkan mangsa-mangsa penipuan itu sendiri bukanlah rakyat Malaysia mengehadkan kuasa untuk mendakwa dan menghukum - walaupun tangkapan sudah dibuat.

Taktik licik manipulasi sistem diplomatik

bilik operasi macau scam

Pendedahan berkenaan sistem jenayah terancang ini menurut Boon Hui, agak mengejutkan kerana sindiket terbabit bijak menggunakan lompong-lompong hubungan antarabangsa bagi membolehkan mereka tidak mudah diberkas.

Sindiket akan menempatkan 'petugas-petugas' mereka di negara tertentu yang akan mensasarkan mangsa di negara lain yang tidak mempunyai hubungan diplomatik antara kedua negara.

Kelompongan ini mengurangkan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan yang berjaya memberkas mereka, kerana ketiadaan kuasa yang cukup untuk melakukan dakwaan; seperti apa yang terjadi kepada tangkapan polis negara kita.

Dalam memastikan gerakan mereka tidak terhenti walaupun ada kumpulan yang diberkas, sindiket akan mewujudkan dua atau lebih kumpulan operator serentak yang akan beroperasi tanpa menyedari kewujudan mereka satu sama lain.

Seandainya satu diberkas, mereka dengan segera akan mewujudkan satu lagi kumpulan lain sebagai ganti dan hubungan antara kumpulan operator ini, hanya diketuai oleh dalang-dalang utama sindiket - yang dipercayai berakar di Taiwan.

Kaedah-kaedah biasa penipuan Macau Scam

sindiket macau scam

Ada banyak kaedah digunakan dalam mengaburi mata mangsa agar terpukau untuk mengeluarkan dana simpanan mereka.

Taktik sindiket Macau Scam boleh dikategorikan kepada empat selalunya. Yang pertama adalah panggilan yang menyatakan anda telah memenangi sesuatu.

Kedua dan yang agak popular adalah taktik penyamaran, di mana operator akan menyamar sebagai peguam, pegawai polis atau pegawai agensi yang akan mendakwa anda telah terlibat dalam aktiviti kurang elok.

Ketiga adalah taktik di mana anda dikatakan mempunyai hutang seperti bil atau bayaran kad kredit tertunggak yang perlu dijelaskan segera.

Ada juga sindiket Macau Scam yang menggunakan ugutan culik, biasanya menamakan individu ahli keluarga sedang berhadapan risiko bahaya namun taktik ini kurang kerap didengari.

Dalam taktik terbaru yang dibongkar pada Julai 2020, polis Malaysia berjaya mengenalpasti sindiket Macau Scam yang cuba memperdayakan mangsa mereka untuk memuat turun aplikasi telefon.

Dengan menyamar sebagai pegawai berkuasa, operator akan meminta mangsa memuat turun aplikasi tersebut yang akan bertindak sebagai pintu belakang bagi sindiket mendapatkan maklumat yang mereka ingini - hanya dengan melalui telefon pintar.

Kutipan besar Macau Scam

macau scam bilik operasi thailand

Walaupun sudah berjaya diberkas, ditahan dan dihentikan - sindiket Macau Scam nampaknya tidak pernah berjaya dikekang kegiatannya, berikutan taktik yang sudah kami nyatakan di atas.

Laporan polis di negara kita ada menyebut dalam tempoh 11 bulan sahaja sindiket ini berjaya memperdayakan 99 mangsa dari Januari hingga November 2019 - pada jumlah RM3.7 juta. Cukup besar bukan angka itu? Ada yang lebih teruk.

Pada bulan Jun tahun 2020, seorang pesara berusia 90 tahun ditipu sindiket sehingga mengalami kerugian, kerana percaya dia sedang didakwa atas tuduhan terlibat dalam gerakan penyeludupan wang.

Takut ditangkap, dia memindahkan wang jaminan ke tujuh akaun bank berbeza semuanya berjumlah RM3.83 juta!

Seorang lagi pesara wanita berusia 76 tahun hilang RM1.84 juta wang simpanannya selepas ditipu taktik sama pada bulan Ogos 2020.

Demi mengelakkan dirinya diberkas, wanita warga emas itu menggunakan semua simpanannya dalam Tabung Haji, wang wasiat peninggalan ibunya, menjual semua barang kemasnya serta meminjam dari adik beradiknya secara hutang.

Nasihat kami - beringatlah agar semua urusan rasmi berkaitan apa saja agensi baik kerajaan mahupun swasta, jarang sekali diuruskan hanya melalui panggilan telefon.

Jadi sebelum anda memindahkan dana ke akaun-akaun yang meragukan, cuba lakukan carian dalam internet atau lebih baik, dapatkan nasihat dari individu yang anda percayai.




Hakcipta iluminasi.com (2017)