Terletak pada ketinggian 4,090 meter dari paras laut, Potosi merupakan salah satu pekan tertinggi di dunia. Akan tetapi, ia bukanlah satu-satunya perkara yang menakjubkan mengenai pekan di kawasan pergunungan Bolivia ini. 

Di pekan ini juga terletaknya Cerro Rico (Gunung Kaya) juga dikenali sebagai Cerro Potosi (Gunung Potosi) atau Sumaq Urqu pada ketinggian 4,782 meter dari paras laut. Ia merupakan salah satu gunung yang terdapat di kawasan pergunungan Andes.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada sesuatu yang berbeza mengenai gunung ini, seolah-olah ia diukir oleh tangan manusia. Pada hakikatnya, itulah yang berlaku kerana selama berabad-abad lamanya gunung ini menjadi sumber terbesar perak di dunia. Penduduk tempatan mendakwa bahawa Gunung Potosi ini sebenarnya "diperbuat" daripada perak.

huayna capac

Huayna Capac, Raja Inca ke-11

Terdapat legenda tentang bagaimana gunung ini mendapat namanya. Kisah itu berlaku pada tahun 1462 apabila Huayna Capac, raja ke-11 empayar Inca melakukan lawatan di sekitar tanah jajahannya dan terlihat Gunung Potosi ini.

Raja kemudian memberitahu rakyatnya bahawa gunung ini mungkin mengandungi banyak perak dan memerintahkan mereka untuk melombongnya. Apabila mereka cuba menggali dan mengumpulkan perak seperti yang diarahkan, terdengar satu letupan besar seperti bunyi guruh yang menggegarkan seluruh gunung itu.

Para pelombong yang takut kemudian kembali dan memberitahu raja mereka mengenai apa yang berlaku dengan menggunakan perkataan "potocsi" (bising) untuk menggambarkan bunyi yang kuat itu.

lukisan cerro del potosi

Raja Huayna Capac kemudian mengarahkan agar segala kerja menggali dan melombong perak dihentikan. Raja berkata bahawa gunung itu harus ditinggalkan sendirian kerana amaran itu bermaksud ia kepunyaan "pemilik" lain.

Kisah sebenar perlombongan di Potosi ini bermula pada kurun ke-16 apabila penjajah Sepanyol menemui gunung itu dan melihat potensinya yang besar, kira-kira 80 tahun selepas Raja Huayna Capac menjumpainya.

Tidak lama selepas itu, pekan Potosi menjadi aktif semula. Pekan perlombongan kecil Potosi ini mula diasaskan pada tahun 1545 dan akhirnya berkembang menjadi sebuah penempatan yang besar dengan populasi sekitar 200,000 orang penduduk. Kebanyakan penduduk di situ terdiri daripada orang asli pergunungan Andes yang bekerja sebagai pelombong.

potosi 2

Selepas itu Potosi mula menjadi rumah kepada para pelombong perak dari Sepanyol dan mungkin yang pertama di Benua Amerika. Keadaan ini kekal sebegitu selama berabad-abad lamanya.

Pelombong perak di pekan itu menjadi sangat kaya kerana dianggarkan 60 peratus perak di dunia pada kurun ke-16 datangnya dari Potosi. Pekan ini menjadi begitu penting kepada rakyat Sepanyol sehingga mendapat tempat dalam budaya popular mereka pada masa itu.

Seorang penulis paling hebat dalam sejarah Sepanyal iaitu Miguel de Cervantes pernah menyebutkan dalam novel terkenalnya berjudul Don Quixote, bahawa Potosi adalah sebuah tempat yang memiliki kekayaan luar biasa.

miguel de cervantes

Miguel de Cervantes

Pekan Potosi menjadi bandar kedua terbesar di Benua Amerika ketika itu kerana kandungan mineralnya. Proses penghasilan perak di Potosi adalah sangat murah kerana penjajah Sepanyol telah mempergunakan penduduk tempatan untuk melakukan pelbagai kerja keras untuk mereka.

Para pelombong tempatan melakukan pekerjaan paling teruk ketika itu dengan sejumlah besar daripada mereka mati di lombong kerana pneumonia, tanah runtuh atau keracunan merkuri semasa proses penapisan.

Selain pekerja yang digelar "mitayos" (pekerja yang dilayan seakan hamba abdi), terdapat juga pekerja yang digelar sebagai "mingas" iaitu mereka yang bekerja di bawah kontrak. Namun, kebanyakan pekerja tempatan terdedah kepada pelbagai bahaya dan mempunyai jangka hayat yang pendek.

para pelombong potosi kurun ke 16 297

Kerana jumlah kematian yang semakin meningkat di lombong Potosi, penjajah Sepanyol mula membawa masuk sekitar 2000 orang hamba Afrika setiap tahun sebagai tenaga buruh pengganti bermula dari tahun 1603.

Difahamkan sekitar 30,000 orang hamba Afrika yang telah dibawa masuk ke Potosi dan kebanyakan daripada mereka juga telah terkorban. Kerana angka kematian yang tinggi itu, Cerro Potosi juga dikenali sebagai "Gunung yang memakan manusia".

Untuk menambah ketakutan kepada para pelombong bagi menjadikan mereka lebih produktif, penjajah Sepanyol mula menakut-nakutkan mereka dengan ugutan. Penjajah Sepanyol memberitahu pelombong miskin bahawa sekiranya gagal bekerja dengan baik, syaitan akan mengambil mereka.

tempat pemujaan lombong potosi

Salah satu patung pemujaan El Tio dalam lombong perak

Walau bagaimanapun, pelombong tempatan telah menukar ugutan syaitan itu kepada satu bentuk kekuatan. Di dalam kawasan lombong, mereka mendirikan tempat pemujaan dan melakukan ritual korban dan percaya "syaitan" atau mereka gelar sebagai dewa "El Tio" itu akan membantu mereka untuk mendapatkan hasil yang lebih banyak.

Golongan diraja Sepanyol merupakan penerima keuntungan terbesar daripada perak yang dihasilkan di Potosi. Mereka mengumpul perak yang dilombong dan mengenakan cukai kepada semua usahawan Sepanyol yang ingin melombong di situ.

Dianggarkan lebih daripada 60,000 tan perak yang digali dari lombong Potosi sehingga tahun 1996 (walaupun lombong itu masih digunakan sehingga hari ini). Selain perak, Cerro Potosi juga kaya dengan zink dan bijih timah.

aktiviti melombong di potosi

Apabila "demam perak" mula perlahan dan permintaan untuk perak di seluruh dunia juga semakin berkurangan selepas tahun 1800-an, para pelombong di Potosi bertukar kepada melombong bijih timah pula.

Sehingga hari ini tiada apa yang berubah di Potosi. Para pelombong masih lagi menggali telaga serta terowong dan keadaan kerja juga masih sama. Kini terdapat kira-kira 15,000 orang yang mempertaruhkan nyawa mereka di Potosi setiap hari.

potosi 3

Credit photo TalesFromTheLens

Mereka bekerja tanpa perlindungan yang betul, terdedah kepada bahaya serta risiko keracunan debu dan gas beracun. Apa yang berbeza ialah hasil galian mereka tidak lagi pergi kepada mahkota Sepanyol. Kini pekerja bekerja sendiri atau secara berkumpulan.

Cerro Potosi telah diisyiharkan sebagai tapak warisan dunia UNESCO dan kekal dikenali sebagai simbol ketamakan manusia untuk wang dan kuasa. Demi mencapai kepentingan peribadi, seluruh gunung itu pasti akan habis digali.

Rujukan:

1. The Guardian

2. Cultural Survival

3. Searching In History




Hakcipta iluminasi.com (2017)