Kredit foto: New Straits Times

Aktor dan sutradara Sabri Yunus tidak menolak kemungkinan kemunculan sekual Pok Ya Cong Cedei, telefilem yang menjadi fenomena baru-baru ini.

Sabri, 57, berkata, beliau bakal bertemu dengan pihak Astro pada 15 Februari ini untuk perbincangan susulan.

"Belum jadi lagi tetapi perbincangan ke arah itu memang ada malah saya akan bertemu dengan pihak Astro bagi membincangkan mengenai perkara itu.

"InsyaAllah kalau tiada halangan dan betul hal tujunya pasti akan ada Pok Ya Cong Codei 2," katanya kepada Mstar Online.

Telefilem Pok Ya Cong Codei yang disiarkan pada 20 Januari lalu berkisar tentang watak Pok Ya, samseng dari Kelantan yang datang ke Kuala Lumpur untuk mencari anak seorang Datuk yang dilarikan.

Selain Sabri, telefilem itu juga mengetengahkan Mustapha Kamal, Uqasha Senrose dan Fikry Ibrahim sebagai pelakon.

Sementara itu, Sabri berkata, dia tidak tertekan untuk penghasilan versi baru karya itu meskipun harapan penonton yang tinggi.

Apa yang lebih penting, anak jati Kelantan ini mahu menumpukan kepada kandungan cerita sekaligus enggan terikat dengan kejayaan versi pertama.

"Apa sahaja boleh berlaku dalam jalan cerita sekual itu nanti dan saya tidak mahu berfikir tentang kejayaan diraih sebelum ini sebaliknya fokus dengan apa yang ingin saya ketengahkan.

"Ia boleh jadi diterima baik atau sebaliknya dan perkara itu saya tidak dapat diramal cuma paling penting sebagai penulis, pengarah dan pelakon saya perlu berikan yang terbaik," katanya.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)