Kredit foto: timuncina.com

Selepas fenomena karya 'Pok Ya Cong Codei' arahan dan lakonannya sendiri, artis versatil Sabri Yunus kini dalam pembikinan sambungan telefilem berkenaan. 

Kesinambungannya, 'Pok Ya Cong Codei Raya' bakal ke udara pada Aidilfitri ini.

Sabri yang menganggap 'Pok Ya' menjadi jenama baharunya dalam dunia hiburan, masih melakonkan watak berkenaan yang juga kekal sebagai bintang utama versi terbaru itu.

Untuk info, Pok Ya adalah seorang penghulu ‘gedebe’, dalam dialek Kelantan membawa maksud samseng.

Menurut Sabri, plot kesinambungan kali ini berkisar tentang persediaan Pok Ya dalam menyambut hari raya bersama keluarga selepas ditinggalkan isteri muda sebagaimana yang dipaparkan dalam telefilem terdahulu.

"Ia menceritakan Pok Ya kembali kepada pangkuan isteri dan anak yang diabaikannya sebelum itu.

'’Isteri dan anak Pok Ya ini adalah watak baharu yang akan diperkenalkan dan saya sudah mengenalpasti beberapa 'anak Kelantan' untuk melakonkannya,” katanya kepada Bernama sebagaimana dilaporkan Harian Metro, selepas diundang sebagai tetamu ‘Nine11’ yang diterbitkan Bernama News Channel di Kuala Lumpur pada Rabu.

Telefilem Pok Ya Cong Codei yang menjadi tular selepas ditayangkan di kaca televisyen pada 20 Januari lalu mengisahkan tentang seorang samseng berusia daripada Kelantan yang diberi tugasan untuk mencari anak ahli perniagaan di ibu kota.

Selain jalan cerita yang menarik, telefilem yang menggandingkan Mustapha Kamal, Uqasha Senrose dan Fikri Ibrahim itu mengundang perhatian kerana ungkapan 'Cong Codei' itu sendiri yang menjadi ikutan sekaligus trending di media sosial.

Antara pelakon yang bakal menjayakan Pok Ya Cong Codei Raya termasuk Sasqia Dahuri (Nurlisasqia Ahmad Dahuri), pelawak Issey (Fazlisham Mat Hussin) dan aktor karismatik Wan Hanafi Su.

Sabri masih mengekalkan set penggambaran yang berlatarkan kawasan negeri Kelantan dan Temerloh, Pahang.

Sementara itu, aktor berusia 57 tahun ini akui terkejut apabila karya pertamanya sebelum ini menjadi fenomena sejurus ditayangkan di televisyen.

"Kejayaan telefilem ini menaikkan semangat untuk terus berkarya dan semestinya sebagai seorang anak seni saya mempunyai keinginan melakonkan pelbagai lagi watak serta mengetengahkan variasi karya dalam dunia seni," katanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)