Oleh pada 28 Oct 2021 kategori

Walaupun jauh berbeza dalam banyak perkara, tamadun purba juga menghadapi masalah yang hampir sama dihadapi kerajaan pada masa kini. Selagi wujudnya manusia maka begitu jugalah dengan jenayah.

Empayar purba juga mempunyai pasukan polis atau penguatkuasa sendiri bagi mengawal keadaan ketika itu. Berikut adalah penguat kuasa purba yang popular dalam sejarah.

1. Paqudu - Babylon

babylon

Kerajaan Babylon ketika tamadun Mesopotamia terkenal dengan Kod Hammurabi iaitu senarai pertama mengenai jenayah dan hukuman yang dicipta. Undang-undang ini diukir pada sebuah batu, dianggarkan pada kurun ke-10 SM (1000 SM).

Ketika kerajaan Babylon semakin maju pada kurun ke-6 SM, kestabilan undang-undang dan peraturan adalah sangat perlu. Penduduk tempatan biasanya akan melantik pasukan yang dinamakan sebagai Paqudu untuk mengawal kota mereka.

Tugas mereka juga tidak jauh berbeza berbanding polis pada hari ini. Mereka menyiasat kes kecurian, perbalahan dan mencari bahan bukti untuk perbicaraan.

2. Medjay - Mesir

medjay

Penduduk Mesir purba mempunyai matlamat untuk hidup dalam keharmonian yang dipanggil Ma'at. Namun, mereka memerlukan penguasa undang-undang untuk mengekalkan keharmonian itu.

Penjaga keamanan terawal tamadun Mesir mengawal keamanan di tempat awam menggunakan kayu dan anjing terlatih. Apabila tamadun itu semakin berkembang ketika Middle Kingdom, pahlawan Medjay dari kerajaan  Nubia (kini utara Sudan dan selatan Mesir) menawarkan perkhidmatan mereka sebagai penjaga keamanan.

Sebahagian besar pasukan polis purba di Mesir terdiri daripada pahlawan Medjay sehingga Ketua Polis Mesir digelarkan sebagai Ketua Medjay. Walaupun telah lama digantikan dengan penduduk tempatan, pasukan polis itu masih dikenali sebagai Medjay. 

3. Krypteia - Sparta

kripteia

Diambil daripada perkataan Yunani yang membawa maksud "tersembunyi", Krypteia adalah sebuah pasukan polis rahsia Sparta. Pasukan ini hanya dilengkapi oleh pisau kecil, tidak seperti pahlawan Yunani yang biasanya berperisai dan membawa pedang.

Mereka juga dilatih secara keras dan merupakan pahlawan berpengalaman serta pembunuh upahan yang hebat. Kelebihan ini adalah perlu untuk mengawal penduduk Sparta yang sebahagiannya hebat bertempur.

Selain menjaga keamanan dan menegakkan undang-undang, musuh utama mereka adalah golongan helot (golongan hamba) yang sering melakukan pemberontakan. Krypteia akan keluar pada waktu malam dan membunuh helot yang berpotensi mengganggu keamanan Sparta.

4. Gop - Empayar Maurya

empayar maurya

Empayar pertama India iaitu Empayar Maurya yang memerintah dari tahun 321 hingga 185 SM. Pasukan tentera dan kakitangan awam mereka amat dikenali dalam dunia purba.

Setiap bandar mempunyai ketua polis sendiri iaitu nagarik dan pasukan polis di bawahnya yang digelar sebagai gop. Mereka juga mempunyai balai polis yang berfungsi sebagai penjara, tempat menuntut barang hilang dan beberapa urusan birokrasi lain.

Mereka melakukan rondaan, kawalan dan menangkap sesiapa sahaja yang mencurigakan seperti polis pada hari ini. Malah, Gop juga akan merekod setiap kemasukan orang luar ke dalam kota mereka bagi mengelakkan kejadian jenayah.

5. Qadi - Empayar Songhai

empayar songhai

Empayar Songhai merupakan empayar terbesar di Afrika Barat. Jadi, mereka memerlukan pasukan penguatkuasa yang hebat untuk menjaganya. Salah satu pasukan yang ditubuhkan kerajaan empayar itu dikenali sebagai Qadi.

Qadi adalah penjawat awam yang dilantik oleh raja untuk menangani masalah atau perbalahan penduduk tempatan. Mereka menentukan siapa yang berhak atau tidak dalam sesuatu tuntutan dan siapa yang perlu dihukum, sama seperti hakim pada hari ini

Mereka juga sering menjadi pengintip untuk kerajaan. Pesalah yang melakukan kesalahan politik seperti pemberontakan atau berpaling tadah akan menerima hukuman paling berat.

6. Tokrikoq - Inca

inca

Empayar Inca mempunyai sistem perundangan mereka sendiri. Individu yang dituduh melakukan jenayah hanya boleh diadili oleh mereka yang berpangkat lebih tinggi atau tokrikoq yang bermaksud "dia yang melihat segalanya".

Tokrikoq adalah pegawai tertinggi kerajaan di sesebuah kawasan. Selain menjadi hakim, Tokrikoq juga melakukan bancian, pembahagian tanah dan membaik pulih jalan awam serta jambatan.

Biasanya, perbicaraan yang diuruskan oleh Tokrikoq dilakukan secara umum dan disaksikan orang ramai. Kesalahan berat biasanya akan dijatuhkan dengan hukuman mati manakala kesalahan kecil pula hanya akan mendapat penghinaan orang awam.

7. Vigiles - Empayar Rom

vigiles

Empayar Rom mencuba pelbagai undang-undang dan penguatkuasaan sepanjang pemerintahan mereka di Mediterranean. Pengawal Praetorian menjaga keselamatan maharaja manakala Cohorts Urbanes pula menjaga keselamatan bandar.

Bagi kesalahan jenayah kecil dan masalah kebakaran pula, ia akan ditangani oleh Vigiles. Mereka adalah seperti gabungan polis dan bomba pada hari ini.

Disebabkan mereka sentiasa melakukan rondaan pada waktu malam sekiranya ada kebakaran, Vigiles juga ditugaskan untuk menangkap pencuri dan hamba abdi yang melarikan diri. Selain kelengkapan memadam kebakaran, pasukan Vigiles juga dilengkapi dengan baju perisai ringan dan senjata.



Hakcipta iluminasi.com (2017)