Oleh pada 10 Dec 2021 kategori

Seni bina purba adalah salah satu tinggalan habat dalam sejarah. Melalui penempatan ini, ahli arkeologi mencungkil banyak maklumat tentang tamadun prasejarah.

penempatan purba

Malangnya, hanya sedikit sahaja struktur penempatan purba yang masih wujud. Segelintir daripada penempatan ini dibina dengan kecanggihan yang membuatkan manusia moden kagum. Berikut adalah beberapa penempatan yang dibina jauh lebih hebat berbanding zamannya.

1. Tal'yanky- Ukraine

talianki ukraine

Cucuteni-Trypillia adalah tamadun Neolitik purba yang wujud sekitar tahun 5500 SM hingga 2700 SM. Sejak ia ditemui pada tahun 1800-an, sejarawan mendapati tamadun ini tersebar sekurang-kurangnya sejauh 350,000 km persegi merangkumi Romania, Moldova dan Ukraine.

Namun, penempatan terbesar tamadun ini hanya ditemui pada tahun 1970-an di sebuah perkampungan bernama Tal'yanky di Ukraine. Penempatan ini dibina di tebing Sungai Tal'yanky sekitar tahun 3850-3750 SM.

Penempatan terbesar ini mempunyai 2,700 struktur binaan yang saling bersambung dan disusun dalam barisan secara berpusat. Ahli arkeologi menganggarkan seramai 15,000 hingga 21,000 orang tinggal di sini pada satu-satu masa.

Penempatan hebat dan besar ini dianggap yang termaju pada zamannya dan tiada tandingan sehinggalah tamadun Mesopotamia membuat binaan yang sehebat ini 1,000 tahun kemudian.

2. Kubu Erbil - Iraq

Sekurang-kurangnya sejak tahun 5000 SM, Kubu Erbil di Iraq telah didiami oleh banyak generasi manusia. Ini menjadikannya sebagai penempatan tertua yang terus didiami manusia sejak 7000 tahun yang lalu.

kubu erbil

Kubu Erbil yang terletak di wilayah Kurdistan di Iraq ini berbentuk seperti telur dan sebenarnya telah dibina di atas penempatan yang lebih tua. Disebabkan itu, penempatan ini 20 hingga 30 meter lebih tinggi berbanding kawasan persekitarannya.

Walaupun kubu ini menjadi penempatan utama semasa era Neo-Assyria, banyak bentengnya telah runtuh dan sebahagiannya dibina semula dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

Banyak cubaan untuk memulihkan kubu ini dan yang terbaru adalah pada tahun 2007. Ahli arkeologi tidak mahu mengganggu tradisi lama di mana penempatan ini sentiasa berpenghuni. Mereka membenarkan satu keluarga untuk terus tinggal ketika kerja-kerja pemulihan dilakukan.

Pada tahun 2014, Kubu Erbil diberikan status Tapak Warisan Dunia UNESCO.

3. Taos Pueblo - New Mexico

taos pueblo

Penempatan komuniti purba Taos Pueblo ini terletak di negeri New Mexico di Amerika Syarikat. Ia adalah sebahagian daripada puak Orang Asli Amerika yang berbahasa Taos.

Tapak asal penempatan ini dibina sekitar tahun 1000 Masihi iaitu kira-kira 1,000 tahun yang lalu. Kini, ia dikenali sebagai "Cornfield Taos" yang terletak di bahagian Timur daripada penempatan asal.

Pada zamannya, penempatan ini menjadi pusat perdagangan antara pelbagai penduduk asli di Amerika. Rekaan rumah bertingkat di penempatan ini berbeza dengan rekaan purba lain.

Setiap tahun, penduduk akan melapisi semula dinding rumah mereka menggunakan campuran air, tanah liat dan jerami segar. Secara tradisinya, kediaman di penempatan ini dibina tanpa pintu atau tingkap.

Sebaliknya, penduduk akan menaiki tangga panjang untuk masuk ke dalam rumah melalui lubang di bumbung. Penempatan yang masih didiami manusia ini merupakan satu-satunya penempatan Orang Asli Amerika yang dinamakan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

4. Angamuco - Mexico

angamuco

Pada tahun 2018, ahli arkeologi menemui sebuah bandar yang "hilang" iaitu Angamuco di Mexico. Mereka mendapati bandar ini mempunyai binaan sebanyak binaan yang ada di bandar Manhattan yang moden.

Menggunakan teknologi pemetaan laser, bandar Angamuco dipercayai mempunyai sekitar 40,000 binaan yang tersebar di kawasan seluas 25 km persegi. Bandar ini mula dibangunkan sekitar tahun 900 Masihi oleh tamadun Purepecha.

Sebagai pesaing kepada Empayar Aztec, bandar ini dipercayai berada pada waktu kemuncaknya sekitar 1000-1350 Masihi dan mempunyai sekurang-kurangnya 100,000 penduduk.

Bandar Angamuco adalah unik kerana lokasinya di atas aliran lava yang diliputi oleh bukit dan hutan tebal. Apa yang lebih mengejutkan ahli arkeologi, mereka mendapati bandar ini mempunyai sistem pengairan yang dirancang dengan teliti.

Sistem pengairan bandar ini boleh mengalihkan air apabila diperlukan bagi penduduk mengusahakan tanaman berskala besar. Kesannya, bandar ini mempunyai keseimbangan yang hebat antara ruang hijau dan struktur bandar.

5. Mohenjo-daro - Pakistan

Tamadun Lembah Indus adalah tamadun Zaman Gangsa yang wujud dari tahun 3300 SM hingga 1300 SM. Salah satu bandar utama tamadun ini ialah Mohenjo-daro yang kini terletak di Pakistan moden.

mahenjo daro

Bandar ini terkenal kerana perancangan bandarnya yang sangat mengagumkan. Ia dibina ketika waktu kemuncak tamadun Lembah Indus iaitu pada 2500 SM dan ditemui pada tahun 1920-an oleh R. D. Banerji.

Ahli arkeologi juga berjaya menemui bukti tentang pengurusan sistem pengairan yang bijak di bandar ini. Bangunan di bandar ini dibina menggunakan tanah liat yang dijadikan bata sebelum dibakar.

Mereka juga mempunyai sistem perparitan yang baik. Parit-parit ini akan dialirkan ke dalam longkang biasa yang memenuhi jalan seperti grid. Parit terbesar yang menjadi pembentung utama bandar ini berukuran 1.5 meter dalam dan 91cm lebar.

Walaupun sejarawan mengetahui banyak perkara mengenai bandar ini tetapi masih menjadi misteri dan tidak banyak yang diketahui mengenai penduduk yang mendiaminya.



Hakcipta iluminasi.com (2017)