teknik soal siasat polis zizan joker

Untuk mendapatkan pengakuan daripada suspek jenayah, pihak polis atau pegawai terlibat seperti penyiasat akan menggunakan pelbagai teknik soal siasat yang pelik dan unik. Tiada satu cara pun yang boleh digunakan untuk semua situasi jenayah, jadi ini memaksa pihak polis untuk mempelbagaikan taktik mereka.

Kadang-kala, mereka menggunakan pelbagai teknik terhadap seorang suspek jika pengakuan sukar diperoleh. Sesetengah kaedah membuatkan orang yang tidak bersalah mengaku bersalah terhadap jenayah yang tidak dilakukan.

Dan disebabkan ini, banyak kontroversi telah tercetus terhadap beberapa teknik soal siasat. iluminasi.com kongsikan 7 teknik soal siasat yang biasa digunakan oleh pihak polis.

1. "Good Cop, Bad Cop"

teknik soal siasat good cop bad cop

Teknik soal siasat "Good Cop, Bad Cop" adalah sejenis polisi yang menawarkan gabungan ganjaran dan hukuman untuk mendorong tingkah laku yang baik.

Ia pada asalnya sebahagian daripada Teknik Reid tetapi kemudiannya digunakan sebagai taktik berasingan.

Seperti namanya, seorang polis berpura-pura menjadi "polis jahat," manakala seorang lagi sebagai "polis baik".

Polis jahat menyoal siasat suspek terlebih dahulu dengan kurang ajar, biadab dan angkuh. Dia menakut-nakutkan suspek, menegaskan suspek bersalah dan mendesaknya untuk mengaku.

Sesetengah suspek berasa takut ketika disoal siasat dan mengaku. Jika suspek masih tidak mengaku, polis baik akan memainkan peranan seterusnya.

Polis baik akan menegur polis jahat terhadap taktik soal siasatnya yang agresif dan mengambil alih siasatan. Polis baik menjamin suspek akan menerima hukuman ringan, bahkan akan diampunkan jika mengaku bersalah.

Matlamatnya adalah suspek akan menjadi lebih tenang dan lebih cenderung untuk mengaku kepada polis baik.

2. Mr. Big 

teknik soal siasat mr big

"Mr.Big" juga dikenali sebagai Teknik Kanada kerana ia dibangunkan oleh Royal Canadian Mounted Police pada tahun 1990-an.

Taktik ini memakan masa yang sangat lama dan hanya digunakan sebagai pilihan terakhir terhadap suspek yang tidak memberikan kerjasama tetapi polis yakin bahawa dia bersalah.

Pihak polis akan mencari lokasi di mana suspek biasa melepak dan seorang pegawai undercover akan "berkawan" dengan suspek. 

Selepas beberapa pertemuan, pegawai tersebut akan bertanyakan kepada suspek sama ada dia berminat untuk "bekerja" untuk sebuah "organisasi", yang sebenarnya tidak wujud. Dan biasanya, suspek akan setuju.

Kerja tersebut bermula secara kecilan seperti mendapatkan semula kenderaan daripada individu yang berhutang dengan organisasi dan kemudiannya melibatkan kecurian serta jenayah lain.

Ketika itu, pegawai penyamar akan berbincang dengan suspek sehingga suspek mendedahkan butiran jenayah yang sedang disiasat.

Kemudian, suspek diperkenalkan kepada ketua organisasi selepas beberapa bulan bekerja. Dan sudah tentu, ketua tersebut juga merupakan seorang pegawai undercover.

Pegawai penyamar pertama mengkaji semula butiran jenayah yang telah diperoleh sebelum ini dari suspek dan menasihati suspek untuk mengaku kepada ketuanya.

Biasanya, suspek enggan bercakap tetapi ketua organisasi akan mendesak bahawa dia sudah mengetahui butiran jenayah itu.

Jika suspek masih enggan bercakap, dia akan dibuang kerja. Pegawai penyamar akan menghubungi suspek semula selepas beberapa minggu. 

Ketika ini, suspek akan menjadi terdesak dan perlukan kerja. Jadi, dia akan lebih bekerjasama dan mendedahkan butiran jenayah tersebut kepada pegawai penyamar. 

Dia mengulangi pengakuan kepada bos dan akhirnya ditangkap.

3. Teknik Reid 

teknik soal siasat reid

Teknik Reid adalah salah satu teknik soal siasat utama yang digunakan oleh pihak polis. Teknik ini agak panjang, rumit dan melibatkan beberapa strategi.

Soal siasat ini bermula dengan pegawai memberitahu suspek bahawa bukti mengatakan bahawa dia bersalah. Namun, dia cuba untuk tidak menyalakahkan suspek terhadap jenayah tersebut.

Pegawai itu mengendalikan suspek dalam perbualan satu sisi.

Suspek tidak diberikan kebenaran untuk bercakap semasa perbualan berlangsung kerana dia akan sentiasa menafikan tuduhan itu, terutamanya jika dia bersalah.

Dan, mungkin sukar untuk mendapatkan kebenaran selepas itu. Namun, suspek akan tetap bersuara dan bersungguh-sungguh membuktikan bahawa dia tidak bersalah.

Penyoal siasat akan menunjukkan rasa simpati dan menyokong suspek bahawa suspek tidak bersalah. Malah, pegawai tersebut akan mengatakan bahawa jenayah tersebut mungkin dilakukan oleh orang lain.

Pada masa yang sama, pegawai itu memerhatikan tingkah laku suspek yang boleh menunjukkan bahawa dia berbohong.

Teknik Reid telah dikritik kerana ia biasanya terlalu panjang, secara paksaan dan konfrontasi. Pegawai penyoal siasat juga banyak berbohong dalam teknik ini.

Teknik ini telah menyebabkan orang yang tidak bersalah mengakui jenayah yang tidak pernah mereka lakukan. Beberapa jabatan tidak lagi menggunakan Teknik Reid atas alasan ini. 

4. Teknik soalan "Leading & Loaded"

teknik soal siasat soalan leading dan loaded

Penyiasat biasanya akan bertanya banyak soalan semasa soal siasat. Satu kategori daripadanya dipanggil sebagai soalan dorongan.

Ini adalah jenis soalan yang memaksa suspek untuk memberikan jawapan yang terperinci. Penyiasat memilih ayat dan perkataan dengan berhati-hati ketika bertanyakan soalan dorongan ini.

Sebagai contoh, penyiasa akan bertanya, "Adakah anda nampak orang yang berbaju hitam itu?". Penggunaan perkataan "itu" membuatkan soalan ini sebagai sesuatu yang mendorong.

Suspek boleh mengatakan bahawa dia tidak nampak mana-mana lelaki berbaju hitam jika perkataan "itu" tidak dimasukkan ke dalam soalan tersebut.

Tetapi "itu" bermaksud bahawa lelaki berbaju hitam tersebut berada di situ. Sekarang, suspek terpaksa berfikir tentang insiden tersebut.

Malah, pihak polis boleh bertanyakan soalan seperti ini walaupun lelaki berbaju hitam itu tidak wujud di tempat kejadian. Satu taktik yang sama melibatkan penggunaan "loading question".

Soalan ini menganggap bahawa fakta-fakta tertentu adalah benar walaupun ia tidak.

Sebagai contoh, penyiasat akan bertanya, "Pukul berapa anda memandu kereta tersebut?", atau "Apa yang anda berdua bertengkar yang membuatkan anda memukulnya?".

Soalan pertama mengimplikasikan bahawa suspek berada dalam kereta tersebut dan soalan kedua menuduh suspek memukul orang lain, walaupun dia tidak melakukannya.

Juga terdapat soalan dikotomi yang memerlukan jawapan "ya" atau "tidak" dan soalan pelbagai pilihan yang memberikan suspek lebih banyak jawapan yang mungkin tetapi masih menghadkan jawapan kepada beberapa pilihan.

5. Temubual Kinesik

teknik soal siasat temubual kinesic 952

Temubual Kinesik adalah teknik soal siasat pemerhatian. Pegawai soal siasat akan bertanyakan suspek beberapa soalan sambil memerhatikan tingkah laku mereka dan bahasa badan ketika suspek bertindak balas.

Pegawai juga cuba mengesan kegelisahan, penipuan dan pembohongan. Pegawai itu akan membandingkan tindakan suspek dengan tingkah laku tertentu yang dikenali sebagai "tingkah laku pengakuan."

Tingkah laku pengakuan adalah tindakan yang didakwa akan ditunjukkan oleh seseorang jika mereka bersalah. Antaranya termasuklah menangis, bersandar malas di atas kerusi dan menunjukkan ibu jari apabila kedua-dua tangan digenggam.

6. Teknik berbohong

teknik soal siasat dengan cara polis berbohong

Dalam soal siasat, polis dibenarkan untuk berbohong kepada anda dan mereka sering melakukannya. Polis berbohong dengan pelbagai cara untuk memaksa suspek mengaku.

Polis boleh mendakwa bahawa mereka memiliki cap jari, bukti DNA atau saksi yang melihat anda melakukan jenayah tersebut walaupun sebenarnya mereka tidak.

Salah satu daripada pembohongan paksaan adalah melibatkan polis meyakinkan bahawa apa pun yang dikatakan suspek tidak akan digunakan terhadap mereka di mahkamah.

Satu lagi pembohongan melibatkan pendedahan palsu bahawa pelaku yang lain sudah mengaku dan ia membabitkan suspek tersebut. Mereka kemudiannya menawarkan bantuan jika suspek tersebut juga mengaku.

Polis juga boleh memberitahu suspek bahawa satu pembohongan boleh membahayakan suspek atau orang lain. Mereka juga boleh memberikan ujian palsu dan berbohong tentang hasil ujian tersebut.

Sesetengah suspek disuruh melakukan ujian pembohongan dan diberikan hasil palsu yang biasanya menunjukkan bahawa suspek berbohong ketika ujian dilakukan.

Ketika soal siasat yang tegang, pihak polis menawarkan untuk mematikan perakam dalam cubaan untuk memaksa suspek mengaku ketika perbualan tidak dirakam.

Mungkin suspek beranggapan bahawa perbualan tidak dirakam, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Malah, bilik soal siasat biasanya mempunyai beberapa kamera, jadi mematikan satu kamera tidak bermakna yang lain juga dimatikan.

Polis juga boleh meminta suspek untuk memberikan sampel DNA menggunakan helah tanpa meminta secara terus. Ia dilakukan dengan menawarkan segelas air yang kemudiannya DNA tersebut diekstrak melalui air liur yang terdapat pada gelas yang diminu, suspek.

7. PEACE 

teknik soal siasat peace

PEACE adalah akronim bagi Preparation & Planning, Engage & Explain, Account, Closure dan Evaluate. Ini adalah teknik soal siasat yang biasanya digunakan oleh pegawai polis di UK dan New Zealand.

Matlamatnya adalah untuk membuat siasatan kelihatan seperti temubual dan bukannya soal siasat biasa. Ia melibatkan perbualan yang panjang.

Para penyiasat bertanyakan banyak soalan dan membuatkan suspek bercakap selama mungkin. Penyiasat akan menjadi rapat dan mesra dengan suspek, dan secara berhati-hati memaksa suspek untuk mengaku.

Penyiasat juga meminta suspek untuk mengingati semua yang berlaku dalam insiden itu. Mereka kemudiannya membandingkan kata-kata suspek dengan apa yang telah diketahui.

Rujukan:

1. WESA

2. Law Office

3. Chron

4. Psychologist World



Hakcipta iluminasi.com (2017)