Oleh pada 21 Jan 2019 kategori

king harald and queen sonja

Kisah-kisah cinta yang diakhiri dengan perkahwinan morganatik (perkahwinan antara seorang bangsawan dengan rakyat jelata yang bertaraf rendah) sering menarik perhatian. Kisah sebegini sering dimuatkan dalam cerita fiksyen sama ada melalui buku, filem atau media.

Apa yang menjadikan kisah percintaan seperti ini terus popular adalah kerana sememangnya diketahui bahawa sesebuah keluarga diraja atau monarki yang memerintah itu mestilah berkahwin dengan pasangan daripada keluarga bangsawan juga.

perkahwinan putera harald dan sonja 698

Pada masa lalu, peraturan perkahwinan diraja ini sebulat suara dihormati bagi mengekalkan kekuatan dan kehormatan sesebuah keluarga yang memerintah itu. Selain itu, perkahwinan diraja juga adalah suatu pakatan strategik untuk melindungi kepentingan sesebuah negara.

Perasaan cinta dan keinginan seseorang itu dalam perkahwinan diraja yang biasanya diaturkan ini tidak diambil kira kerana ia dianggap sebagai perkara yang kurang penting berbanding kepentingan-kepentingan lain.

Walau bagaimanapun, keluarga monarki hari ini jarang mematuhi peraturan kuno ini. Kebanyakan daripada mereka memutuskan untuk berkahwin dengan orang yang mereka cintai. Beberapa orang raja dan pemaisuri di seluruh dunia telah melangsungkan perkahwinan dengan rakyat biasa.

Latar Belakang Ringkas Sonja Haraldsen

sonja ketika kecil

Sonja Haraldsen sewaktu kecil

Salah satu contoh terkenal perkahwinan morganatik ialah antara Raja Harald dari Norway dan Sonja Haraldsen, seorang anak perempuan saudagar kain. Kini Sonja Haraldsen merupakan Ratu Norway.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah yang diperlukan untuk menjadi seorang ratu, jadi inilah kisah Ratu Norway yang "berdarah merah".

Sonja dilahirkan pada 4hb Julai 1937 di Klinik Palang Merah di Olso, Norway. Bapanya ialah Karl August Haraldsen (peniaga kain) dan ibunya pula bernama Dagny Ulrichsen. Sonja adalah anak bongsu daripada empat orang adik beradik. Kakaknya bernama Gry manakala dua orang abangnya bernama Haakon dan Karl. Keluarga ini langsung tiada kaitan dengan keluarga diraja.

Beliau menerima pendidikan di Oslo di mana dia menerima ijazah dalam pembuatan pakaian dan jahitan di Sekolah Vokasional Oslo. Selepas itu, beliau melanjutkan pengajian ijazah sarjana dalam Bahasa Perancis, Bahasa Inggeris dan Sejarah Seni dari University of Oslo.

Latar Belakang Ringkas Raja Harald

putera harald

Putera Harald sewaktu muda

Putera Harald dilahirkan pada 21 Febuari 1937 di kediaman Skaugum milik keluarga diraja Putera Olav (Putera yang kemudiannya menjadi Raja) dan Puteri Martha dari Sweden. Harald mempunyai dua adik perempuan iaitu Puteri Ragnhild dan Puteri Astrid.

Semasa berlakunya Perang Dunia Kedua, ibunya telah melarikan diri bersama Harald dan adik-adiknya ke Sweden sebelum berpindah ke Washington DC. Sekilas pandang, kedua-dua pasangan Harald dan Sonja ini kelihatan seperti menjalani kehidupan yang berbeza dan sukar untuk bersama.

Namun, jodoh antara mereka berdua sudah ditakdirkan. Pada tahun 1959, Putera Harald telah bertemu dengan Sonja di sebuah pesta keramaian. Ketika pesta ini, mereka telah mengambil gambar bersama. Dari gambar inilah, Putera Harald berjaya mendapatkan maklumat serta alamat rumah Sonja.

sonja haraldsen

Putera Harald mengakui ianya adalah cinta pandang pertama. Selepas beberapa bulan dari tarikh pesta keramaian itu, Sonja telah dijemput ke majlis graduasi Putera Harald dari Akademi ketenteraan Norway. Pertemuan kali kedua ini mengeratkan lagi hubungan diantara mereka berdua.

Walaupun mengetahui cinta antara seorang rakyat biasa dengan seorang yang bakal ditakhtakan menjadi raja adalah sangat terlarang, Putera Harald tetap berani mengambil risiko. Kisah ini amat mirip dengan kisah Cinderella 

Cinta Mereka Dihalang Oleh Putera Raja

raja olav v

Raja Olav V

Raja Olav V dari Norway iaitu bapa kepada Harold sebenarnya menyedari bahawa anaknya itu mencintai Sonja. Akan tetapi sebagai seorang yang memegang pada tradisi, dia menegaskan bahawa Harold perlu berkahwin dengan wanita yang "berdarah biru".

Alasannya ialah perkahwinan dengan rakyat biasa mungkin akan menyebabkan kesan yang tidak diingini dalam monarki diraja Norway. Ketika itu Putera Harald tidak dapat membayangkan kehidupannya tanpa wanita yang dicintainya.

ratu sonja haraldsen dan raja harald norway

Putera Harald dan Sonja Haraldsen

Putera Harald yang bertekad ingin berkahwin dengan Sonja telah memberitahu bapanya sekiranya dia tidak dapat berkahwin dengan wanita yang dicintainya, dia memilih untuk menjadi bujang sehingga selamanya.

Raja Olav V tahu bahawa permintaan Putera Harald ini adalah ancaman kepada monarki Norway memandangkan dia adalah pewaris tunggal kepada takhta negara itu. Sekiranya dia menolak permintaan anak itu, pemerintahan keluarga mereka akan berakhir kerana Putera Harald akan membujang selamanya dan tidak mempunyai pewaris seterusnya.

Sedekad Merahsiakan Percintaan

ratu sonja dan raja harald

Ratu Sonja dan Raja Harald

Ia mengambil masa hampir satu dekad lamanya sebelum hubungan antara Putera Harald dan Sonja diumumkan secara terbuka. Pemberitahuan itu dibuat serentak dengan pengumuman rasmi pertunangan mereka.

Apa yang mengejutkan keluarga diraja ialah, rakyat Norway kelihatan tidak menentang idea Putera Raja mereka akan melangsungkan perkahwinan dengan rakyat biasa. Menurut Royal.co.uk pada Mac 1968, Istana Diraja Norway telah mengumumkan bahawa Raja Olav V telah memberi kebenaran kepada Putera Harald untuk mengahwini Sonja.

Tarikh perkahwinan morganatik dalam sejarah Norway itu telah ditetapkan pada 29 Ogos 1968 di bangunan Katedral Oslo. Ketika itu tumpuan orang ramai adalah kepada Sonja. Wanita bertuah itu menjadi popular seperti seorang selebriti dalam sekelip mata.

keluarga diraja norway

Keluarga Diraja Norway

Tiga tahun kemudian, pasangan itu dikurniakan anak pertama mereka iaitu Puteri Martha Louise. Dua tahun selepas kelahiran anak pertama, mereka dikurniakan seorang lagi cahaya mata iaitu Putera Haakon.

Perkahwinan antara Harald dan Sonja mungin telah memecah tradisi diraja, namun mereka berjaya bertahan sebagai suami isteri selama setengah abad apabila menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-50 pada tahun 2018. Hari ini, Raja Harald dan Ratu Sonja mempunyai enam orang cucu.

Rujukan:

1. Royal Central

2. Telegraph

3. News In English


tags :, , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)