Oleh pada 28 Dec 2017 kategori

Baru-baru ini sebuah video viral yang mana seorang lelaki mendakwa beliau bekerja sebagai pemetik kobis di Korea Selatan dan menjana pendapatan sebulan lebih, sebanyak RM11,000. Namun video tersebut mendapat kecaman netizen apabila lelaki tersebut yang bernama Adib Zizan, dikatakan telah menipu ramai orang berkenaan hal kerja di luar negara.

Saudara Muhamad Khalid Ismail tampil menulis mengenai apa yang perlu diambil tahu dan risiko, sebelum mahu berhijrah ke Korea Selatan. Pihak iluminasi mendapat kebenaran mengulang siar penulisan ini untuk manfaat bersama. 


Assalamulaikum.

Sebagai rakyat Malaysia yang telah lebih 10 tahun menetap di Korea dan tahu sedikit sebanyak tentang undang-undang dan budaya kerja di sini, saya rasa terpanggil untuk membuat penjelasan tentang perkara ini untuk manfaat bersama.

saudara khalid dan dua rakannya

Saudara Muhamad Khalid Ismail (kiri)

Sejak akhir-akhir ini saya selalu menerima mesej melalui facebook bertanyakan dan meminta saya mencari peluang kerja kilang atau ladang korea. Saya minta maaf banyak-banyak sebab saya bukan ejen pekerjaan, Semalam pula telah tular video tentang seorang pemetik kubis di Korea yang mendakwa dapat gaji dalam RM 11000 selepas sebulan lebih bekerja.

adib zizan ejen pekerjaan korea selatan

Saudara Adib Zizan

Sebelum saya menulis panjang tentang entri kali ini, tujuan saya menulis entri ini bukanlah untuk menutup periuk nasi anda yang sedang bekerja disini. tetapi adalah untuk memberi panduan dan juga peringatan kepada anda di Malaysia yang ingin datang bekerja di kilang atau ladang di Korea dengan visa pelancong. Semoga bermanfaat untuk kita semua.

Kebelakangan ini banyak pihak ejen pekerjaan yang menawarkan peluang kerja di Korea secara melancong dengan menjanjikan gaji yang lumayan. Sebelum anda membuat keputusan untuk datang bekerja di sini, silalah membuat sedikit kajian dan bertanya kepada sesiapa yang pernah menetap di Korea kerana pihak ejen kebiasaanya akan hanya memberikan khabar-khabar indah sahaja dan jarang menerangkan risiko-risiko yang akan anda hadapi jika datang bekerja di sini.

Saya senaraikan beberapa perkara yang perlu difikirkan sebelum anda datang bekerja kilang atau ladang di Korea Selatan.

1. Status pekerja rakyat Malaysia

pekerja sampai di korea

Biasanya pihak ejen akan membuat iklan bekerja secara melancong. Ingin saya ingatkan anda datang ke Korea dengan menggunakan visa melancong atau lawatan sosial.

Tujuan visa melancong dikeluarkan adalah untuk memberi anda tempoh waktu untuk melancong di Korea dengan masa maksimum 90 hari dan pihak kerajaan Korea berharap anda akan BERBELANJA wang anda di Korea kerana ini dapat menjana pendapatan rakyat tempatan.

Kesimpulannya, bekerja di Korea dengan menggunakan visa melancong adalah HARAM dan merupakan kesalahan dari segi undang-undang imigresen Korea. Sekiranya berlaku serbuan oleh pihak imigresen ketika kau sedang bekerja,bersedialah untuk masuk depot tahanan dan anda akan dihantar pulang ke negara asal masing-masing dan dilarang untuk memasuki Korea selama beberapa tahun.

Setakat ini ramai rakyat Malaysia yang datang ke Korea selama 90 hari, pulang ke Malaysia sekejap dan dan datang kembali untuk bekerja. Perkara ini mungkin belaku selama beberapa tahun. Ada juga yang overstay. So behave.

2. Ejen tawarkan Foreign Identity Card bagi sesiapa yang tak mahu ulang alik ke Malaysia

Saya mendapat maklumat ada ejen yang menawarkan khidmat membuat ID Korea dengan bayaran 600000-100000 KRW melalui orang tengah. Dengan ID ini konon-kononnya anda telah menjadi penduduk Korea yang sah untuk bekerja.

Perlu diingatkan, rakyat Malaysia tidak akan ditawarkan Visa/permit non-skilled worker/E-9 jika bekerja didalam job skop yang dikategorikan sebagai 3D (Dirty, Demeaning, and Dangerous) job di Korea. Hanya rakyat dari negara (Philippines, Mongolia, Sri Lanka, Vietnam, Thailand, Indonesia, Uzbekistan, Pakistan, Cambodia, China, Bangladesh, Nepal, Kazakhstan, Myanmar and East Timor) yang mempunyai MOU dengan Kerajaan Korea untuk menhantar pekerja tidak mahir ke Korea akan dikeluarkan visa pekerja tidar/kurang mahir (E-9)

Kebiasaanyan dengan bayaran yang disebut di atas, pihak ejen akan menolong anda untuk memohon visa G-1 yang jatuh dalam kategori VISA PENEMPATAN SEMENTARA untuk orang-orang yang memohon perlindungan suaka atau dalam kata lain visa untuk PELARIAN. DIingatkan Lagi visa G-1 adalah visa perlindungan sementara bukannya VISA/PERMIT KERJA.

(Dengan adanya ID Korea, kelebihannya hanya anda tidak perlu berulang-alik ke Malaysia setiap 90 hari sekali. Sebagai rakyat Malaysia, untuk bekerja di Korea secara sah, anda perlulah memohon permit kerja sebagai professional* iaitu kebiasaannya kategori E-7,E-6,E-2 dsb bukannnya G-1.)

*Kerja professional adalah seperti Engineer, manager bank, teacher,lecturer etc)

Pihak ejen biasanya akan membawa anda ke pihak United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) Korea dan meminta anda mengisi borang. Selepas itu anda akan diminta membuat pengakuan palsu yang anda adalah dari golongan LGBT, syiah dsb dan kalau pulang ke Malaysia, mungkin anda akan diburu oleh pihak berkuasa Malaysia.

Atas sebab ini, pihak UNHCR akan membuat surat sokongan untuk anda mendapat perlindungan di Korea. Kebiasaanya pihak Korea akan memberi anda visa G-1 ini atas dasar kemanusiaan ( Negara Korea adalah negara yang mementingkan dasar kemanusiaan). Visa G-1 ini biasanya akan diberi salama 6 bulan dan boleh diperbaharui setiap 6 bulan selama tempoh maksimum 2 tahun.

Visa ini diberi sementara menunggu pihak UNHCR memproses permohonan anda untuk menjadi PELARIAN yang diiktiraf. Diingatkan bahawa peluang untuk menjadi pelarian yang dikitiraf adalah tidak mudah kerana sgt sedikit dari mereka yang memegang visa G-1 akhirnya mendapat taraf pelarian selepas dinilai oleh pihak UNHCR.

Dengan pengakuan palsu yang anda buat, macam tak ada harapan je mahu tinggal di Korea selepas tempoh 2 tahun. Rasa Malaysia ni bukanlah negara yang berperang macam Syria atau Myammar. Tak adanya peluang nak dapat PR pun.

Yang menjadi persoalan sekarang , sekiranya pihak kerajaan Malaysia mendapat tahu anda memohon menjadi pelarian. Saya tidak pasti apa tindakan yang akan diambil jika anda pulang ke Malaysia nanti. Tepuk dada tanyalah pihak berkuasa Malaysia untuk maklumat lanjut.

Setakat ini mengikut data imigresen Korea, rakyat Malaysia yg mempunyai visa G-1 sudah beratus orang dan semakin bertambah. Saya juga khuatir jika perkara ini berterusan, imej Malaysia dia sini akan terus rosak.

3. Jenis peluang pekerjaan dan risiko kemalangan

ramai rakyat malaysia berhijrah ke korea selatan untuk bekerja

Kebiasaanya kerja-kerja yang ditawarkan adalah jenis kerja 3D atau non-skilled job seperti kerja di kilang besi, buruh binaan, kerja ladang kobis, kilang kimchi, jadi pelayan restaurant(yg ni biasanya ramai Korean Chinese) dsb. Kerja kerja 3D ni merbahaya dan berisiko tinggi.

Sama seperti kita di Malaysia, orang tempatan tidak ingin bekerja keras seperti ini lagi, jadi kebiasaanya kerja-kerja 3D dan low paid job diisi oleh pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh, Tanah besar China , Vietnam dan seangkatan.

Dengan ini memang berlaku kekurangan tenaga kerja didalam sector ini, maka berpusu-pusulah ejen menawarkan kerja di Korea mencari rakyat asing yang sanggup datang bekerja dan mengambil risiko.

Tapi malang tidak berbau kan, mungkin anda pernah terbaca atau terdengar mengenai kisah mereka yang sedang bekerja di Kilang atau ladang yang memerlukan sumbangan untuk membiayai kos rawatan hospital di kerana tetiba jatuh sakit atau tercedera(tangan terpotong, kaki terpotong dsb) semasa bekerja.

Perlu diingatkan bahawa anda datang berkerja tanpa permit yang sah, pihak majikan hanya memberi anda gaji hari dan tidak terikat untuk memanggil anda untuk bekerja pada hari esok jika dia tidak berpuas hati dengan anda.

rakyat malaysia mengalami kecederaan ketika bekerja di korea selatan

Anda juga tidak akan dapat membuat sebarang kontrak bertulis yang sah di sisi undang-undang korea. Dengan itu, sebenarnya anda tidak dilindungi dengan insuran nyawa dan kemalangan dan pihak majikan tidak perlu bertanggung jawab sekira berlaku kemalangan.

Anda mungkin terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan. Jikalau majikan ada bayar sekalipun mungkin untuk kos rawatan penyakit yang tidak terlalu serius.

Saya kadang rasa kesal sebab ramai rakyat kita yang tidak tahu issue akan terus mengecam kedutaan Malaysia jika lambat memberi pertolongan. Perlu di ingatkan, disebabkan status anda yang bekerja tanpa permit yang sah, agak sukar untuk pihak kedutaan memberi pertolongan yang sepatutnya atas dasar diplomasi.

4. Penipuan oleh majikan

Masalah yang selalu saya dengar dari bekas-bekas rakyat kita yang pernah kerja di sini adalah seperti gaji tak dibayar penuh, gaji kena tahan, gaji kena tolak dengan benda-benda tak masuk akal dan sebagainya. Kalau tak puas hati pun kita tak boleh nak dakwa kerana tak ada kontrak bertulis yang sah.

5. Taraf anda semasa bekerja di Korea Selatan

Kalau di Malaysia,pihak majikan selalu pandang rendah kepada pekerja-pekerja dari Indonesia, Bangladesh dsb. Ingatlah, kalau anda datang bekerja di sini tulah taraf anda. Takyah lah nak eksyen sangat ngan saudara anda dari Indonesia. Sama taraf je kita kat sini di depan majikan Korea. Silap hari bulan orang Thailand, orang Bangladesh, orang Tanah Besar China yang jadi supervisor anda.

Lagi satu budaya kerja di Korea mementingkan produktiviti dan kepantasan. Sekiranya anda bekerja secara slow dan steady, bersedialah untuk kena maki hamun. Ayat yang paling anda akan selalu dengar masa kerja ialah "Palli palli" yang bermaksud cepat-cepat. Pandai-pandailah kau bawak diri dan prepare mental dan fizikal.

Jika anda terfikir yang kerja kilang di Korea ini adalah sesuatu yang sama macam kerja kilang di Malaysia yang ada uniform lengkap, naik bas bersama-sama, boleh mengular masa kerja dan sebagainya, sila fikir kembali niat anda itu.

6. Tawaran gaji lumayan

gaji lumayan kerja di korea selatan

Mungkin anda terus tertarik dengan janji gaji lumayan sehingga boleh mencecah RM10000 sebulan.

Sebenarnya pekerja asing yang tak ada pengalama da skill ni di bayar gaji minimum per jam sahaja. So usually untuk mereka yang bekerja di kilang mungkin boleh dapat dalam 1.4 juta won(lebih kurang rm5000) sebulan.

Biasanya ejen akan cakap gaji boleh mencecah RM10,000 sebulan jika rajin bekerja. Makna rajin bekerja ni adalah jika anda rajin bekerja kuat dan selalu overtime dan kerja anda juga berisiko tinggi dan merbahaya.

So gaji yang lebih besar akan dibayar kerana kerja sangat merbahaya dan memenatkan. Sebagai contoh dalam 8000 won /1 jam. Kalau bekerja 10jam sehari dah dapat 80000 won, kalau 16jam sehari dah 128000. Kerja 6hari seminggu 128k x 4 ×6 = 3072000 won (lebih kurang 11 ribu)

Persoalannya, sanggupkah anda bekerja dengan teruk seperti mana anda tengak rakyat Indonesia/ bangaladesh tinggal di Malaysia. Tinggal pulak di rumah kongsi. Tepuk dada tanya selera.

Anda juga perlu ingat gaji anda dibayar dalam duit won. Nilai 1000 won bersamaan dalam RM3.70. Dan nilai 1000 won ni macam seringgit je kalau guna di Korea. Cost of living di Korea ni tinggi, gaji pekerja kilang ni korea ni "ciput" jer sebenarnya untuk rakyat tempatan.

7. Risiko ditipu ejen

agen pekerjaan di korea

Untuk pengetahuan anda, terlalu banyak ejen-ejen pekerjaan yang menawarkan kerja di Korea dan dikalangan mereka adalah Rakyat Malaysia sendiri.

Kebiasaannya mereka sudah mempunyai sedikit pengalaman bekerja di sini, atau kenal ejen Korea dan mempunyai maklumat tentang kilang atau ladang yang memerlukan pekerja dengan segera.

Dengan alasan mahu menolong rakyat Malaysia mencari kerja, mereka mengenakan bayaran sekitar RM2500-RM3500 untuk setiap orang yang berminat sebagai upah untuk mereka menguruskan perjalanan anda ke Korea.

Ada kes di mana mereka yang baru tiba di lapangan terbang tidak diambil oleh ejen seperti yang dijanjikan sebelum ini. Akibatnya, mereka terkontang-kanting sendiri di kawasan lapangan terbang tanpa arah tujuan.

Ada juga yang kerja dijanjikan tak ada dan di bawa ke tempat lain.

Namun tidak semua ejen yang scammer, ada jer yang betul bagi kerja. Jika masih lagi ingin mengammbil risiko untuk datang , anda perlulah membuat sedikit kajian dahulu.

Saya rasa inilah beberapa perkara yang perlu anda fikir sebelum datang bekerja di Korea. Saya bukan pihak immiresen untuk melarang anda datang bekerja tanpa permit di sini, dan saya faham sangat keadaan ekonomi Malaysia sekarang menyebabkan ramai yang mahu bekerja di luar negara.


tags : , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)