elizabeth bathory jellyfish immortality

Manusia biasa mempunyai kerisauan yang mereka hadapi setiap hari seperti pekerjaan, kos sara hidup, keluarga dan pelbagai perkara lain yang berlaku dalam hidup mereka. Mereka ini selalunya tidak membuang masa dengan terlalu memikirkan tentang kematian yang pasti datang.

Namun, bagi mereka yang mempunyai banyak wang dan masa, mereka cenderung untuk memikirkan tentang kematian. Sesetengah dari mereka melakukan lebih dari apa yang kita fikirkan normal untuk hidup lama atau kekal. Berikut adalah beberapa percubaan untuk hidup kekal yang terjadi dalam sejarah.

8. Pemindahan darah bagi memanjangkan umur

perpindahan darah keremajaan

Tenaga yang ada pada darah orang muda adalah sesuatu yang telah lama diperkatakan dan mampu menjana umur yang lebih panjang. Ramai orang kini menganggapnya suatu benda yang gila, namun perkara ini mendapat sambutan lebih dari yang kita sangka.

Sesetengah kajian membuktikan seekor tikus yang tua apabila disuntik dengan darah tikus yang lebih muda akan menjadikannya awet muda dan hidup lama. Walaupun begitu, tiada kajian yang berjaya menunjukkan kaedah ini berkesan bagi manusia.

Namun, teori yang tidak mempunyai bukti kukuh ini telah menarik minat ramai orang termasuk billionaire seperti Peter Thiel. Dia dan ramai lagi orang kaya yang lain membeli darah orang muda untuk dipindahkan bagi tujuan menambah umur kepada beberapa tahun lebih lama.

Walaupun tiada laporan mengenai eksploitasi yang berlaku dalam jual beli darah orang muda ini, ia tetap menimbulkan kebimbangan jika teknik ini benar-benar berhasil. Sudah pasti orang kaya akan terus membeli darah daripada mereka yang memerlukan wang.

7. Mandian darah anak gadis

potret elizabeth bathory

Elizabeth Bathory yang hidup pada kurun ke-16 ini dikenali dengan nama Countess Darah dan mempunyai reputasi yang serupa seperti Vlad the Impaler atau Vlad Dracula. Bathory ini juga boleh dikatakan sama kejam seperti apa yang dilakukan Vlad Dracula ini.

Semasa pemerintahan kejamnya, sebelum Raja Matthias II menghantar penyiasat untuk memeriksa istananya setelah mendengar pelbagai cerita menakutkan, Bathory dikatakan telah menyiksa dan membunuh sekurang-kurangnya 650 orang gadis kampung namun disabitkan kesalahan dengan hanya 80 orang sahaja pada akhirnya.

Sejak kecil lagi Bathory merupakan seorang yang sadis dan bermasalah. Apabila menjelang dewasa, dia mula menjumpai sesuatu yang boleh menampung tabiatnya yang gila itu. Diceritakan ketika dia memukul seorang pembantunya dengan kuat, dia mendapati darah yang memenuhi tangannya itu telah membuatkan kulitnya kelihatan lebih segar.

Setelah kejadian itu, Bathory memulakan rejim kecantikannya dengan bermandikan darah untuk membuat kulitnya kelihatan muda. Dia mula mengumpan gadis muda untuk bekerja di istananya dan menyeksa serta membunuh mereka demi kepuasan dirinya untuk menjadi cantik.

6. Minum ramuan yang dicampur darah haid

minum darah haid

Darah adalah sesuatu yang kerap dikaitkan dalam percubaan untuk menjadikan hidup kekal abadi. Pelbagai cara dan kaedah yang tidak masuk akal yang menggunakan darah orang muda untuk memanjangkan usia dan kelihatan lebih cantik.

Namun, cara yang satu ini malah lebih pelik. Ada orang yang percaya bahawa meminum darah haid adalah baik untuk kesihatan dan mampu membantu kecergasan sel dalam badan.

Kebanyakan mereka yang mempraktikkan amalan ini tidak menggunakan kaedah perubatan yang betul. Mereka hanya terus minum darah tersebut. Walaupun terdapat sedikit bukti darah haid mengandungi sel tunjang yang mampu bertindak sebagai agen pemulihan, akan tetapi mengambilnya dengan cara meminumnya tidak pernah dibuktikan.

Sememangnya terdapat kajian sel darah pemulihan dilakukan ke atas tikus, akan tetapi ianya dilakukan oleh pakar perubatan yang terlatih dan mengikut kaedah yang betul, bukan hanya meminum terus darah itu.

5. Sebahagian saintis percaya Obor-obor kotak adalah kunci kehidupan kekal

Manusia telah mencari kehidupan abadi sejak sekian lamanya dalam catatan sejarah. Walaupun kita masih lagi tercari-cari, jauh di dalam lautan telah terdapat makhluk yang berjaya mencapai apa yang kita anggap mustahil. Makhluk itu ialah sejenis spesies obor-obor yang dikenali sebagai obor-obor kotak.

Obor-obor kotak ini mempunyai kuasa pemulihan yang masih membuatkan saintis tertanya-tanya sehingga kini. Jika obor-obor ini berada dalam keadaan stress atau sakit, ia akan mula mengalami proses pengunduran usia sehinggalah kepada peringkat permulaan hidupnya semula. Selepas itu ia akan menua seperti biasa semula. Keadaan ini membuatkan pengkaji menggelarnya sebagai "obor-obor Benjamin Button".

Walaupun saintis telah berjaya menemui kebolehan obor-obor ini sejak dari tahun 80-an lagi, namun sangat sedikit mengenainya yang berjaya dibongkar. Ini kerana tidak banyak tajaan atau pengkaji yang mempunyai kemahiran di dalam hidupan marin ini. Di samping itu, pengetahun kita tentang memahami kehidupan kekal manusia juga adalah begitu terhad.

4. Maharaja pertama China cuba hidup abadi dengan minum Merkuri

qin shi huang

Qin Shi Huang adalah Maharaja pertama yang menyatukan China. Dia memiliki segalanya termasuk wang, kuasa, kemegahan dan pengaruh ke atas sesiapa sahaja pada masa itu. Namun, itu juga tidak mencukupi baginya. Hanya satu sahaja yang belum dimilikinya iaitu kebolehan untuk hidup kekal.

Jadi Maharaja pertama China itu mula menghantar pasukan pemantau ke serata tempat untuk mencari rahsia kehidupan kekal, namun dia masih belum menerima laporan balik yang memuaskan hatinya.

Oleh kerana tidak bersabar, dia telah mengambil cecair kimia yang dihasilkan oleh tabib China pada masa itu yang mempunyai pengetahun terhad tentang perubatan dan berpendapat bahawa merkuri adalah sesuatu baik.

Ini telah menjadi masalah kepada maharaja itu yang mengambil pelbagai cecair yang mengandungi kandungan merkuri yang menjadi bahan utama dalam penghasilan ubat-ubatan oleh ahli kimia China dahulu. Daripada inginkan kehidupan kekal, maharaja itu mati pada usia yang boleh dikatakan tidak begitu tua — hanya 49 tahun.

3. Dipelihara mayat dengan dibekukan selepas mati

Terdapat sesetengah orang yang mula mengambil langkah berani untuk hidup kekal dengan teknologi kriogenik (ilmu fizik berkaitan suhu rendah). Mereka bersetuju untuk membekukan mayat mereka setelah mati dengan harapan suatu hari nanti ada teknologi yang mampu menghidupkan mereka semula.

Perkara ini menjadi obsesi sesetengah pihak kerana ia dilihat sebagai satu teknologi yang mempunyai kemungkinan untuk berjaya pada masa hadapan berbanding kaedah lain. Namun, proses ini juga dilihat mempunyai sedikit kesukaran.

Ini kerana kaedah terbaik untuk proses kriogenik ini memerlukan peserta membunuh diri secara sukarela. Ia bagi memelihara otak dan badan ketika peserta masih hidup atau lebih senang difahami — dibekukan hidup-hidup.

Namun begitu kebanyakan negeri di Amerika dan hampir kesemua negara di dunia tidak membenarkan proses membunuh diri secara sukerela ini. Ini bermakna orang kaya yang ingin dibekukan melalui kaedah ini perlu melalui pelbagai kesulitan sebelum ianya menjadi seperti yang mereka inginkan.

2. Sami yang memumiakan diri sendiri untuk kekal abadi

sami memumiakan diri sendiri

Sepertimana yang kita ketahui, terdapat sami beragama Buddha yang mendiami biara di kawasan terpencil seperti pergunungan bagi menjauhkan diri dari kemodenan dan merungkai misteri alam semulajadi. 

Sementara kebanyakan sami Buddha tidak menitik beratkan perihal tubuh fizikal mereka, terdapat sebahagian dari mereka yang percaya melalui proses yang betul, mereka boleh membuatkan tubuh badan fizikal mereka hidup selamanya.

Untuk mencapai perkara ini, mereka melakukan proses yang disebut sebagai memumiakan diri sendiri. Proses yang mengerikan ini memerlukan diet khas serta latihan selama beberapa tahun.

Apabila semakin hampir dengan tarikh menjadi mumia, mereka perlu memakan sejenis diet khas yang akan membantu mengawet tubuh termasuklah meminum sejenis larutan pengawet. Kemudian mereka akan mengunci diri dan ditanam di dalam sebuah kamar dengan hanya sedikit lubang halus untuk bernafas.

Sami itu akan terus membunyikan loceng dari dalam kamar menandakan proses meditasi masih berjalan. Apabila loceng tidak lagi berbunyi, kebuk itu akan terus ditutup. Selepas beberapa tahun, kebuk akan dibuka semula untuk memeriksa sama ada tubuh sami mereput. Jika tiada tanda-tanda pereputan, itu tandanya pemumiaan telah berjaya.

Ramai yang percaya sami-sami ini akan bangkit semula suatu hari nanti apabila kepintaran mereka diperlukan semula, tidak kiralah ratusan atau ribuan tahun yang akan datang.

1. Menyuntik diri sendiri dengan ekstrak testikel anjing dan tikus Guinea

brown sequard

Pada tahun 1889, seorang saintis bernama Brown-Sequard telah mengumpulkan semua orang awam untuk membuat satu pengumuman mengejutkan tentang penemuan terbarunya. Dia memberitahu yang dia telah menemui penawar untuk ketidaksuburan dan juga kaedah untuk mengembalikan keremajaan sesiapa sahaja.

Menurutnya, dia telah menjalankan eksperimen ke atas diri sendiri dengan menumbuk hancur testikel seekor anjing yang telah dibunuh, menapis dan membuat sejenis larutan daripadanya sebelum disuntik ke paha sendiri.

Dia mendakwa sejurus selepas berbuat demikian, dia berasa lebih bertenaga apabila berhubungan intim bersama isterinya. Apabila khalayak ramai yang mendengar pengumuman itu mula berasa loya dengan penjelasannya, dia memberitahu pula bahawa percubaan dengan testikal tikus Guinea juga membuahkan hasil.

Malangnya, ketika pengetahuan sains masih terhad pada waktu itu, ramai yang telah mencuba kaedah peliknya itu. Sesetengah orang mendakwa ia berjaya tetapi pakar perubatan masih lagi ragu-ragu, terutamanya dakwaan boleh mengembalikan keremajaan itu.

Akhirnya pakar perubatan telah mengkaji larutan Brown-Sequard yang telahpun mendapat hak cipta itu. Apa yang mereka dapati ialah larutan dan kaedahnya itu tidak memberi apa-apa kesan sekalipun. Akibat dimalukan dan perniagaannya gulung tikar, dia menghabiskan sisa hidupnya tanpa dikenali. 


tags : , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)