lelaki tanpa kepala

Apabila Charlotte Corday dihukum pancung menggunakan gilotin kerana membunuh Jean-Paul Marat ( Ahli teori politik, fizik dan saintis) pada tahun 1793, seorang lelaki bernama Francois le Gros didakwa mengangkat kepala wanita itu dan menampar kedua-dua belah pipinya.

Para penonton yang hadir mendakwa muka Corday menunjukkan mimik marah dan pipinya kemerah-merahan. Terdapat juga laporan lain dalam sejarah yang mendakwa kepala yang sudah terpisah dari badan masih menunjukkan tanda-tanda masih hidup.

Sebagai contoh, Anne Boleyn (Permaisuri England dari tahun 1533-1536, isteri kedua Raja Henry VIII) didakwa masih boleh bercakap setelah kepalanya dipenggal. Adakah ini hanya kisah palsu atau terdapat penjelasan saintifik kepada dakwaan ini?

anne boleyn dipancung

Anne Boleyn dipancung. Credit : oldsailorsalmanac

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, minat terhadap kajian transplant kepala semakin meningkat naik. Walaupun ia kelihatan mustahil dan hanya dalam proses kajian, ia akan membuka lebih banyak penemuan baru dalam bidang perubatan sekiranya berjaya.

Persoalannya kini berapa lamakah kepala dan kandungan di dalamnya dapat bertahan selepas terpisah dari badan. Otak manusia dan semua struktur yang dibekalkannya memerlukan oksigen untuk berfungsi (otak menyumbang 20% daripada semua oksigen yang digunakan dalam badan).

Apabila saluran darah di leher terputus, bekalan oksigen juga akan terhenti. Apa sahaja baki oksigen yang masih berada dalam darah dan tisu selepas kepala terputus masih ada untuk digunakan, tetapi ia tidak akan bertahan lama.

urat saraf dan otot leher

Pergerakan hanya mustahil berlaku dalam tisu atau struktur yang masih melekat pada kepala sahaja seperti otot yang mengawal pergerakan mata dan mulut. Ini kerana saraf yang membekalkan otot-otot itu akan tetap berhubung.

Manakala kepala haiwan pula dapat bertahan lebih lama selepas terputus daripada badan. Satu kejadian di China menyaksikan seorang chef terbunuh apabila digigit ular berbisa, walaupun setelah 20 minit kepala ular itu dipotong.

Kebelakangan ini, penyelidikan dalam bidang ini telah beralih pula kepada pengalaman orang yang nazak atau mereka yang melalui pengalaman hampir meninggal dunia kerana mereka adalah orang yang paling hampir merasakan apa yang dirasai oleh orang yang dipenggal kepalanya.

ular patuk chef

Ular yang didakwa mematuk chef di China

Orang yang pernah mengalami serangan jantung atau jantung terhenti menggambarkan peristiwa yang berlaku di sekeliling mereka atau keadaan dalam wad ketika mereka sedang menjalani pemulihan.

Ini menunjukkan bahawa walaupun hati mereka tidak lagi berdegup, otak mereka masih lagi sedar dengan apa yang berlaku di sekeliling walaupun ketika itu mereka tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda sedar secara klinikal.

Kajian-kajian lain juga menunjukkan aktiviti dalam otak berlaku selepas 30 minit jantung berhenti berdegup. Keadaan yang juga dikenali sebagai gelombang otak delta ini juga sering dilihat ketika seseorang itu tidur atau beristirehat.

saraf otak

Walaupun jantung telah berhenti tetapi masih terdapat aktiviti yang berlaku dalam otak. Ia akan berakhir dengan satu gelombang aktiviti di seluruh bahagian otak setelah beberapa minit jantung berhenti dan disebut sebagai "Penyebaran Depolarisasi".

Aktiviti yang dikesan pada manusia dalam kajian ini cukup kuat sehingga ia dapat dikesan oleh elektroencephalogram (peranti yang digunakan untuk mengukur aktiviti elektrik dalam otak).

Pengajian dalam organisma lain telah mencadangkan bahawa walaupun 48-96 jam selepas kematian, ekspresi gen dan aktiviti masih lagi berlaku dalam sesetengah kes yang semakin meningkat.

mike the headless chicken

Mike the Headless Chicken. Credit : BBC

Penyelidikan dan pemahaman yang lebih lanjut diperlukan supaya kita benar-benar tahu apakah aktiviti yang dapat dikesan setelah kematian dan bagaimana ia berkaitan dengan fungsi dan kesedaran terhadap aktiviti separa sedar.

Kes yang paling terkenal mengenai pemenggalan kepala mungkin Mike the Headless Chicken atau dikenali juga sebagai Miracle Mike. Mike ialah seekor ayam yang hidup selama 18 bulan selepas kepalanya dipenggal.

Pemilik Mike sebenarnya telah memotong kepala haiwan itu menggunakan kapak. Walaupun sebahagian besar kepalanya terputus, tetapi kapak itu terlepas daripada memotong urat jugulum dan meninggalkan sebelah telinga dan kebanyakan urat yang masih bersambung pada otak.

mike dan pemiliknya

Mike dan pemiliknya

Perkara ini membuatkan ramai sangsi. Pemilik Mike telah membawa ayam bertuah itu ke University of Utak di Salt Lake City untuk mengesahkan perkara itu.

Nampaknya, pemotongan itu berjaya memotong pada satu sudut melalui sistem otaknya dan menjaga bahagian-bahagian sistem saraf pusat yang mengawal fungsi asas untuk ayam itu terus hidup. Gumpalan darah yang tepat pada masa dan tempat telah menghentikan pendarahan yang boleh membawa maut kepada Mike.

Walaupun perkara ini telah terbukti berlaku pada seekor ayam, tetapi ia adalah mustahil untuk seorang manusia boleh terus hidup dan berjalan tanpa kepala.

Ini kerana setiap bahagian otak manusia yang mengawal fungsi paling asas pun terletak dalam tengkorak. Bagi kisah Anne Boleyn boleh bercakap setelah kepalanya dipenggal pula, ia mungkin hanya rekaan atau imaginasi semata-mata kerana tiada bukti yang kukuh untuk menyokong dakwaan itu.

Rujukan :

1. Seeker

2. Science Focus

3. Science Alert



Hakcipta iluminasi.com (2017)