Mengikut kepercayaan Hindu, dewa-dewa Malabar (rantau yang merangkumi Kerala, barat daya India) akan keluar berkeliaran pada setiap bulan Disember. Mereka akan merayau dari kampung ke kampung sehinggalah bermulanya musim bunga.

Para penganut Hindu yang menyambut perayaan ini akan berhias, menari sepanjang hari dan mengutuk kesalahan-kesalahan yang dilakukan para pemerintah dan raja duniawi. Sambutan yang dinamakan sebagai Perayaan Theyyam (Teyyam, Theyam, Theyyattam) bermula seawal bulan Oktober dan berakhir selewat-lewatnya pada Mei. Kini, ia semakin dilupakan masyarakat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tradisi Theyyam ini telah diraikan berabad-abad lamanya. Walaupun ritual ini dilakukan di beberapa bahagian lain di India, namun Perayaan Theyyam ini merupakan perayaan tempatan bagi masyarakat di Malabar. Wilayah ini dipenuhi hutan dan kawasan lembab di negeri Kerala, India yang bertentangan dengan Lautan Hindi.

theyyam 2

Dalam upacara tradisi ini, orang-orang alim dan penganut setia akan memakai kostum yang dipenuhi dengan warna jingga, merah dan emas. Kostum yang dipenuhi hiasan ini boleh mencapai berat sehingga 40 kg dan ketinggian sehingga 12 kaki apabila diletakkan pada bahu pemakainya.

Pada peringkat pertama yang dikenali sebagai Vellattam atau Thottam, para penari tidak memakai solekan dan hanya memakai sebahagian kecil sahaja perhiasan yang diletakkan di atas kepala atau bahu mereka. 

Setelah doa dibacakan oleh sami-sami mereka dan beberapa ritual kecil, para pemakai kostum ini akan mengenakan solekan penuh mula berjalan di hadapan orang ramai.

upacara theyyam

Diiringi oleh bunyi pukulan gendang, mereka akan memulakan lagu suci dan tarian yang membolehkan para penari itu bersatu dengan kuasa mistik. Dianggarkan bahawa terdapat lebih daripada 400 perhiasan Theyyam yang berbeza.

Seorang ahli sejarah iaitu Willian Dalrymple menulis di dalam bukunya Nine Lives, dia pernah mengunjungi Malabar dan bertanya kepada seorang pemakai kostum tentang pengalamannya. Lelaki itu menjawab:

Kamu menjadi seperti dewa dan hilang seluruh perasaan takut. Suara kamu akan berubah apabila semangat dewa itu mengambil alih. Kita hanyalah kenderaan atau medium. Apabila bercakap atau bertingkah laku, ia adalah perbuatan daripada tuhan. Apabila perhiasan dan mekap dialihkan, barulah ia berakhir.

theyyam

Para pemakai hiasan dewa-dewa ini biasanya akan melakukan tarian dan persembahan terbuka ini di hadapan kuil-kuil hindu di setiap kampung. Semangat yang meresap ke dalam tubuh mereka boleh kekal selama 12 hingga 24 jam mengikut tahap persembahan mereka.

Orang ramai datang dari seluruh India ke rantau ini untuk mendapat rahmat dan diberkati di kuil Hindu di sini. Penduduk setempat juga melakukan upacara turun-temurun yang digelar sebagai 'rombongan Theyyam'. Rombongan ini biasanya terdiri daripada keluarga yang telah menerima tradisi ini daripada ibu bapa dan nenek moyang mereka.

Mereka kemudian akan mewariskan tradisi ini kepada anak mereka yang berumur sekitar 10 atau 11 tahun. Rombongan ini akan pergi dari satu kampung ke kampung yang lain dengan membawa perhiasan dewa-dewa bersama mereka. Rombongan ini akan mengembara bermula dari bulan Disember dan berakhir pada bulan Februari atau Mac.

theyyam 3

Antara perkara yang menarik mengenai tradisi Theyyam ini adalah bagaimana ia membalikkan hierarki sosial sistem kasta. Hanya mereka yang berkasta rendah seperti Dalit atau dikenali di India untouchables sahaja yang boleh menjadi pemakai hiasan dewa-dewa ini. 

Kasta tertinggi di India iaitu Brahmin juga akan menghadiri perayaan Theyyam ini dan meminta nasihat serta ramalan daripada "dewa-dewa" yang terdiri daripada golongan kasta paling rendah ini. Bukan itu sahaja, golongan Brahmin juga akan sujud dan mencium kaki pemakai hiasan dewa-dewa ini hanya ketika perayaan Theyyam.

perayaan theyyam india kerala 798

Pada masa yang sama, perayaan ini juga adalah peringatan kepada golongan elit untuk menggunakan kedudukan sosial mereka untuk menegakkan keadilan. Sebagai contoh, lagu Pottan Theyyam yang sering dinyanyikan oleh pemakai hiasan dewa-dewa ini menceritakan tentang Shiva (salah satu dewa utama agama Hindu) sendiri menjadi penipu untuk mengajar manusia.

Apabila seorang Brahmin itu tidak berpuas hati dan mula menyalahkan tuhan yang menyamar sebagai seorang hamba biasa itu, Shiva kemudian menunjukkan dirinya yang sebenar. 

theyyam 4

Shiva memberitahu lelaki Brahmin itu bahawa kesedaran itu hanya datang kepada mereka yang menghormati setiap lapisan manusia tanpa mengira kasta.

Dalam kemodenan yang melanda India, masa depan perayaan Theyyam ini diragui dapat bertahan untuk suatu masa yang lama. Para pelakon "dewa-dewa" ini mendapat bayaran yang sikit untuk persembahan mereka, sekitar RM 12 atau 13 sehari.

Bagi golongan muda di Malabar pula, mereka telah keluar mengembara ke bandar-bandar maju dan seluruh dunia untuk mencari rezeki di luar. Oleh itu, tradisi lama ini semakin dilupakan dan ketinggalan.

Dalam beberapa dekad yang akan datang, generasi baru mungkin tidak akan mengenali lagi perayaan dan sambutan Theyyam ini. Tarian dan nyanyian Theyyam juga menjadi terancam seperti kebanyakan tradisi lama yang lain di seluruh dunia.

Seorang seniman India iaitu Balan Nambiar telah memberitahu Times of India, jika langkah pemuliharaan yang serius tidak diambil untuk melindunginya, Theyyam dan seni rakyat Malabar ini akan pupus tidak lama lagi. 

Selain itu, Nambiar juga telah menyeru agar UNESCO memberikan tradisi Theyyam ini status Warisan Dunia agar ia lebih terpelihara. Namun, setakat ini belum ada pengesahan semula daripada badan dunia itu.

Rujukan:

1. Medium

2. Neeleshwar Hermitage

3. Euro News

4. Indian Express




Hakcipta iluminasi.com (2017)