Sumber foto: Sinar Harian
Seekor Penyu Agar ditemui terdampar di Pantai Rantau Abang di Dungun. Penyu yang seberat 80kg itu ditemui hampir mati dipercayai dipukul ombak besar semalam.
Yusuf Harun,58, pengutip telur penyu berlesen telah menemui penyu betina berkenaan pada jam lebih kurang 9 pagi dan terus melaporkan kepada Institut Perikanan Penyu dan Hidupan Marin Terancang (FRI) Rantau Abang.
Sejurus laporan dibuat, Pihak Pasukan Penyelamat FRI bergegas ke tempat kejadian menurut Mohd Tamimi Ali Ahmad, Ketua Pasukan Penyelamat FRI.
Pasukan Penyelamat terpaksa mengusung penyu berkenaan ke permukaan pantai bagi mengelakkan ia dari ditarik ombak ke laut. Sejurus itu, pemeriksaan awal dijalankan.
"Pemeriksaan itu mendapati penyu itu berada dalam keadaan sangat tenat sebelum ia dibawa ke FRI Rantau Abang untuk rawatan lanjut," katanya.
Mohd Tamimi memaklumkan bahawa hasil siasatan awal mendapati penyu Agar itu berumur lingkungan 20 tahun. Penyu betina yang sudah matang untuk bertelur itu mengalami kecederaan. Disamping kecederaan, dua luka lama juga dikesan di bahagian karapas dipercayai akibat dari terkena bilah kipas bot.
Pihaknya kini membuang teritip yang melekat pada penyu terbabit dan merawat luka serta menghapuskan bakteria pada bahagian luka tersebut katanya lagi.
"Penyu itu sedang dikuarantin supaya tenaganya yang hilang dapat pulih termasuk memberinya makanan rumusan diperbuat daripada pisang, betik yang dikisar dengan gula merah," katanya.
Sebelum ini terdapat dua lagi penyu yang telah diselamatkan pada 1 dan 2 Januari lepas. Penyu- penyu ini juga dijumpai hampir mati akibat keletihan dipukul ombak.
Penyu yang dijumpai di pantai Seberang Takir, Kuala Terengganu dan pantai di Marang itu adalah dari jenis penyu Lipas dan penyu Karah.
Sumber berita: Harian Metro