Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita arahan penutupan operasi Tealive di Malaysia oleh pihak mahkamah. Keadaan ini mengejutkan ramai pihak kerana pengumuman ini seolah-olah dibuat secara tiba-tiba. Apa pula akan jadi terhadap ratusan pekerja Tealive dan lebih 100 cawangan Tealive?

Sebenarnya, kes ini bukanlah perkara baru sebaliknya telah bermula sejak awal tahun 2017 lagi. Malah, ianya begitu kompleks memandangkan kedua-dua syarikat ini mempunyai alasan mereka yang tersendiri untuk mempertahankan setiap tindakan yang dibuat oleh mereka.

Pembukaan Chatime di Malaysia

BESARKAN TEKS     A-  A+

Loob Holding telah menandatangani perjanjian jangka masa panjang dengan La Kaffa, iaitu syarikat yang memegang hakcipta jenama Chatime untuk membuka cawangan Chatime di Malaysia. Maka, pada tahun 2010, francais pertama Chatime telah dibuka di Malaysia yang terletak di Pavilion.

Beberapa tahun kemudian, konsep minuman bubble tea yang dibawa oleh Chatime semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia. Malah, Chatime juga mendapat persaingan yang sengit apabila puluhan jenama minuman bubble tea turut dibuka di Malaysia.

Walau pun begitu, jenama Chatime terus kukuh dalam pasaran Malaysia. Pada 2016, terdapat kira-kira 145 cawangan Chatime seluruh Malaysia.

Penamatan Kontrak Loob Holding Sebagai Pemilik Lesen Franchais Chatime

la kaffa

Pada Januari 2017, La Kaffa iaitu pemilik jenama Chatime telah membuat pengumuman tentang penamatan Loob Holding sebagai pemegang lesen francais yang utama di Malaysia. Keputusan ini mengejutkan Loob Holding memandangkan pihak La Kaffa ada memanggil mereka untuk mengadakan perbincangan mengenai perkara ini.

Malangnya, tidak lama kemudian La Kaffa terus membuat pengumuman penamatan kontrak Loob Holding selaku pemilik lesen francais utama Chatime di Malaysia. Perkara ini semestinya mengejutkan Loob Holding sendiri memandangkan mereka masih mempunyai kontrak yang masih berbaki 20 tahun.

Konflik La Kaffa dan Loob Holding

loob holding

Apabila penamatan kontrak ini diumumkan, maka bermula beberapa siri tuduh menuduh dan penjelasan daripada kedua pihak ini. Antaranya:

1. La Kaffa mengatakan Loob Holding tidak mendapat kebenarannya untuk menggunakan bahan-bahan yang diragui. Loob Holding mempertahankan tindakannya dan mengatakan bahan yang digunakan halal dan berkualiti. Malah, Loob Holding mengatakan mereka membeli barang tersebut untuk menghasilkan perisa yang digemari rakyat Malaysia antaranya perisa coklat Cadbury dan Horlicks.

2. La Kaffa mengatakan bahawa Loob Holding tidak membeli bahan mentah daripada pengedar utamanya berdasarkan perjanjian yang dipersetujui. Loob Holding mengatakan bahawa bahan-bahan mentah tersebut dijual terlalu mahal dan mereka mampu memperolehi bahan mentah yang sama dengan harga yang jauh lebih murah.

3. Loob Holding tidak berpuas hati atas tindakan La Kaffa bertindak menjual serbuk minuman 3-in-1 Chatime di Malaysia tanpa melalui Loob Holding selaku pemegang lesen francais utama di Malaysia. Tindakan La Kaffa ini seolah-oleh menganaktirikan Loob Holding selaku pemegang lesen francais utama di Malaysia.

4. La Kaffa mendakwa Loob Holding tidak membayar royalti mengikut tempoh yang dijanjikan. Loob Holding dalam kenyataan balasnya mendakwa mereka mendapat nasihat daripada peguam untuk berbuat demikian memandangkan terdapat konflik yang belum dapat diselesaikan oleh kedua syarikat ini.

Beberapa konflik di atas adalah antara konflik yang diketahui umum melalui pengumuman yang dibuat. Berkemungkinan besar terdapat perkara-perkara lain antara kedua syarikat ini yang tidak diberitahu kepada orang luar.

Pembukaan Tealive dan kes saman-menyaman

pembukaan tealive

Setelah penamatan kontrak Loob Holding sebagai pemegang lesen francais utama Chatime, Bryan Loo iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding telah bertindak membuka perniagaan mirip Chatime yang diberi nama Tealive pada bulan Februari 2017. Beliau juga bertindak agresif dengan membuat pelaburan besar bagi menjenamakan semula 161 cawangan Chatime kepada Tealive.

Pembukaan Tealive ini semestinya tidak disenangi La Kaffa. Malah, ianya boleh dikatakan menimbulkan konflik yang lebih parah. Sebagai contoh, dalam perjanjian terdahulu yang ditandatangani oleh Loob Holding untuk membuka cawangan Chatime di Malaysia, terdapat satu perenggan yang menyatakan Loob Holding tidak boleh membuka perniagaan yang mirip atau menjadi pesaing kepada Chatime dalam tempoh masa tertentu selepas kontrak mereka tamat.

Walau bagaimanapun, pembukaan Tealive ini jelas melanggar perjanjian tersebut kerana jenis dan produk yang hampir sama. Selain itu, La Kaffa juga menuduh Loob Holding menggunakan segala aset dan dokumen Chatime kerana penjenamaan semula hampir kesemua cawangan Chatime kepada Tealive dilakukan dalam masa yang begitu singkat.

Beberapa siri pendakwaan telah dijalankan sebelum ini dan pada 27 Jun 2018, Mahkamah Rayuan telah mengeluarkan arahan penutupan kesemua cawangan Tealive di Malaysia. Walau bagaimanapun, Loob Holding selaku pemilik Tealive mengatakan mereka akan membawa perkara ini ke Mahkamah Tinggi.

Nota: Sehingga artikel ini ditulis, Tealive masih beroperasi seperti biasa.

Kredit:

  1. Says.my
  2. Kapital.my



Hakcipta iluminasi.com (2017)