kenapa orang jepun suka duduk sorang bersendirian

Percaya atau tidak, hidup bersendirian adakalanya seronok. Misalnya melancong secara solo dan makan bersendirian, anda mempunyai masa yang fleksibel dan bebas melakukan apa sahaja tanpa perlu terikat dengan mana-mana orang.

Namun, terdapat juga segelintir masyarakat kita menganggap orang sebegini sebagai "loser" atau tidak mempunyai kawan. Nampaknya persepsi sebegini bukan hanya wujud di Malaysia, sebaliknya  di luar negara termasuklah Jepun. 

Sedekad yang lalu, ramai orang Jepun sangat malu untuk dilihat makan sendirian di kantin sekolah atau pejabat sehingga mereka memilih untuk makan di tandas. Pandangan serong masyarakat menyebabkan individu sebegini sanggup membawa bekal mereka dan makan di dalam tandas agar tidak dilihat orang lain. 

Semakin ramai suka bersendirian

budaya ohitorisama 789

Namun, nampaknya perkara ini semakin berubah sejak kebelakangan ini. Perkara ini diakui sendiri oleh Miki Tateishi, bartender di Bar Hitori di Tokyo yang dikhususkan untuk individu yang gemar minum dan makan bersendirian. Menurutnya, kafe berkonsep sebegini semakin popular dan mendapat sambutan sejak kebelakangan ini,

Menurutnya, kafe yang memperkenalkan polisi hanya untuk pelanggan yang datang secara solo itu menggalakkan para pelanggan yang gemar bersendirian tidak perlu berasa malu untuk makan secara berseorangan di tempat awam. Pelanggan juga boleh bebas bertegur sapa tanpa perlu memikirkan persepsi orang lain kerana masing-masing datang ke situ secara solo. 

Konsep kafe sebegini sememangnya pelik dan sesautu yang baru memandangkan masyarakat Jepun lebih gemar hidup dalam masyarakat. Bar "HitorI" yang bermaksud satu orang dalam bahasa tempatan muncul untuk menyokong budaya baru yang semakin diterima ramai ini. Daripada makan sehinggalah melancong, muncul syarikat-syarikat yang menawarkan servis untuk individu sebegini.

Di Jepun, budaya sebegini dikenali sebagai “ohitorisama” - sekumpulan individu yang semakin lebih berani memilih untuk melakukan sesuatu secara sendirian tanpa mengambil kira pendapat dan pandangan orang lain. 

Kelebihan hidup solo 

karaoke solo

Jika diterjemahkan, "ohitorisama" bermaksud sesuatu seperti "berseronok secara berseorangan". Cuba cari tanda pagar "ohitorisama" di Instagram dalam bahasa Jepun dan anda akan dapati beratus-ratus ribu foto yang telah dimuat naik daripada makanan di restoran, menonton di pawagam, gambar perkhemahan secara solo atau gambar pengembaraan solo.

Khususnya dalam 18 bulan terakhir, semakin ramai orang menyatakan kecintaan mereka terhadap ohitorisama dan semakin ramai yang berkongsi gambar di akaun media sosial masing-masing. Budaya ini nampaknya sepert sudah menjadi budaya yang diterima masyarakat. 

Salah satu inovasi baru-baru ini adalah "hitori yakiniku". Bermaksud "daging panggang", yakiniku biasanya melibatkan sekumpulan manusia duduk beramai-ramai sambil memanggang daging ayam, daging lembu atau daging khinzir. Tetapi dengan ohitorisama, satu-satunya individu yang memanggang (dan memakan) semua daging itu adalah anda.

Malah terdapat permintaan untuk bilik karaoke secara solo, satu perubahan besar terhadap hiburan Jepun klasik. Permintaan untuk bilik karaoke solo telah meningkat 30 hingga 40%. Di Jepun, tempat karaoke ada di mana-mana, selalunya bangunan besar dengan beberapa tingkat bilik karaoke peribadi dibina untuk kumpulan pelbagai saiz.

Akibat permintaan dari penyanyi bersendirian semakin meningkat, lebih banyak bilik karaoke besar ditukar kepada beberapa bilik kecil khusus untuk individu yang mahu berkaraoke secara solo. 

Di Jepun, aktiviti minum dan hiburan malam secara tradisional biasanya dilakukan dengan rakan sekerja atau rakan. Oleh itu, pergerakan budaya "ohitorisama" bermakna perubahan besar telah berlaku dalam masyarakat. Persoalannya, apakah yang mendorong perubahan dan mengapakah sebenarnya "ohitorisama" dianggap begitu penting?

Tekanan sosial

masyarakat jepun 386

Di negara-negara Barat terutamanya, menjalani kehidupan secara solo bukanlah sesuatu yang baru. Malah, di media sosial sekalipun terdapat ramai individu yang berkongsi pengalaman mereka menngembara secara solo. Di Jepun budaya ini merupakan sesuatu yang baru.

Tetapi di negara di mana "kebersamaan" dan menjadi sebahagian daripada kumpulan merupakan budaya utama, budaya “Ohitorisama” ini adalah masalah besar. 125 juta orang Jepun hidup sesak di negara yang hanya sedikit lebih kecil daripada California dan empat perlima dari tanah itu bergunung dan tidak berpenghuni.

Akibatnya, rakyat Jepun "terpaksa" hidup secara beramai-ramai dan berkumpulan kerana ruang yang sempit. Maka, apabila hidup dalam kumpulan maka seseorang individu itu tidak dapat melarikan diri daripada persaingan dan sering dijadikan perbandingan dengan orang lain.

Ditambah pula dengan peningkatan pengguna media sosial dimana kehebatan seseorang individu itu mungkin diukur berdasarkan jumlah pengikut dan like, maka wujud stigma buruk masyarakat terhadap seseorang individu yang gemar hidup solo.

Walau bagaimanapun, Motoko Matsushita, perunding kanan di firma penyelidikan ekonomi terbesar di Jepun, Nomura Research Institute yang berpusat di Tokyo berkata perkara ini semakin berubah. Tekanan sosial yang negatif kepada individu yang gemar hidup bersendirian semakin berkurang.

Perubahan komposisi masyarakat Jepun 

komposisi penduduk jepun 893

Peningkatan budaya ini juga nampaknya mempunyai kesannya kepada komposisi masyarakat Jepun. Tahap kelahiran menurun - tahun lalu hanya 864,000 bayi dilahirkan - yang paling rendah sejak rekod bermula pada tahun 1899. Bilangan isi rumah tunggal meningkat, meningkat dari 25% pada tahun 1995 menjadi lebih dari 35% pada tahun 2015, menurut data bancian yang dilakukan. 

Kadar perkahwinan yang menurun menyumbang kepada kenaikan orang yang tinggal sendirian tetapi juga hakikat bahawa golongan tua mewakili sebahagian besar populasi di Jepun. Perkara ini sudah tentulah membimbangkan dan pernah kami tulis dahulu mengenai masalah "Ageing Population" ini kepada ekonomi sesebuah negara.

Realitinya, bukan hanya Jepun yang mengalami perubahan sosial yang telah menyumbang kepada ohitorisama. Malah, sesetengah pihak menjangkakan 'masyarakat super solo', yang dicirikan oleh orang muda yang tidak pernah berkahwin dan orang tua yang hidup solo kembali setelah berpisah, akan menjadi kebiasaan pada masa depan semua negara, bukan sahaja Jepun .

Kredit:

  1. Japan Times
  2. BBC
  3. The Jakarta Post


Hakcipta iluminasi.com (2017)