Pernahkah anda dengar tentang peristiwa objek di langit?
Tidak ramai yang pernah menyaksikan sendiri kejadian seperti itu berlaku, malahan ramai juga sebenarnya yang skeptikal adakah perkara-perkara tersebut benar-benar berlaku, seperti yang diperkatakan.
Saya bernasib baik. Saya pernah mengalami peristiwa itu pada tahun 1994 dan bukannya saya seorang sahaja yang menyaksikannya. Seluruh pelajar sekolah saya dapat menyaksikannya.
BESARKAN TEKS A- A+
Peristiwa itu berlaku pada tahun 1994. Saya tak ingat tarikh sebenar kejadian itu berlaku tetapi peristiwa yang kami lihat itu bukanlah peristiwa sama yang berlaku lebih awal sebelum itu di Klang, tak silap saya. Di Klang pada tahun 1992, kami di Cheras pada tahun 1994.
Jika anda nak kata saya berbohong, saya katakan dulu, dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasihani, peristiwa ini benar berlaku.
Kami sebenarnya pada malam itu baru saja menghabiskan English Week anjuran sekolah dengan satu konsert besar-besaran. Besar tahap sekolah lah. Memang kami 'enjoy' habis malam tu. Saya pula pada waktu itu masih lagi golongan junior, jadi kami lebih banyak tonton daripada membuat persembahan. Tetap 'enjoy' juga.
Kami junior jadi kami balik awal sikit berbanding kumpulan senior yang nak lepas gian main gitar elektrik dengan dram. Pada mulanya yang perasan apa berlaku tak ramai, tapi lama kelamaan kami berkumpul bersama sambil mendongak ke langit.
Malam itu memang sunyi. Lain daripada biasa.
Saya bersama kawan-kawan mendongak ke atas dan apa yang pertama sekali kelihatan ketika itu, adalah kalimah Allah yang ditulis menggunakan awan. Anda bayangkan awan berkepul-kepul membentuk sesuatu secara sendiri? Macam tu lah yang berlaku.
Fenomena itu sangat luar biasa kerana kami dapat saksikan sendiri seolah-olah awan diperintahkan oleh suatu kuasa lain untuk bergerak. Yang menakutkan, saiz objek yang dibentuk, memenuhi langit. Jika anda tengok bulan dan kita nampak bulan kecil saja saiznya, objek-objek ini berkali-kali ganda saiznya.
Memang sangat-sangat ajaib melihat bagaimana awan bergerak menjadi bentuk-bentuk itu dan hanya mereka yang melihat dengan mata sendiri saja yang tahu bagaimana perasaannya. Sukar hendak digambarkan dengan perkataan.
Kejadian itu seingat saya berlaku selama lebih setengah jam dan setiap satu objek itu akan dipaparkan selama 2 ke 3 minit dan kemudiannya kami nampak awan akan berpecah sedikit demi sedikit untuk membentuk objek atau kalimah baru.
Sepanjang fenomena itu, berdasarkan apa yang saya masih ingat, saya melihat sendiri beberapa bentuk seperti:
- Kalimah Allah
- Kalimah Bismillahhirahmaniraahim
- Badan manusia terbaring dari sisi
- Bentuk menyerupai tanduk
- Peta Malaysia dan Singapura yang terbalik atas bawah
- Orang berdoa
- Tapak tangan
- Serta beberapa objek lain yang saya tak mampu ingat semula
Saya pada ketika itu memang hanya mampu kaget, berdiri memandang langit sementara ada ramai lagi yang mengalirkan air mata insaf.
Melihat fenomena itu merupakan satu pengalaman yang cukup menginsafkan.
Berkat dari peristiwa itu, esoknya surau sekolah kami penuh berjemaah bersama-sama, tak kira yang junior atau senior. Alhamdulillah.
Tetapi manusia mudah lupa. Lama-kelamaan berkurangansedikit demi sedikit saf subuh sehinggalah akhirnya rasa mahu berubah itu hilang dikikis tuntutan dunia.
Maaflah, kami pada ketika itu belum ada kamera atau telefon seperti sekarang jadi kami tak dapat nak beri anda bukti.
Saya tuliskan perkara ini sebagai peringatan kepada kita, yang manusia walau sehebat mana pun kita, apabila kita diberi peluang menyaksikan kehebatan kuasa Allah swt. depan mata, barulah kita akan tersedar diri kita ini hanyalah hamba Dia yang Maha Esa.
Kecil sebenarnya kita.
Cuma naluri kita akan sentiasa membuatkan kita lali dan leka. Hanya Allah tahu baik dan buruk hidup kita.