mohamed salah pemain bola islam

Namaku Ben Bird. Saya peminat bola sepak, pemegang tiket bermusim bagi kelab Nottingham Forest sejak dulu tidak pernah berubah. Walau demikian, pemain yang benar-benar menginspirasikan saya bukan dari Forest.

Dia Mohamed Salah ketika menjadi pemain Liverpool, salah seorang pemain terbaik dunia yang amat terkenal sebagai seorang Muslim yang taat. Sesuatu yang perlu anda tahu tentang saya - saya memeluk Islam kerana Mohamed Salah.

Tak ramai menyedari saya mengambil tindakan itu, kerana tidak banyak tabiat saya yang berubah kecuali beberapa aspek. Dulu pab jadi tempat kegemaran saya menjadi destinasi pertama sebelum ke stadium, meletakkan wang pertaruhan. Tamat perlawanan kembali ke pab dan selalunya berdepan kerugian besar akibat tewas.

Perkara itu merupakan satu perkara yang sukar untuk ditinggalkan kerana budaya pab dan bertaruh sudah jadi satu budaya norma peminat bola sepak England. Walau demikian, selepas mengucapkan syahadah perlahan-lahan saya tinggalkan budaya itu. Lama-kelamaan barulah tersedar hati saya kini jadi lebih tenang dengan Islam.

Stereotaip mat saleh anti Islam

ben mohamed salah guardian

Segan untuk saya akui satu masa dulu pandangan saya tentang Islam jauh berbeza. Islam bagi saya dulu agama yang terkebelakang, tidak mahu berintegrasi serta mahu mengambil alih negara kami. Setiap individu Muslim saya pandang dengan sinis, kerana hati saya ada rasa benci terhadap mereka.

Semasa saya sekolah tingkatan enam, tempoh itu merupakan tempoh di mana saya gemar mencari pihak lain untuk dipersalahkan ke atas nasib malang hidup saya. Siapa sasaran saya? Orang Islam.

Saya mula menyertai laman-laman media berhaluan kanan yang banyak membentuk pemikiran saya melalui perkongsian propaganda anti Islam mereka. Walaupun demikian, sifat anti Islam saya itu saya pendam sendirian.

Seorang pun individu Muslim tidak saya kenali dan tidak pernah saya nyatakan kebencian saya terhadap agama mereka itu secara terbuka. Islam pada saya buruk seburuk-buruk agama dan pengikutnya pula, tak perlulah nak diperjelaskan apa yang kerap bermain di kepala.

Sehinggalah saya menyambung pengajian di University of Leeds, mengambil ijazah pengajian Timur Tengah. Pada ketika inilah, saya mula terbuka mata dan minda, sebelum benar-benar menemui apa yang dikatakan hidayah.

Hidayah dalam bentuk kajian disertasi

pendidikan timur tengah

Tutor subjek saya meminta kami menyiapkan disertasi tentang mana-mana ikon atau individu yang dirasakan mempunyai pengaruh besar di Timur Tengah. Mengetahui minat saya dengan bola sepak, tutor kami mencadangkan agar saya menjadikan Mohamed Salah sebagai subjek.

Siapa tak kenal Mohamed Salah di England? Jadi pada saya, dia memang merupakan satu contoh yang sangat baik untuk dikaji, jadi saya bersetuju untuk menulis disertasi yang diberikan tajuk : 'Adakah pengaruh Mohamed Salah mampu melawan kesan Islamofobia di dalam media dan politik negara kita?"

Dalam kajian saya, saya mendapati salah satu lagu yang dinyanyikan khas untuk beliau berbunyi sebegini :

“If he scores another few then I’ll be Muslim too” (jika dia menjaringkan beberapa gol lagi, aku akan jadi seorang Muslim juga!)

Pada waktu itu, saya hidup sama seperti pelajar-pelajar kulit putih lain yang berhijrah ke bandar atau pekan lain, untuk melanjutkan pelajaran. Mabuk sampai pengsan sudah jadi kebiasaan. Hidup seronok sebagai seorang pelajar tanpa rasa gusar.

Rangkap lagu itu, entah kenapa meninggalkan kesan yang sangat mendalam pada saya.

Stereotaip orang Saudi yang membawa pedang ke mana-mana

sacha baron cohen stereotaip muslim

Mengambil jurusan kajian Timur Tengah memberikan saya peluang untuk bertemu pelajar dari negara-negara tersebut, khasnya pelajar Arab Saudi. Pada awalnya, dalam minda saya pelajar dari negara tersebut sudah pastilah bersikap jahat dan kejam, senantiasa membawa pedang ke mana-mana untuk digunakan bagi memancung mereka yang melakukan maksiat.

Telahan saya salah. Mereka yang datang dari negara tersebut merupakan antara individu-individu berakhlak baik yang pernah saya berinteraksi bersama. Sedikit demi sedikit, imej orang Arab yang primitif luntur. Apatah lagi apabila kajian saya menunjukkan individu Muslim seperti Mohamed Salah jauh berbeza dengan apa yang saya sangkakan.

Dia dilihat mengamalkan corak hidup yang sangat sederhana. Cara dia bercakap juga berbeza dengan pemain lain khasnya pemain tempatan. Setiap kali melakukan temuramah dengan pelajar lain bagi mendapatkan informasi untuk disertasi saya, kebanyakan pelajar khasnya yang datang dari Mesir setuju Mohamed Salah layak dijadikan ikutan dunia, sebagai seorang Muslim contoh.

Setiap kali dia menjaringkan gol, dia akan melakukan perkara serupa - sujud di atas tanah memaparkan ke seluruh dunia simbol orang Islam yang sangat sinonim dengan mereka. Berapa ramai manusia melihat apa yang Salah lakukan setiap kali perlawanan? Jutaan orang.

Memecahkan persepsi negatif tentang Islam yang tak normal

islamofobia di britain

Saya mula membaca al-Quran bagi mempelajari serba sedikit apa yang perlu saya ketahui. Terus terang saya katakan, apa yang ada di dalamnya jauh berbeza dengan apa yang digembar-gemburkan media pada saya selama ini.

Bagi saya, Mohamed Salah menjadi bukti bahawa ketakutan serta fobia yang dirasai orang bukan beragama Islam, tidak berasas sama sekali kerana seorang Muslim juga sebenarnya boleh hidup 'normal' sama seperti penganut agama lain tanpa meninggalkan saranan agama.

Apabila dikenang kembali diri saya yang lampau, terlalu banyak kelemahan yang ada. Mindaku tertutup sempit untuk melihat kemungkinan lain Muslim mampu jadi berbeza, sedangkan aku sendiri duduk dalam negara yang majmuk dan sepatutnya lebih terbuka menerima perbezaan, tanpa perlu meletakkan stereotaip pada sesuatu kaum atau penganut agama.

Adakah aku takut dipinggirkan hanya kerana aku kini seorang Muslim? Ya. Segregasi sudah pasti akan menyebabkan ada masa aku akan diketepikan kerana agamaku, apatah lagi di England. Apa yang aku mampu katakan kepada kanak-kanak Muslim, supaya jangan takut untuk menghadiri stadium.

Orang Islam di Britain boleh menjadikan bola sepak sebagai salah satu cara untuk berdakwah, tak kiralah sebagai pemain atau sekadar menjadi penonton. Sekiranya tidak nampak caranya, lihat saja bagaimana Mohamed Salah berjaya mengubah tanggapan orang ramai terhadap Islam - sehinggakan ramai di stadium secara rela menyanyikan ungkapan "dengan lebih banyak jaringan, saya akan ikut Salah memeluk Islam!"


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel How Mohamed Salah inspired me to become a Muslim yang diterbitkan pada 3 Oktober 2019 di laman web The Guardian UK.



Hakcipta iluminasi.com (2017)