Oleh pada 10 Jun 2017 kategori

Hampir 4 tahun saya menetap di bumi Kiwi, New Zealand dan berpengalaman menghadapi bulan Ramadhan di sana. Perasaan saya, sudah tentu sangat asing tinggal di negara orang. Selain suasana sejuk, perasaan rindu kampung halaman turut dirasai. Bukan itu sahaja, perbezaan makanan, budaya, bahasa dan agama turut memberikan kesukaran dan mengambil masa untuk menyesuaikan diri.

Kehadiran saya di sana adalah bagi menemani suami yang merupakan penuntut di Victoria University of Wellington. Saya mengambil peluang ini memenuhi masa terluang saya dengan melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarela. Saya bekerja di tadika di bumi Kiwi ini dan memperoleh ilmu yang banyak dalam cara pembelajaran dan penyampaian mereka yang berbeza dari sistem Malaysia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Masyarakat tempatan hormati Muslim yang berpuasa

Masyarakat Kiwi yang berbilang kaum dikenali sebagai masyarakat yang berhemah dan beradab. Mereka hidup aman dan damai. Mereka sangat beruntung kerana memiliki negara yang cantik dan dikenali sebagai salah satu syurga dunia (kerana keindahan alam).

Sesetengah masyarakat tempatan di sana yang bukan beragama Islam juga sedar dan tahu mengenai Ramadhan. Mereka amat menghormati masyarakat Muslim yang berpuasa dan ada juga yang bertanya kepada saya mengenai ibadah berpuasa kita ini dan aspek-aspek lain berkaitan agama.

Antara masyarakat tempatan yang saya kenali di sana sangat baik dan peramah. Sekiranya mereka mengenali anda dan mengetahui anda sedang berpuasa, mereka tidak akan makan atau minum di hadapan kita. Itulah satu perkara yang patut dipuji walaupun sebenarnya saya tak kisah pun jika mereka makan atau minum di hadapan saya.

Di sana, waktu siang lebih singkat berbanding waktu malam. Pada waktu itu, saya sangat bersyukur kerana waktu siang negara itu tidak panjang berbanding negara-negara barat yang lain seperti United Kingdom. Pengalaman berpuasa di bumi Kiwi sangat berbeza dari Malaysia.

266073 558502597510176 1597252569 o

Tak banyak perkara yang mengundang perbelanjaan berlebihan

Pada ketika itu, yang paling saya ingati ialah, Ramadhan lebih dihargai sebagai bulan menambah ibadah (mengawal nafsu dengan tenang) kerana tiada iklan-iklan jualan murah hari raya seperti di Malaysia. Hahaha. Selain itu, tiada bazar di sana-sini, tiada rancangan-rancangan hiburan bertemakan Ramadhan dan paling best saya dapat bertarawih bersama saudara Islam berlainan bangsa (diantaranya Sudan dan Arab) tanpa mengharapkan moreh selepas solat.

Persiapan menyambut kedatangan Aidil Fitri ala kadar sahaja. Tiada baju raya baharu mahupun warna sedondon dengan pasangan. Malah, saya hanya menyediakan satu atau dua jenis biskut raya pada ketika itu. Di Wellington, bandar saya menetap, tiada masalah untuk membeli bahan mentah yang halal kerana terdapat sebuah kedai daging halal yang diusahakan oleh orang Pakistan.

Malah pasar raya di sana juga turut menyediakan daging-daging ayam yang halal untuk dibeli. Barangan Asia termasuk barangan keluaran Malaysia juga ada dijual seperti rempah ratus, serbuk kari dan barangan lain. 

rumah hobbiton di new zealand

Bersederhana di bulan Ramadhan

Pengalaman hidup di sana adalah satu pengalaman yang sangat berharga bagi saya dan suami. Sehingga kini tabiat ketika berada di sana masih diamalkan oleh kami sekeluarga iaitu bersederhana di bulan Ramadhan, tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan jualan murah, dan hanya membeli sepasang pakaian sahaja untuk menyambut Aidil Fitri.




Hakcipta iluminasi.com (2017)