Oleh pada 12 Jan 2024 kategori

Bagi kita di Malaysia, pengaruh barat, Arab dan juga ajaran Islam telah banyak mencorak hidup kita membentuk kepelbagaian budaya dan tradisi yang saling bercampur-baur antara satu sama lain.

Sistem patriarki yang menjadikan individu lelaki sebagai ketua keluarga masih konsisten diamalkan, walaupun ketika ini sedang dicabar ideologi barat yang seakan mahu memansuhkan fungsi ketua keluarga dalam sesebuah rumah tangga.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagi orang Wodaabe, sebuah etnik nomad yang menetap di sekitar negara Chad dan Niger, mereka kekal berpegang teguh kepada corak hidup turun-temurun masyarakat mereka - walaupun majoritinya sudah memeluk agama Islam.

Apa lainnya mereka dengan kita, khususnya dalam melihat peranan ketua keluarga dan juga institusi kekeluargaan itu sendiri? Jom kita belajar tentang suku Wodaabe, etnik nomad Muslim yang unik kerana hidup luar daripada biasa.

Siapakah orang Wodaabe?

wodaabe masyarakat nomad

Etnik Wodaabe adalah sub-etnik daripada masyarakat yang dikenali sebagai orang Fula menetap di benua Afrika khususnya di negara Chad dan Niger yang mengamalkan tradisi hidup secara masyarakat nomad.

Dari aspek bahasa, "Wodaabe" diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai "penternak di kalangan Fula" dan ini sangat sinonim dengan corak hidup mereka, yang menjadikan penternakan haiwan yang dikenali sebagai lembu Zebu sebagai aktiviti utama.

Bagaimanapun dalam lidah masyarakat tempatan, 'Wodaabe' membawa makna yang jauh berbeza. 'Woda' dalam bahasa orang Fula membawa makna 'pantang-larang' jadi 'Wodaabe' sebenarnya merujuk kepada 'masyarakat yang akur dengan pantang-larang.'

Mereka terkenal sebagai sebuah masyarakat yang berpindah-randah, hidup sebagai pengembala dan peniaga barangan ternakan di daerah Sahel yang terletak di bahagian selatan Chad, berkembang melalui proses migrasi yang membawa mereka ke Niger, bahagian utara Nigeria, Cameroon, Chad dan beberapa bahagian di Congo.

Kepercayaan Islam yang bergabung dengan tradisi nenek moyang

wodaabe nomads in chad photo credit tariq zaidi zuma press 01 1180x787

Majoriti individu Wodaabe beragama Islam, tetapi pegangan mereka boleh dikatakan berlaku secara tidak eksklusif.

Islam menjadi agama penting di kalangan orang Wodaabe sejak abad ke-16 apabila seorang pendakwah berbangsa Berber dari Tlmencen (kini Algeria) bernamana Muhammad ibn Abd al-Karim al-Maghili hadir ke sana menyampaikan ajaran Islam.

Hasil proses dakwah ini berjaya sampai kepada golongan elit dan bangsawan di rantau itu, mengislamkan golongan pemerintah di kalangan orang Hausa, Fula, dan Tuareg - seterusnya mengubah kepercayaan masyarakat mereka.

Orang Wodaabe seperti masyarakat Muslim lain di seluruh dunia, mengikuti prinsip asas Islam; menunaikan lima solat wajib harian, berpuasa di bulan Ramadan dan bersembahyang Jumaat di masjid.

Walau bagaimanapun, amalan Islam mereka banyak dipengaruhi gaya hidup nomadik yang mereka amalkan serta pengaruh tradisi budaya. Mereka masih mengamalkan pemakaian tangkal dan menjalankan ritual-ritual pemujaan, bagi menghalau roh-roh atau semangat jahat.

Salah satu perbezaan paling ketara corak hidup mereka, adalah dalam membesarkan anak-anak dan hubungan suami isteri.

Perspektif suami, isteri dan anak yang jauh berbeza dengan kita

lelaki berhias untuk pikat perempuan

Setiap wanita dalam suku Wodabee akan melalui fasa tumbesaran yang berbeza dengan fasa yang digelarkan sebagai boofildo atau 'fasa ibu pertama kali' menjadi detik penting kehidupan mereka.

Setiap wanita yang telah berkahwin dan mengandung anak pertama, perlu hidup secara halimunan tanpa pengetahuan masyarakat. Mereka perlu berpindah daripada kediaman sendiri pulang ke kediaman ibu bapa selepas disahkan mengandung, hanya dibenarkan berinteraksi dengan sesiapa pun kecuali ibu bapa atau saudara kandung mereka.

Semua boofildo perlu memakai pakaian hitam, memencilkan diri walaupun ketika kehadiran tetamu dan paling penting, langsung tidak berjumpa dengan suami sepanjang masa mengandung sehinggalah melahirkan anak.

Walaupun demikian, fasa ini jarang terhenti di situ.

Selalunya seorang boofildo akan kekal dalam situasi ini sekitar 2 ke 3 tahun menetap di rumah ibu bapa, sehinggalah anaknya besar sebelum dibenarkan kembali menyertai masyarakat seperti biasa. Pada ketika itulah wanita itu akan dibenarkan kembali memakai pakaian yang mempunyai warna dan hidup sebagai seorang isteri atau wanita dewasa.

Uniknya mereka masih ada pantang larangan tambahan. Walaupun sudah bertemu kembali, pasangan suami dan isteri tidak dibenarkan bercakap atau bermesra pada siang hari, kerana dikhuatiri akan mengganggu fokus lelaki yang perlu bekerja keras.

Asyik fokus kepada wanita saja, mari kami ceritakan kepada anda tentang peranan lelaki Wodabee pula. Ini lagi unik kisahnya!

Menyertai festival kecantikan

upacara memikat lelaki

Dalam budaya Wodabee, ada satu perayaan atau festival yang dinamakan sebagai Gerewol.

Upacara ini adalah ritual perkahwinan tahunan, di mana semua individu lelaki yang sedang masuk ke alam dewasa akan bersaing bagi merebut jodoh. Kaum wanita yang mencari suami, diberikan kebebasan untuk memilih individu lelaki mana yang mereka berkenan.

Harus kami perjelaskan, Gerewol bukanlah satu-satunya kaedah mereka mencari jodoh. Dalam budaya Wodabee, mereka juga mengamalkan perkahwinan yang berlangsung atas persetujuan dua individu lelaki dan wanita atau dua keluarga berbeza.

Bagaimanapun perjanjian atau persetujuan seperti ini perlu berlaku sebelum seseorang wanita mencapai usia 15 tahun. Oleh kerana itulah sambutan Gerewol popular menjadi medan menemukan lelaki dan wanita yang belum mendapat jodoh, ketika menjelang dewasa.

Bagi memastikan ada jodoh mereka, adalah menjadi tanggungjawab untuk lelaki muda Wodabee setiap kali tiba Gerewol mempersiapkan diri, berhias dan berpakaian secantik mungkin sambil mempamerkan kemahiran mereka menari dan menyanyi, bagi mendapatkan perhatian wanita muda yang mahu berkahwin.

Festival ini yang berlangsung selama seminggu setiap hujung tahun bermulanya musim kering, menyediakan pelbagai aktiviti untuk pengunjung.

Selain pasar jodoh yang mempamerkan lelaki-lelaki bujang, mereka juga menganjurkan perlumbaan unta sebagai salah satu medan lelaki-lelaki yang ada mempertaruhkan bakat dan kekuatan mereka.

Tidak ada lokasi tetap di mana Gerewol akan diadakan, kerana corak hidup mereka yang berpindah-pindah. Kadangkala Gerewol akan dianjurkan di utara Niger di sebuah tempat bernama In-Gall yang terkenal sebagai lokasi paling popular Gerewol. Ada juga masanya Gerewol berlangsung di Cameroon dan juga Nigeria.

Standard kecantikan lelaki menjadi keutamaan

etnik muslim nomad di afrika

Oleh kerana populariti festival Gerowol, pengaruh perayaan itu turut menyebabkan lelaki Wodaabe menitikberatkan kecantikan dan daya tarikan, yang akhirnya menjadi faktor penting dalam budaya mereka.

Masyarakat Wodaabe menekankan kepentingan kecantikan lelaki Wodaabe; memandang tinggi perkara seperti ketinggian, selain keperluan untuk seorang lelaki mempunyai mata dan gigi yang putih bersih.

orang woodabe di afrika

Oleh kerana itulah lelaki Wodabee gemar mempamerkan gigi mereka, kerana bagi mereka gigi yang cantik adalah satu faktor tarikan utama.

Lelaki memikul tanggungjawab untuk menarik perhatian seorang wanita agar tertarik kepadanya, melaburkan banyak masa, wang dan usaha untuk memastikan penampilan diri senantiasa terjaga.

Dan terpulanglah kepada wanita Wodabee untuk bersetuju atau menolak semua calon yang ada.




Hakcipta iluminasi.com (2017)