Sumber foto: Reuters/Greg Wood/Pool/File
Penerbangan MH122 Malaysia Airlines dari Sydney ke Kuala Lumpur dilencongkan ke Lapangan Terbang Alice Springs, Wilayah Utara Australia semalam setelah mengalami masalah teknikal pada salah satu enjinnya.
Menerusi kenyataan oleh Malaysia Airlines Bhd (MAB), pesawat A330-300 itu berlepas dari Sydney pada jam 1.06 tengah hari dan mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Alice Springs pada jam 5.48 petang.
Memandangkan keselamatan sentiasa menjadi keutamaan, kapten yang bertugas memutuskan untuk melencongkan penerbangan tersebut bagi tujuan menerima bantuan teknikal.
Penumpang tersebut bakal berlepas dari Alice Springs ke Kuala Lumpur menggunakan penerbangan MH148 pada hari ini.
"Penerbangan itu dijadualkan berlepas dari Alice Springs pada pukul 5.45 petang dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pada pukul 9.50 malam pada hari yang sama," katanya.
MAB turut mencuba untuk menolong penumpang yang akan menaiki penerbangan berikutnya, dengan menguruskan penerbangan yang ada untuk ke destinasi mereka.
Pada masa yang sama, Adlina Azharuddin selaku Pengurus Komunikasi Korporat MAB menerusi panggilan telefon mengesahkan keselamatan kesemua penumpang dan tiada sebarang kecederaan yang berlaku.
Bahkan, mereka telah disediakan penginapan hotel, makanan dan pengangkutan.
Sumber berita: Bernama