kaunter tiket malaysia airlines

Membeli tiket penerbangan boleh membuatkan anda pening kepala, terutamanya bagi mereka yang jarang berbuat demikian.

Ramai di antara kita menghabiskan berjam-jam di internet untuk menyelidik tawaran penerbangan, cuba mencari sistem harga tiket penerbangan yang kelihatan dilakukan secara rawak.

Lebih memeningkan, harga tiket kelihatan turun naik tanpa sebab dan penerbangan yang mengambil tempoh lebih lama pula tak semestinya berharga lebih mahal daripada yang lebih pendek. 

tempahan tiket online air asia

Tetapi di sebalik semua ini sebenarnya terdapat sains penentuan harga yang dinamik, yang sebenarnya kurang berkaitan dengan kos dan tetapi lebih kepada kecerdasan buatan (artificial intelligence).

Kini, sudah beratus-ratus tahun masa berlalu sejak penerbangan pertama dijadualkan. Comet, yang dijadualkan oleh British Overseas Airways Corp. telah memulakan perkhidmatan pesawat penumpang pertama di dunia.

Harga tambang ditentukan mengikut jarak

pesawat malaysia airlines

Pada mulanya, penerbangan komersial adalah pasaran yang dikawal dengan begitu ketat, di mana harga tambang ditentukan berdasarkan jarak perjalanan dan bukannya permintaan penumpang.

Kebanyakan laluan antarabangsa dikendalikan oleh syarikat penerbangan negara tunggal dan kekurangan pilihan penerbangan menyebabkan tambang sangat tidak kompetitif untuk pengguna.

Walau bagaimanapun, penyahkawalseliaan mengubah semua itu.

Pada tahun 1978, kerajaan Amerika Syarikat memulakan proses menghapuskan kawalan kerajaan ke atas laluan dan kemasukan pasaran untuk syarikat penerbangan baru.

Pada tahun 1983, ia diikuti oleh penghapusan kawalan penentuan harga tambang penerbangan.

Dan pada awal 1990-an, liberalisasi industri penerbangan telah tersebar di seluruh dunia, menjadikan harga lebih kompetitif.

Para pengkritik juga mengatakan bahawa terdapat terlalu banyak persaingan pada tahun-tahun awal selepas penyahkawalseliaan.

Syarikat penerbangan bergabung dan menjadi lebih dominan, mengubah industri dari kartel yang terkawal menjadi kartel yang tidak terkawal.

68 kapasiti penerbangan domestik amerika syarikat dikuasai oleh 4 syarikat penerbangan

(4 syarikat mengawal 68% kapasiti penerbangan domestik di Amerika Syarikat)

Di Amerika Syarikat, hanya empat syarikat penerbangan sahaja sudah menguasai 68% kapasiti penerbangan domestik.

Walaupun harga tiket telah menurun di antara lapangan terbang utama, namun kekurangan persaingan dan pengurangan penerbangan telah mengakibatkan kenaikan harga purata bagi bandar-bandar yang lebih kecil dan yang kurang kompetitif.

Walau bagaimanapun, perkara ini tidak menghalang permintaan terhadap perjalanan udara.

Jumlah penumpang meningkat secara mendadak

Jumlah penumpang penerbangan di seluruh dunia terus berkembang, khususnya dalam sepuluh tahun yang lalu, dengan jumlah mereka yang memilih untuk terbang melonjak hampir kepada 1.8 bilion.

Jadi, apakah makna peningkatan jumlah penumpang ini bagi harga tiket penerbangan?

Walaupun harga surcaj dan kos bagasi yang tinggi terjejas semasa kejutan minyak di antara tahun 2007 dan 2008, namun harga tiket tidaklah benar-benar tertumpu kepada kos seperti cukai dan bahan api.

peningkatan pengguna jalan udara 800

(Peningkatan jumlah penumpang di seluruh dunia)

Sebaliknya penentuan tiket harga penerbangan menggunakan strategi yang dikenali sebagai pengurusan pendapatan syarikat penerbangan. Matlamatnya? Menjana wang sebanyak yang mungkin!

Dan strategi ini berfungsi dalam waktu sebenar atau real time.

Jadi, apabila pelanggan cuba untuk menempah tiket, syarikat penerbangan menentukan harga yang sedang cuba ditempah, dengan menganalisis pelbagai faktor termasuk status keseluruhan rangkaian mereka.

Dan tentu sekali keputusan ini tidak dilakukan oleh manusia.

Penentuan harga oleh artificial intelligence

Algoritma menyesuaikan tambang dengan menggunakan maklumat seperti tempahan masa lalu, baki tempat duduk, permintaan purata bagi laluan tertentu dan kebarangkalian menjual lebih banyak tempat duduk kemudian.

Salah satu contoh proses ini yang digunakan adalah untuk penentuan harga penerbangan bersambung (connecting flights).

Katakan anda mahu terbang dari London ke Miami. Penerbangan yang anda mahu tempah ini juga berfungsi sebagai penerbangan pertama yang berhenti di Bogota, sebelum meneruskan penerbangan ke Miami.

lapangan terbang yang sangat sibuk

Dan walaupun anda menaiki penerbangan yang lebih jauh jaraknya iaitu ke Miami, namun anda mungkin membayar lebih daripada penumpang yang hanya terbang ke Bogota.

Ini kerana syarikat penerbangan cuba untuk menghalang anda daripada membeli tempat duduk yang mereka mahu jual kepada penumpang yang inginkan perjalanan penuh atau terus.

Keseluruhan proses ini dilakukan oleh algoritma, yang meramalkan bahawa tempat duduk akan dijual dengan harga yang lebih tinggi di masa depan (jika anda tak menempah).

Syarikat penerbangan juga "menyelidik" pelanggan mereka untuk membantu mereka menentukan harga.

Ini biasanya bermaksud mengkategorikan penumpang ke dalam antara salah satu daripada dua kumpulan, iaitu penerbangan untuk percutian atau perniagaan (leisure atau business).

Dan cara penentuan harga tiket bagi kedua-dua kumpulan ini adalah sangat berbeza.

Penerbangan untuk percutian vs perniagaan

penerbangan perniagaan

Syarikat penerbangan yang menawarkan penerbangan dari London ke Bali boleh menganggap bahawa kebanyakan mereka dalam penerbangan ini adalah pelancong. Jadi, ia menempatkan mereka ini dalam kumpulan penerbangan percutian.

Penumpang ini biasanya menempah beberapa bulan lebih awal, jadi syarikat penerbangan cenderung untuk mula menjual tiket dengan harga yang agak tinggi. 

Ia kemudian menyesuaikan harga mengikut tindak balas pasaran, memastikan ia cukup tinggi untuk memaksimumkan keuntungan tetapi cukup rendah supaya ia tidak menghasilkan kapasiti yang tidak digunakan (tidak ditempah).

Dan bagi laluan perniagaan, seperti London ke Hong Kong, syarikat penerbangan biasanya bermula dengan harga yang rendah untuk mengisi kapasiti minimum.

Kemudian harga akan dinaikkan dengan begitu tinggi bagi pengembara perniagaan (business traveler) yang menempah di saat-saat akhir.

Ini kerana syarikat penerbangan tahu pengembara perniagaan cenderung untuk menempah lebih lewat dan jauh kurang peka terhadap harga tiket berbanding dengan mereka dengan tujuan percutian.

penerbangan untuk percutian

Malah, pengembara perniagaan sanggup membayar lebih 60% daripada harga biasa hanya untuk memastikan mereka mendapat tempat duduk.

Syarikat penerbangan gunakan internet browser cookies

Sesetengah penganalisis percaya syarikat penerbangan menggunakan kuki pelayar internet (internet browser cookies) pengguna untuk menentukan penerbangan yang mereka lihat.

Dengan cara ini, mereka boleh meningkatkan harga tersebut untuk menggalakkan penumpang membeli.

Tetapi bukti kukuh tentang perkara ini sukar diperoleh dan ini adalah sesuatu yang mana syarikat penerbangan dan laman perbandingan harga menafikan sekeras-kerasnya.

air asia loyalty big

Harga dinamik yang disasarkan dapat meningkatkan kepuasan pelanggan dan menggalakkan tempahan pengguna.

Contohnya, seorang ahli program kesetiaan seperti Air Asia Big Member boleh menerima paparan harga "hanya untuk anda" berdasarkan sejarah pembelian mereka.

Teknologi juga telah membenarkan beberapa syarikat penerbangan untuk mewujudkan "tambang ekonomi asas" ("basic economy fare") dengan kemudahan yang terhad untuk bersaing dengan syarikat penerbangan kos rendah.

Tambang rendah adalah kata kunci jika syarikat penerbangan perkhidmatan penuh mahu muncul di halaman pertama enjin carian seperti Penerbangan Google.

Tetapi bukan hanya syarikat penerbangan yang menggunakan teknologi AI untuk keuntungan mereka.

Pengguna pada masa kini juga mempunyai akses ke laman web yang mengawasi tambang, menggunakan algoritma dan data masa lalu mereka sendiri, untuk meramalkan harga terendah yang boleh diperolehi dan kemudiannya memberitahu kepada pelanggan mereka.

laman sesawang skyscanner

Ancaman yang berpunca dari laman-laman carian ini terhadap sistem harga dinamik syarikat penerbangan melihatkan United Airlines menyaman laman sesawang Skiplagged, yang membantu penumpang mencari jalan untuk mendapatkan tiket murah.

Dengan AI yang mempunyai peranan penting dalam bidang penentuan harga penerbangan, kemungkinan algoritma kompleks ini akan terus melawan perang tiket pesawat.

Dan ini tak semestinya sesuatu yang tidak baik kerana syarikat penerbangan menguruskan peningkatan jumlah penumpang dan pengguna pula mahukan pilihan yang lebih baik serta cara yang lebih mudah untuk menempah perjalanan udara mereka.


tags : , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)