Oleh pada 23 Jan 2019 kategori

"Ribuan penghuni menghabiskan hari-hari mereka terkunci pada peralatan yang dalam bahasa eufemistisnya digelar "penahan" iaitu gari yang diperbuat daripada kulit tebal, anak baju kanvas yang besar, "sungkup telinga," "sarung tangan," gelang tangan, kunci, tali penyambung dan cadar penahan.


Ratusan yang lain terkurung dalam "penginapan" yang kosong, tanpa katil dan berbau busuk akibat kotoran dan najis. Bilik mereka hanya mendapat cahaya pada siang hari melalui lubang bersaiz setengah inci melalui tingkap yang ditutup dengan kepingan besi manakala pada waktu malam kegelapan pekat menyelubungi sehingga tangisan mereka tidak didengari langsung melalui dinding dengan plaster yang tertanggal."

BESARKAN TEKS     A-  A+

Gambaran sedemikian mungkin kedengaran seperti babak dalam sebuah filem seram, namun ia sememangnya benar-benar berlaku di Hospital Sakit Jiwa Byberry Philadelphia sekitar tahun 1946 seperti yang didedahkan oleh Majalah LIFE.

Malah, sehingga ke hari ini, persekitaran tidak berperikemanusiaan dan kes penderaan pesakit kekal sebagai satu legasi di rumah sakit jiwa yang secara rasminya telah diambil alih oleh kerajaan negeri pada penghujung 1930-an dan digelar Hospital Negeri Philadelphia itu. Wad sakit mental yang mengerikan itu dilaporkan yang paling ganas dalam sejarah.

Daripada ladang bertukar menjadi tempat 'buangan'

Segalanya bermula pada tahun 1903 sebagai sebuah ladang bekerja bagi beberapa pesakit dengan mental yang kurang stabil. Lama-kelamaan ia berkembang menjadi kampus yang lebih 'moden' dengan pertambahan bilangan blok bangunan. Walaupun pembinaan bangunan-bangunan baru itu berjaya mengurangkan kadar kesesakan di rumah sakit jiwa yang lain dengan pemindahan pesakit, ia berkembang dengan terlalu pantas sehingga tidak sempat mengambil pekerja secukupnya.

Tidak lama selepas itu, pentadbir hospital membiarkan sesiapa sahaja bekerja di situ walaupun tidak mempunyai kelayakan khusus. Asalkan calon tersebut ingin bekerja, maka dia akan terus diambil. Dilaporkan mungkin ramai antara mereka sebenarnya lebih layak menjadi pesakit berbanding pekerja.

pesakit mental psikiatri hospital byberry

Pada masa yang sama, hampir 3,000 pembantah ikut nurani (conscientious objector) yang tidak ingin berperang dalam Perang Dunia Kedua atas sebab-sebab keagamaan dihantar ke rumah-rumah sakit jiwa di seluruh negara. Ada beberapa daripadanya yang dihantar ke Byberry dan melalui gambar dan pengalaman merekalah kisah penderaan di hospital tersebut mula didedahkan satu persatu.

Walaupun ada segelintir kakitangan yang benar-benar berdedikasi, mengambil berat tentang pesakit dan bekerja dengan rajin, ada juga pekerja lain yang mengambil kesempatan dengan melakukan pelbagai penyeksaan yang masih menghantui ramai orang sehingga ke hari ini.

Pengabaian di Rumah Sakit Jiwa Byberry

Oleh sebab kekurangan tenaga kerja, susunan tugasan menjadi begitu tidak tersusun dan kelam-kabut. Ramai pesakit yang dibiarkan dalam keadaan telanjang dan tidak dimandikan. Kerja pengurusan penginapan dan penyelenggaran sering tidak diendahkan. Tempat tidur tidak dicuci, lantai melekit-lekit akibat limpahan air kencing. Daripada merawat dan menjaga pesakit, para kakitangan memilih untuk mengikat mereka di kedua-dua belah kaki dan tangan, adakalanya diabaikan sehingga berbulan-bulan lamanya.

Pada penghujung tahun 1980-an, seorang residen bernama William Kirsch yang berusia 27 tahun telah ditahan seperti itu selama 14 bulan dan ada kemungkinan pernah berlarutan sehingga tiga tahun. Mahkamah Daerah Pennsylvania Timur mendapati Byberry telah melanggar hak asasi kemanusiaan Kirsch serta mengeluarkan arahan agar dia dibebaskan dari hospital. Menurut peguamnya, Stephen Gold, keadaan Kirsch jauh lebih baik semasa mula masuk ke institusi tersebut sekitar 7-8 tahun sebelumnya dan dia didera sehingga tidak dapat dipulihkan lagi.

hospital sakit jiwa dengan sejarah paling hitam

Sekitar tahun 70-an iaitu satu dekad sebelum kes Kirsch, dilaporkan sekurang-kurangnya terdapat 57 mangsa yang mati akibat diabaikan. Dijangkakan sebenarnya angka itu lebih tinggi kerana banyak kes kematian yang berjaya disembunyikan.

Tambahan pula, Byberry mengamalkan polisi pintu terbuka bagi residen yang masih boleh berfikir dan bergerak sendiri. Disebabkan itu, ramai yang cuba melarikan diri dari pusat tahanan terbabit. Penduduk di kawasan berhampiran sering menjumpai pesakit yang terbaring di laman rumah. Ada juga pesakit yang berjalan-jalan namun akhirnya membunuh diri sendiri tidak jauh dari kawasan hospital. 

hospital byberry philadelphia state hospital

Rawatan "penyembuhan" menggunakan air

Berikut merupakan satu petikan artikel akhbar Philadelphia Record yang menjelaskan tentang teknik "penyembuhan air" Byberry:

Seorang atendan merendamkan sehelai tuala besar ke dalam air. Selepas memerah lebihan air, dia akan melilit tuala itu di leher pesakit. Kedua-dua hujung tuala ditarik dan dipintal. Pada mulanya dia akan menguatkan pintalan sebelum perlahan-lahan melakukannya agar pesakit sedar apa akibat yang akan menyusul. Pesakit kemudian akan memohon rasa belas kasihan namun pintalan tetap diteruskan. 

Mata pesakit menjadi buntang, lidah membengkak dan semakin sukar bernafas. Setelah beberapa ketika, tubuhnya akan jatuh terkulai. Wajahnya pucat lesi dan kelihatan seperti tidak lagi bernafas. Lima belas minit kemudian barulah dia menunjukkan tanda-tanda bernyawa kembali. Pesakit telah 'didiamkan.'

pesakit mental byberry diikat di katil

Perbuatan ini tidak akan meninggalkan sebarang kesan fizikal pada tubuh pesakit. Maka, dengan mudah para penyeksa ini dapat meloloskan diri daripada pihak berkuasa.

Sebagaimana "penyembuhan air" ini, penyeksaan dan penderaan lain juga sering tidak disedari masyarakat dunia luar. Menurut salah seorang pembantah ikut nurani yang dihantar berkhidmat di situ, atendan sentiasa berhati-hati agar tidak dilihat sesiapa semasa menggunakan sebarang "senjata" atau ketika memukul pesakit.

doktor memeriksa pesakit mental di hospital byberry

Penyalahgunaan Ubatan

Antara penderaan yang paling menyeksakan pesakit adalah ketika menerima "rawatan." Sebagai contoh, doktor akan mencabut gigi pesakit tanpa menggunakan sebarang anestetik atau melakukan prosedur lain tanpa ubat penahan sakit.

Salah seorang pakar psikiatri yang pernah bertugas sementara di Byberry pada tahun 1970-an iaitu Larry Real masih mengingati saat melihat sendiri seorang kakitangan di situ cuba menjahit luka pesakit tanpa ubat tahan sakit. Doktor-doktor di situ diberitahu bahawa mereka yang mengalami skizofrenia tidak dapat merasa sebarang kesakitan.

Berlawanan dengan penggunaan ubat tahan sakit, ubatan lain pula digunakan secara berlebih-lebihan sehingga membahayakan. Misalnya Thorazine (yang pernah dianggap sebagai dadah ajaib) digunakan secara bebas dan sewenang-wenangnya di Byberry.

Malah, syarikat farmaseutikal Smith Kline-French juga pernah membuka makmal di Byberry untuk menjalankan penyelidikan dan uji kaji yang dilaporkan sangat meragukan. Disebabkan pesakit tidak memahami apa-apa sebelum memberikan kebenaran atau ketiadaan ahli keluarga yang boleh dimaklumkan sekiranya berlaku kematian akibat uji kaji, ramai pesakit dipaksa supaya menjadi "sukarelawan" bagi ujian-ujian dadah ini. Akhirnya, ratusan penghuni hospital sakit jiwa Byberry menemui maut kesan daripada dadah yang diberikan.

mencucuk pesakit di hospital byberry

Saling berbunuhan

Pada tahun 1919, dua pegawai di Byberry mengaku pernah mencekik seorang pesakit sehingga matanya terkeluar. Kedua-dua pegawai ini menyalahkan gangguan PTSD yang dialami mereka akibat daripada Perang Dunia Pertama. Selepas kejadian itu, mereka bukan sahaja tidak dijatuhkan sebarang hukuman, malah dibiarkan sahaja menyambung tugas di Byberry. Tidak cukup dengan itu, mereka diberikan bayaran yang lebih lumayan.

Selain kes kakitangan membunuh pesakit, kes-kes pesakit berbunuhan sesama sendiri juga banyak dilaporkan. Ini disebabkan Byberry turut menjadi kediaman kepada penjenayah yang dihantar untuk melalui "ujian psikiatri" sebagai hukuman menggantikan penjara.

Pada tahun 1944, seorang pesakit pernah cuba membunuh menggunakan sudu yang diasah tajam. Menurut Warren Sawyer yang merupakan seorang pembantah ikut nurani serta pekerja di situ, dia pernah menyaksikan seorang pesakit menikam pesakit lain dengan sudu tersebut di bahagian tepi leher sehingga lebih kurang 1 inci ke dalam. Mangsa dapat diselamatkan kerana tusukan sudu itu hanya terkena sipi-sipi dari sahaja dari urat jugulum.

sudu tajam di hospital byberry

Seorang penghuni wanita juga pernah diperkosa, dibunuh serta mayatnya dibuang oleh rakan penghungi yang lain pada tahun 1987. Para kakitangan akhirnya menjumpai tubuh wanita tersebut selepas mendapati terdapat penghuni yang membawa giginya ke sana ke mari.

Sementara itu, dua lagi mayat dijumpai dari tapak hospital pada tahun 1989 selepas penyenggara kawasan membersihkan lalang dan rumput tinggi yang telah memenuhi persekitaran. Salah seorang mangsa tersebut dilaporkan telah hilang selama lima bulan. Situasi ini menunjukkan tiada siapa yang mempedulikan jika ada mana-mana penghuni yang tiba-tiba 'hilang' dan tiada siapa yang akan berusaha mencari mereka.

Selepas berdekad lamanya beroperasi secara 'gelap' dan menimbulkan terlalu banyak kontroversi, akhirnya Hospital Mental Byberry ditutup pada 21 Jun 1990.

Rujukan:

1. The Minnesota Governor's Council on Developmental Disabilities

2. Civilian Public Service

3. Philly

4. Philadelphia State Hospital

5. NPR




Hakcipta iluminasi.com (2017)