Albert Einstein bersama anak Eduard Einstein
Albert Einstein adalah salah seorang saintis yang paling terkenal dalam sejarah dan namanya menjadi begitu sinonim dengan istilah genius. Hampir setiap orang pernah mendengar tentang ahli fizik dan karya luar biasa yang dihasilkannya, tetapi sangat sedikit yang mengetahui tentang nasib tragis yang menimpa salah seorang anaknya iaitu Eduard Einstein.
BESARKAN TEKS A- A+
Kehidupan awal Eduard Einstein
Ibu kepada Eduard iaitu Mileva Maric adalah isteri pertama Albert Einstein. Maric merupakan satu-satunya pelajar wanita yang belajar jurusan fizik di Institut Politeknik Zurich, di mana Albert juga menghadiri kelas di situ pada tahun 1896. Tidak lama selepas itu, Albert telah jatuh hati pada wanita itu walaupun Maric empat tahun lebih tua daripadanya.
Albert Einstein bersama isteri pertamanya, Mileva Maric
Kedua-dua mereka kemudian berkahwin pada tahun 1903 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata. Anak pertama mereka ialah Lieserl (butiran mengenainya hilang dari sejarah, mungkin diberikan kepada orang lain sebagai anak angkat), anak kedua ialah Hans Albert dan Eduard yang dilahirkan di Zurich, Switzerland pada 28 Julai 1910 adalah anak ketiga dan paling bongsu.
Albert Einstein telah berpisah dengan Mileva Maric pada tahun 1914 tetapi terus berhubungan dengan anak-anaknya yang diperolehi hasil daripada perkahwinannya dengan Maric. Walaupun Maric pernah menyatakan bahawa suaminya yang terkenal itu lebih mementingkan sains berbanding anak-anak, namun Hans Albert mendakwa semasa dia dan Eduard masih kecil, ayahnya akan meninggalkan kerja untuk mengawasi mereka berdua selama berjam-jam lamanya sementara ibunya sibuk menguruskan hal rumah tangga.
Mileva Maric bersama Hans Albert dan Eduard
Sejak dari kecil lagi, Eduard Einstein sering mengalami masalah kesihatan dan disebabkan dia terlalu lemah, Eduard selalu ditinggalkan daripada mengikuti keluarganya untuk pergi bercuti.
Albert Einstein dilihat berputus asa terhadap Eduard setelah dia bercerai dan meninggalkan rumah itu. Pada tahun 1917, Albert menulis surat kepada rakannya dengan menyatakan bahawa keadaan Eduard sangat menyedihkannya. Tidak mungkin anak bongsunya itu akan menjadi seorang yang berjaya dalam kehidupannya.
Sebahagian daripada diri Albert tertanya-tanya, adakah lebih baik sekiranya anaknya itu tidak dilahirkan agar tidak mengalami nasib yang malang ini. Akan tetapi, kasih dan sayangnya sebagai seorang bapa membuatkan dia berjanji untuk membantu Eduard sebolehnya, sama ada dengan mengeluarkan wang atau menemaninya melalui apa jua keadaan.
Kesihatan mental Eduard semakin merosot
Eduard Einstein dan Hans Albert Einstein sewaktu kecil
Ketika usianya bertambah tua, Eduard yang dipanggil "Tete" oleh Albert Einstein telah menunjukkan minatnya terhadap puisi, bermain piano dan juga dalam bidang psikiatri.
Eduard yang begitu meminati Sigmund Freud kemudiannya mengikuti jejak langkah ayahnya dengan mendaftarkan diri untuk belajar di Universiti Zurich, walaupun minatnya terletak pada bidang psikiatri. Pada waktu itu, Albert Einstein sudah menjadi seorang yang sangat terkenal.
Dalam satu analisis yang ditulisnya sendiri, Eduard Einstein menyatakan bahawa kadang-kadang keadaan menjadi sangat sukar apabila mempunyai seorang bapa yang terkenal, kerana dirinya sering dirasakan seperti tidak penting.
Lelaki muda yang bercita-cita tinggi itu sekali lagi mengikuti jejak langkah bapanya apabila jatuh cinta dengan seorang wanita yang lebih tua di universiti dan hubungan itu juga berakhir dengan malapetaka. Pada ketika inilah kesihatan mental Eduard menjadi bertambah teruk.
Dia mengalami tekanan perasaan sehingga melakukan cubaan untuk membunuh dirinya sendiri pada tahun 1930. Dia yang kemudiannya didiagnos mengalami schizophrenia itu dikatakan menjadi semakin teruk dengan rawatan pada zaman itu yang diketahui agak keras. Pada satu tahap, Eduard sehingga mengalami masalah percakapan serta gangguan kebolehan kognitifnya.
Keluarga Eduard berpindah ke Amerika Syarikat tanpanya
Albert Einstein bersama anak keduanya, Hans Albert
Pada pandangan Albert Einstein, dia percaya keadaan anak bongsunya itu adalah diakibatkan daripada masalah keturunan dari sebelah ibunya. Pemerhatian saintifik ini sedikit sebanyak meredakan perasaan sedih dan kesalnya.
Isteri kedua kepada Albert iaitu Elsa berkara bahawa "kesedihan itu memakan Albert dari dalam". Ahli fizik terkenal itu semakin lama semakin mempunyai masalah berkaitan Eduard. Pada awal tahun 1930-an, Parti Nazi telah berkembang di Eropah dan setelah Hitler naik berkuasa pada tahun 1933, Albert tidak dapat pulang kembali ke Akademi Sains Prusia di Berlin, di mana dia bekerja di situ sejak tahun 1914.
Walaupun Einstein mungkin merupakan salah seorang saintis paling terkenal di dunia, tetapi pada hakikatnya dia juga adalah seorang yang berbangsa Yahudi. Fakta ini membuatkan negaranya tidak dapat menerimanya dan hal ini memaksa Albert untuk melarikan diri ke Amerika Syarikat pada tahun 1933.
Eduard Einstein
Walaupun Albert tetap berharap anak bongsunya itu dapat menyertainya di Amerika bersama anak keduanya Hans Albert, tetapi keadaan mental yang terus merosot menghalang Eduard daripada mendapatkan perlindungan di Amerika Syarikat.
Sebelum berhijrah ke Amerika, Albert telah melawat Eduard yang ketika itu dijaga di rumah sakit jiwa buat terakhir kalinya. Walaupun selepas itu Albert tetap mengutus surat dan mengirimkan wang untuk penjagaan anaknya, kedua-dua mereka tidak pernah bertemu lagi.
Ketika Eduard menghabiskan sisa hidupnya di rumah sakit jiwa di Switzerland, dia telah dikebumikan di tanah perkuburan Hönggerberg di Zurich apabila meninggal dunia akibat strok pada usia 55 tahun pada Oktober 1965. Eduard telah menghabiskan lebih daripada tiga dekad hidupnya di klinik psikiatri Burghölzli di Universiti Zurich.