Kredit foto: Instagram Nabila Razali

Penampilan aktor remaja popular, Aedy Ashraf sebagai model video muzik single terbaru Nabila Razali berjudul Pematah Hati, adalah susulan daripada gimik percintaan yang direka mereka.

Nabila yang mendedahkan berhubungan cinta dengan Aedy sebelum ini, mengakui ia hanyalah 'drama' semata-mata sebagai rangka promosi muzik video terbaru lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu.

"Taktik itu nampaknya berkesan kerana ramai peminat percaya. Saya lihat perancangan syarikat pengurusan dan pengarah video muzik, Storytellrs mempromosikan Pematah Hati berjaya.

"Sebenarnya, saya dan Aedy hanya bekerjasama menjayakan klip video lagu berkenaan dan bersifat profesional.

"Apa yang dilakukan hanyalah atas urusan kerja. Aedy sangat komited dalam merealisasikan watak sebagai si pematah hati," katanya menerusi portal BH Online.

Nabila atau nama lahirnya, Nur Nabila Mohd Razali menjadi perhatian peminat industri hiburan sebelum ini selepas memuat naik video 'kisah cinta' tidak kesampaian dalam sebuah kiriman di laman Instagram, @nabila.razali.

Hanya dalam tempoh 24 jam, entri itu dihapuskannya sekaligus mencetuskan tanda tanya ramai.

Mengulas lanjut mengenai 'drama' yang dicipta, bekas pelajar Akademi Fantasia 2013 ini menganggap ia bukanlah gimik murahan.

peminat kena game kisah cinta nabila razali dan aedy ashraf hanya gimik 2

Kredit foto: Instagram Nabila Razali

"Masing masing ada cara dan gimik tersendiri dalam mempromosikan sesuatu. Tak sangka 'drama' saya dan Aedy menjadi.

"Pada mulanya, saya tak merancang memuat naik gambar kami berdua. Tapi disebabkan foto itu cantik, saya buat keputusan untuk berkongsinya.

"Apabila hype itu menjadi, saya dan Aedy mengikut rentak. Saya tak anggap ia gimik murahan sebaliknya membuka banyak peluang lain termasuk dalam dunia lakonan," katanya.

Kisah cinta Nabila dan Aedy boleh ditonton dalam video muzik Pematah Hati menerusi saluran Youtube rasmi Seventeen Eleven Music mulai hari ini.

Sumber berita: BH Online 




Hakcipta iluminasi.com (2017)