Kredit: Instagram @harithiskander
Pelawak terkenal Harith Iskander memberi respon terhadap klip tular memaparkan seorang gadis berbangsa Melayu yang didakwa mempersenda Islam dengan bertopengkan sebuah persembahan komedi.
Meluahkan rasa terkilan atas insiden itu, Harith mendedahkan bahawa individu terbabit sememangnya sinonim dengan video-video yang tidak bermaruah sebelum mencuba nasib untuk menjadi seorang pelawak.
"Pertama kali saya melihat video tersebut, saya sejujurnya berasa malu dengan gadis itu yang saya rasakan kurang cerdik kerana seseorang mungkin akan merakam 'persembahan' itu secara sembunyi.
"Kemudian, saya mengetahui rakannya sendiri yang membuat rakaman tersebut sebelum dimuatnaik oleh beliau. Kedua-dua mereka secara terang-terangan membuat video yang tidak senonoh dan memualkan sedari dulu lagi sehingga akaun Instagram dan Twitter mereka disekat buat seketika," jelasnya.
Mengutuk perbuatan itu sekeras-kerasnya, Harith berpendapat gadis itu tidak mempunyai ciri-ciri seorang pelawak solo dan menyifatkan 'persembahan' itu sebagai memalukan industri komedi tanah air.
"Perlakuan mereka itu sengaja dilakukan untuk mencemarkan suatu bentuk seni yang menjadi sumber rezeki saya.
"Saya terlibat dalam bidang komedi solo sejak tahun 1990 dengan visi untuk meningkatkan kehidupan rakyat Malaysia melalui gelak tawa. Niat saya untuk membuatkan orang terhibur sambil mengaitkan tentang perangai manusia.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita sentiasa boleh menggelakkan diri sendiri sambil menghormati kepelbagaian budaya yang kita miliki. Inilah sebabnya saya memilih untuk berkecimpung dalam bidang ini.
"Senang cerita, apa yang dia lakukan bukan sebuah persembahan komedi solo," tegasnya.
Baru-baru ini, seorang gadis bernama Siti Amira Abdullah menerima kecaman ramai kerana bertindak menanggalkan baju kurung dan tudung yang dipakainya sebelum tampil berpakaian seksi di sebuah kelab komedi terkenal.
Komen Pilihan
"Bagus apabila anda membangkitkan isu ini supaya masyarakat lebih faham tentang komedi solo. Jika tidak, ia akan menerima diskriminasi ramai pihak," tulis seorang netizen.
Sumber: Instagram Harith Iskander