Oleh pada 01 Jun 2017 kategori

Masih ada peniaga yang menjual makanan pada siang hari di bulan Ramadhan, tetapi bolehkah berniaga makanan pasa waktu itu. Persoalan yang sering tertanya ketika bulan Ramadhan iaitu apakah hukum orang berniaga makanan di siang hari ketika bulan puasa? 

berniaga di bulan ramadhan 773

Puasa di bulan Ramadhan adalah kewajipan dalam Islam yang dinyatakan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Kewajipan ini telah disepakati (ijmak) oleh sekelian ulamak kaum muslimin sejak mula ia disyari’atkan hinggalah ke hari kiamat. Rasulullah s.a.w. telah memberi satu ancaman yang keras terhadap orang yang sengaja berbuka puasa pada siang hari di bulan Ramadhan dengan sabda baginda;

من أَفطرَ يوماً من رَمضَانَ من غَيرِ رُخصةٍ ولا مرضٍ لَمْ يَقضِ عنه صومُ الدَّهرِ كلِّهِ وإِنْ صامَهُ

“Sesiapa berbuka puasa sehari di bulan Ramadhan tanpa ada rukhsah (kelonggaran) yang diizinkan Allah untuknya, puasa sepanjang masa sekalipun tidak akan berupaya membayarnya sekalipun ia melakukannya”. (Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah).

tak puasa

Seorang muslim yang menjual makanan kepada orang yang sengaja tidak berpuasa (tanpa ada sebarang keuzuran atau tegahan) pada siang hari di bulan Ramadhan maka ia turut berdosa kerana ia bersubahat membantu orang lain melakukan dosa. Jika membantu orang lain melakukan ketaatan diberi pahala, maka membantu orang lain berbuat dosa akan diberi balasan dosa oleh Allah.

Oleh demikian, hendaklah seorang muslim yang mengusahakan kedai makan menutup kedainya di siang hari di bulan Ramadhan jika ia mengetahui bahawa yang datang membeli dikedainya ialah orang-orang yang sengaja tidak berpuasa di bulan Ramadhan. Adapun jika ia membuka kedainya khusus untuk menjual makanan bagi persediaan berbuka puasa untuk orang yang berpuasa atau menjual makanan khusus untuk kanak-kanak yang belum sampai umur wajib berpuasa, maka hal tersebut adalah harus.

Begitu juga, harus ia membuka kedainya khusus untuk menjual makanan kepada orang-orang bukan Islam dengan syarat tidak berterang-terangan di hadapan kaum muslimin yang berpuasa.Sabda Rasulullah s.a.w.;

كُلُّ أُمّتِي معافىً إلا المُجَاهِرِينَ

“Setiap ummatku akan dimaafkan kecuali orang-orang yang berterang-terangan melakukan dosa”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Wallahu A’lam.

Rujukan; 1. Yasalunaka Fi ad-Din Wa al-Hayah (Jil. 4), Syeikh Dr. Ahmad as-Syirbasi, Dar al-Jil, Beirut – Lubnan.

USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL Ijazah Sarjana Muda (Syari'ah) Uni. Al-Azhar (1997). Dipl. Takhassus Fiqh (Pra M.A) INSANIAH-Al-Azhar (2004). Telah menghasilkan lebih 30 buah buku yang diterbitkan.

Pengendali laman soal-jawab agama; ilmu dan ulamak


tags : , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)