Oleh pada 16 May 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Izzue Islam

Penyanyi, Izzue Islam, akui berang dengan gosip terbaharu yang mendakwa kononnya isterinya, Awin Nurin mengamalkan ilmu hitam.

Pemilik nama penuh Muhammad Izzul Islam Mazlan, 28, ini menggesa individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah itu segera menghentikan aktiviti buli di laman siber.

"Ini bukan kali pertama tohmahan dilemparkan terhadap kami. Kali ini, ia meninggalkan impak berbeza kerana memfitnah dan menuduh isteri menggunakan bomoh terhadap saya," katanya kepada BH Online.

Beliau membuat kenyataan sewaktu menghadiri Kempen Terima Kasih 2018 anjuran rangkaian televisyen (TV) Media Prima Berhad (MPB).

Sementara itu, anggota Forteen ini berkata, Awin bertindak menenangkannya agar tidak melatah ketika berhadapan tuduhan tidak berasas itu.

isteri amal ilmu hitam ini kenyataan izzue islam 2

Kredit foto: Instagram Izzue Islam

"Saya terkilan kerana individu yang membuat tuduhan seperti tidak ada agama dan tidak beri bukti.

"Hentikanlah buli siber kerana ia memberi impak negatif kepada banyak pihak. Jika kurang pasti, jangan mulakan sesuatu yang tidak pasti kesahihannya... Mentaliti begini harus dihentikan," katanya.

Izzue turut mengarahkan individu berkenaan tampil mendedahkan bukti bagi mengesahkan dakwaannya, dan bukannya bersembunyi di sebalik akaun media sosial palsu.

"Jika benar Awin mengamalkan ilmu hitam seperti yang didakwa, buktikan dan tunjuk bomoh yang digunakan. Perkara ini bukan membabitkan akaun palsu, sebaliknya beberapa individu," katanya.

Beliau turut mengakui, isu zuriat dalam perkahwinan mereka yang sering dibangkitkan, turut memberi kesan kepadanya.

"Pasangan berkahwin mana yang tidak mahu cahaya mata? Jangan tuduh sesuka hati saja," katanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)