Pencemaran plastik adalah pengumpulan objek seperti botol dan beg plastik di persekitaran Bumi yang memberi kesan buruk kepada hidupan liar, habitat dan manusia. 

Dari puncak tertinggi Gunung Everest sehinggalah ke dasar paling dalam Mariana Trench, plastik terus mencemarkan alam sekitar dan menimbulkan ancaman terhadap semua bentuk kehidupan di Bumi. Walaupun tahu tentang kesan pencemaran plastik, kita masih tidak mampu menghentikan penggunaan produk plastik.

Alternatif plastik mesra alam

angelina arora

Kini, kita akhirnya mempunyai alternatif yang jauh lebih baik apabila seorang gadis berusia 17 tahun, Angelina Arora, menemui jalan penyelesaian terhadap masalah pencemaran plastik.

Ciptaan bahan plastik gadis itu mampu terurai 5000 kali ganda lebih cepat berbanding kebanyakan produk plastik komersial yang kita gunakan sekarang.

Arora yang berasal dari Adelaide, Australia, telah terinspirasi untuk mengatasi masalah pencemaran plastik ini pada usia yang muda lagi. Dia mula menyedari kesan sampah plastik ketika berbelanja dengan ibunya di sebuah pasar raya tempatan.

Dia tertanya-tanya mengapa ibunya perlu membayar untuk beg plastik sedangkan mereka membeli barangan di situ. Ketika ditanya, juruwang memaklumkan kepadanya tentang bagaimana plastik "menyakiti" planet ini dan bayaran tambahan dikenakan untuk tidak meggalakkan orang daripada menggunakannya.

Ini menjadi inspirasi kepada Arora untuk mencipta bahan plastik yang lebih mudah terurai berbanding plastik konvensional. Setelah bereksperimen dengan bahan organik yang berbeza, Arora akhirnya mendapat idea untuk menggunakan kulit udang.

Minat mendalam dalam bidang sains

angelina arora di makmal 722

Minat mendalam Arora terhadap sains memberikannya kelebihan dan pemahaman yang tepat tetapi perjalanan mencipta "plastik mesra alam" ini tidaklah semudah yang disangka.

Dia pernah bereksperimen dengan beberapa bahan organik lain seperti tepung jagung dan kulit pisang tetapi terpaksa mengenepikan bahan itu kerana beberapa kelemahan.

Pada suatu hari ketika makan malam, dia menyedari bahawa kulit udang yang dimakannya kelihatan seperti plastik. Ini menjadi tanda tanya dan dia segera ke makmal untuk membuat penyelidikan. Dia menggambarkan makan malam pada hari itu sebagai detik "Eureka".

Dia mengekstrak karbohidrat yang disebut sebagai "chitin" dari kulit udang dan menggunakan penukaran kimia untuk mengubahnya menjadi kitosan. Kemudian, Arora mencampukannya dengan protein tidak larut yang dipanggil "Fibroin", seperti yang terdapat dalam kepompong sutera.

Menggunakan gabungan kedua-dua bahan organik ini, Arora berjaya bahan plastik yang boleh hancur sepenuhnya hanya dalam masa 33 hari. Lebih menakjubkan, plastik ciptaannya membebaskan nitrogen semasa proses penguraian yang boleh digunakan sebagai baja.

Berkualiti tinggi dan tahan lasak

anugerah angelina arora

Walaupun ciptaan plastiknya itu mampu terurai dalam masa yang singkat, ini tidak bermakna plastik ciptaannya berkualiti rendah. Sebaliknya, plastik ciptaan Arora itu sebenarnya ringan dan tahan lasak.

Ciptaan Arora itu telah menarik perhatian ramai pihak. Selain itu, dia juga telah memenangi sejumlah anugerah dan pertandingan melalui plastik mesra alamnya itu.

Dalam Anugerah Sains dan Kejuruteraan Yayasan BHP Billion 2018, Arora telah menerima anugerah Innovator to Market. Dia juga mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui Pameran Antarabangsa Sains dan Kejuruteraan.

Ribuan pelajar cemerlang dari lebih 81 buah negara mengambil bahagian dalam pertandingan ini dan Arora menduduki tempat keempat untuk kategori inovasi terbaik. Dia ditawarkan biasiswa komprehensif untuk melanjutkan pelajaran di salah satu universiti terbaik di Amerika Syarikat.

Kejayaan awalnya menarik minat para sarjana dan saintis di seluruh Australia. Dia diberi keistimewaan untuk menggunakan makmal universiti dan peralatan yang jauh lebih canggih berbanding sekolahnya.

Arora kini sedang berusaha untuk mengenal pasti proses yang terlibat dalam pembuatan produk plastiknya di peringkat komersial. Tujuannya adalah untuk memastikan laut bersih dari pencemaran plastik.

Inspirasi untuk menyelamatkan Bumi

penyu makan plastik

Dia juga ingin memberi inspirasi dan mendorong orang muda lain untuk memainkan peranan masing-masing dalam memastikan dunia adalah lebih bersih dan selamat untuk didiami.

Arora yang kini berusia 18 tahun merupakan seorang pelajar perubatan. Dia sedang dalam usaha untuk menghasilkan prototaip akhir produknya dan bersedua menghasilkannya secara komersial.

Dia bakal mempatenkan produknya tidak lama lagi. Beberapa pasaraya dan syarikat menunjukkan minat terhadap produk yang bakal dihasilkan Arora. Ini kerana bahan plastiknya sesuai digunakan untuk semua jenis pembungkusan. Selain itu, kos pembuatan produk plastiknya juga lebih rendah berbanding kebanyak produk plastik biodegredasi lain.

Arora berharap agar lebih ramai golongan muda terutamanya wanita untuk mengejar minat mereka dan memberikan impak positif sebanyak yang mungkin.

Rujukan:

1. Pelajar Australia mencipta plastik mudah terurai

2. Usaha pelajar sekolah menyelamatkan alam sekitar dari pencemaran plastik

3. Plastik mudah terurai daripada kulit udang



Hakcipta iluminasi.com (2017)