Berapakah kelajuan WiFi di rumah anda? 6Mbps? 30Mbps? 100Mbps? 500Mbps? Adakah anda sudah berpuas hati dengan kelajuan seperti ini? Sekiranya tidak, teknologi LiFi mampu memuaskan hati anda. Teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang LiFi. 

Apakah Sebenarnya Li-Fi?

apa itu lifi

BESARKAN TEKS     A-  A+

Li-Fi atau LiFi adalah singkatan bagi Light-Fidelity. Terma ini pertama kali digunakan pada tahun 2011 di TED Talk oleh Professor Harald Haas daripada University of Edinburgh. Beliau adalah individu yang bertanggungjawab membangunkan teknologi ini. Pembentangan beliau telah menarik perhatian ramai pengkaji untuk melakukan penyelidikan terhadap teknologi baharu ini. 

LiFi sebenarnya adalah sebuah teknologi komunikasi tanpa wayar berkelajuan tinggi yang menggunakan cahaya yang dapat dilihat untuk menghantar maklumat. Ianya mempunyai sedikit persamaan dengan teknologi WiFi yang sedia ada, namun turut mempunyai perbezaan yang ketara.

Persamaan antara WiFi dan LiFi adalah dari segi teknologi tanpa wayar (wireless). Perbezaannya, WiFi bergantung kepada gelombang radio untuk menghantar dan maklumat, manakala LiFi menggunakan visible light communication (VLC), atau infrared dan gelombang spektrum UV untuk tujuan tersebut. Dalam kata lain, LiFi berfungsi dengan menggunakan cahaya (yang dapat dilihat), seperti cahaya daripada lampu biasa. 

Bagaimana Li-Fi Berfungsi?

operasi teknologi lifi

Apabila arus malar (constant current) disambungkan dengan lampu LED, paket tenaga kecil yang digelar photons akan dibebaskan, yang mana mata manusia melihatnya sebagai cahaya. Sekiranya input arus kepada LED divariasikan, kecerahan cahaya juga akan berubah. Namun, menariknya, perubahan kecil terhadap kecerahan cahaya tidak akan disedari oleh mata manusia.

Memandangkan LED adalah peralatan jenis semikonduktor, arus dan output optikal (cahaya) boleh dilaraskan pada kelajuan yang tinggi, yang kemudiannya akan dikesan oleh sejenis alat pengesan cahaya yang mengubahnya kembali kepada arus elektrik. Dalam bahasa mudah, maklumat dihantar dalam bentuk cahaya, kemudiannya diubah semula kepada bentuk arus elektrik, seperti paparan pada telefon pintar. 

Dengan cara ini, teknologi LiFi yang menggunakan cahaya daripada lampu LED dapat menghantar maklumat daripada satu lokasi kepada lokasi (alat) dengan lebih pantas, pada kelajuan cahaya, beratus kali ganda lebih laju daripada penggunaan gelombang menerusi WiFi. 

Kelebihan Teknologi Li-Fi Berbanding Wi-Fi

kelebihan lifi berbanding wifi

Memandangkan manusia sememangnya sudah bergantung kepada pencahayaan daripada lampu, teknologi LiFi membawa banyak kelebihan baru daripada segi sambungan internet tanpa wayar. Dalam dunia hari ini, lampu ada di mana-mana sahaja, di bilik, ruang tamu rumah, sekolah, hospital dan sebagainya, jadi pemasangan modem dan router tidak lagi diperlukan untuk sambungan kepada internet. 

Maksudnya, di mana ada cahaya lampu, maka di situ akan ada sambungan internet melalui LiFi. Teknologi LiFi yang bergantung kepada cahaya untuk berkomunikasi mempunyai keupayaan untuk membawa lebih banyak maklumat berbanding gelombang radio yang digunakan dalam teknologi WiFi.

Spektrum bagi cahaya yang dapat dilihat adalah 10,000 kali ganda lebih besar berbanding spektrum gelombang radio. Malah, bandwidth LiFi juga adalah 100 kali ganda melebihi teknologi WiFi yang kita gunakan hari ini. Gabungan ciri-ciri ini membolehkan sambungan internet menggunakan LiFi untuk menghantar maklumat pada kelajuan 224 gigabytes setiap saat (224 Gbps).

kelebihan teknologi lifi 956

Sebagai perbandingan, pelan Unifi yang paling mampan pada harga RM329 setiap bulan mempunyai kelajuan 100Mbps, manakala pelan TIME pula mempunyai kelajuan paling tinggi pada 500Mbps. Sekarang, bayangkan perbezaan daripada segi kelajuan, antara 500Mbps dan 224Gbps (1000 Mega = 1 Giga). Perbezaan kelajuan adalah pada kadar 450 kali ganda. Tidak terbayang bukan.

Tambahan pula, teknologi LiFi juga sesuai untuk digunakan dalam kawasan yang sensitif terhadap elektromagnetik seperti hospital, kabin kapal terbang dan loji tenaga nuklear. 

Kekurangan Teknologi Li-Fi Berbanding Wi-Fi

kekurangan teknologi lifi

Walaupun mempunyai banyak kelebihan, LiFi juga mempunyai kekurangannya tersendiri. Memandangkan LiFi bergantung kepada cahaya, sambungan terhadap internet menggunakan teknologi ini hanya sia-sia dalam persekitaran yang gelap. Ini bermaksud tiada sambungan internet ketika anda berbaring di dalam bilik dengan lampu tertutup pada waktu malam. Hal ini tidak terjadi sekiranya WiFi digunakan. 

Memandangkan cahaya tidak dapat menembusi dinding, anda perlu berada berdekatan dengan kawasan yang bercahaya untuk mendapat akses kepada Internet, sedikit menyusahkan buat kebanyakan kita. 

Perkembangan Terkini Teknologi Li-Fi

Susah untuk berbicara tentang kejayaan teknologi LiFi kerana ianya masih dalam fasa percubaan. Syarikat pengeluar lampu Philips adalah antara syarikat yang melabur ke arah pembangunan teknologi ini. Buat masa ini, kelajuan paling tinggi yang berjaya dicapai menggunakan LiFi adalah sekitar 30Mbps. Masih terdapat banyak cabaran dan masalah yang perlu diselesaikan untuk menghalusi teknologi LiFi. 

Persoalannya, adakah LiFi stabil untuk digunakan? Bagaimana LiFi boleh digunakan dalam keadaan gelap? Banyak lagi cabaran dalam membangunkan teknologi ini ke tahap matang dan untuk penggunaan secara komersial. Namun begitu, LiFi dilihat mempunyai potensi besar untuk mengubah dunia internet. Jika LiFi berjaya dikembangkan ke tahap komersial, apa pula yang akan terjadi kepada WiFi? Adakah ianya akan dtinggalkan atau kedua-dua teknologi ini akan terus digunakan bersama?

Sumber:

  1. scienceabc.com
  2. techworld.com
  3. fastcompany.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)