Walaupun kebanyak wanita pernah berkongsi pengalaman mereka ketika berada dalam bilik bersalin, hampir tiada seorang pun daripada mereka yang mungkin menyerupai kisah seorang wanita bernama Maria Jones-Elliott dari Ireland ini.

Ketika berusia 34 tahun, Maria menerima berita gembira apabila doktor memberitahu bahawa dia sedang hamil selama tujuh minggu. Apa yang lebih mengujakan ialah dia mengandungkan sepasang anak kembar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, Maria tidak menyangka bahawa dia akan mengalami kehamilan dan kelahiran yang luar biasa sehingga dicatatkan dalam Rekod Dunia Guinness. Segalanya kelihatan normal sehinggalah kehamilan minggu ke-24.

Menjelang akhir minggu itu, Maria berasa tidak sihat di tempat kerjanya dengan tekanan yang menyakitkan di bahagian perut. Dia menyangka ia adalah perkara normal kerana mengandungkan anak kembar. Dia kemudian pergi untuk pemeriksaan dan terus ditahan untuk dimasukkan ke dalam wad bersalin.

kembar 87 hari bersama kakak dan abang mereka olivia dan jack 187

"Kembar 87 hari" bersama kakak dan abang mereka

Pada 1 Jun 2012, kira-kira empat bulan sebelum tarikh sebenar yang ditetapkan doktor untuk kelahiran anaknya, Maria melahirkan seorang bayi perempuan yang dinamakan Amy.

Bayi pramatang itu hanya seberat 0.54 kg. Setelah Amy dilahirkan, kontraksi Maria terhenti. Doktor cuba untuk mendorongnya semula pada keesokan hari tetapi tiada apa yang berlaku. Amy yang dilahirkan pramatang pula disimpan dalam inkubator.

Maria memberitahu kepada akhbar bahawa Amy berjuang untuk hidup dalam inkubator, begitu juga dengan kembarnya berjuang untuk selamat dalam rahim. Setelah beberapa jam, Maria dan suaminya, Chris, membuat keputusan untuk menyerahkan segalanya kepada takdir dan membiarkan kelahiran seterusnya berlaku secara alami.

amy dan katie menyambut hari jadi pertama mereka

Amy dan Katie menyambut harijadi pertama mereka

Setelah lima minggu Amy berada dalam inkubator barulah Maria dapat mendukung anaknya itu. Ia merupakan tempoh yang amat sukar bagi dirinya dan keluarga. Sebelum itu, dia akan melawat Amy setiap hari sambil terus mengandungkan seorang lagi anaknya.

Dia langsung tidak berasa gembira sebagai ibu yang baru melahirkan anak kerana tidak mengetahui apa yang bakal terjadi kepada kedua-dua orang anak kembarnya itu.

Pada 27 Ogos 2012 iaitu minggu ke-36 kehamilannya, Maria sekali lagi masuk ke bilik bersalin. Hanya selepas satu jam, kembar kepada Amy iaitu Katie dilahirkan. Bayi seberat 2.55 kg itu kelihatan normal.

keluarga elliot bersama pasangan kembar 87 hari mereka

Dua jam selepas kelahirannya, Katie dipertemukan semula dengan kakak kembarnya, Amy, yang masih berada dalam inkubator sementara bapa mereka, Chris, pergi untuk mendaftarkan kedua-dua anaknya itu.

Maria enggan mendaftarkan Amy sehinggalah Katie dilahirkan kerana mereka merupakan kembar. Dia mahu kedua-dua orang anaknya itu didaftarkan bersama-sama. Katie dibenarkan pulang setelah lima hari dilahirkan tetapi Amy hanya dibenarkan pulang tujuh minggu selepas itu.

Seorang doktor di Hospital Waterford Regional di mana kembar itu dilahirkan, Eddie O'Donnell, berkata bahawa kelahiran kembar biasanya berlaku secara mengikut turutan tetapi beza 87 hari adalah amat jarang berlaku. Biasanya kes seperti ini akan mengakibatkan salah seorang lagi kembar meninggal dunia.

kembar yang lahir dengan jarak 87 hari

Amy dan Katie memulakan hari pertama persekolahan

Bagi bayi yang dilahirkan dalam usia 23 minggu untuk selamat adalah satu pencapaian yang besar. Akan tetapi, bagi bayi kembar untuk lahir seawal itu adalah lebih mengagumkan kerana bayi kembar biasanya lebih bersifat pramatang berbanding bayi tunggal.

Apa yang dilakukan para doktor dan pihak hospital dalam menangani kes Amy dan Katie adalah sangat mengagumkan. Pemikiran dan keputusan yang dilakukan mereka dalam kes yang amat terpencil itu sangat hebat.

Menurut pakar perubatan yang merujuk kajian perubatan, peluang kedua-dua anak kembar Maria dan Chris untuk hidup sebenarnya adalah 40 peratus sahaja. Kemungkinan kedua-dua kembar itu selamat adalah seperti satu 'kemenangan loteri'.

Sebelum kembar Amy dan Katie, rekod dunia untuk kelahiran kembar berselang paling lama dipegang oleh Peggy Lynn dari Cambridgeshire, England. Lynn melahirkan anak kembar perempuannya Hanna dan anak lelakinya Eric berselang 84 hari antara 1995 dan 1996. 

Rujukan:

1. Kembar yang lahir berselang 87 hari

2. Pasangan kembar pecah Guinness World Record

3. Amy dan Kate Elliot pasangan kembar dengan kelahiran unik.




Hakcipta iluminasi.com (2017)