Kisah ini diceritakan oleh seorang warga Itali iaitu Julia Morandin tentang bagaimana beliau menjalani perintah berkurung disebabkan wabak COVID-19 sebagai seorang introvert.

Bagi yang tak tahu, definisi bagi introvert adalah seseorang yang suka dengan persekitaran yang menenangkan dan sederhana.

Introvert sering dianggap sebagai individu yang tenang, lebih menyendiri dan bertimbang rasa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mereka tidak suka mencari perhatian khusus atau penglibatan sosial, kerana perkara-perkara ini boleh meletihkan introvert.

Golongan introvert cenderung untuk berasa tidak bermaya selepas bersosial dan mendapatkan semula tenaga mereka dengan menghabiskan masa bersendirian.

Malah, mereka lebih suka mengelak dari berada dalam kumpulan yang besar yang mana bertentangan dengan ekstrovert.

Sebab utama untuk perkara ini adalah kerana otak introverts bertindak balas terhadap dopamin dengan cara yang berbeza daripada otak ekstrovert. Dengan kata lain, jika anda introvert, kemungkinan anda dilahirkan sedemikian.

Kisah introvert menjalani perintah berkurung COVID-19

perintah berkurung di sepanyol

Saya teringat pertama kali mendengar tentang virus baru ini. Ketika itu bulan Januari dan saya tak begitu beri perhatian sangat. Lagipun, ia berlaku di China dan saya tinggal di Sepanyol. Mengapa saya perlu ambil tahu?

Saya dilahirkan dan dibesarkan di Itali. Menjelang bulan Februari, situasi menjadi semakin serius di sana.

Ibu bapa saya memberitahu bahawa mereka tidak dibenarkan keluar dari rumah kecuali untuk membeli barangan dapur atau jumpa doktor.

Ini membuatkan saya sedar bahawa ini benar-benar berlaku dan saya mula bimbang, walaupun pada ketika itu saya masih menjalani hidup normal di Sepanyol.

Semuanya berubah minggu lepas. Kes-kes di Sepanyol tersebar dengan sangat cepat sehinggakan situasi menjadi kucar-kacir dalam semalaman sahaja.

Kami tidak boleh keluar rumah untuk bersiar-siar.

Apa yang aneh adalah sebagai seorang yang mempunyai personaliti introvert dan sudah bekerja dari rumah untuk tempoh hampir 2 tahun, hidup saya tidak mengalami banyak perubahan.

Teman lelaki saya dengan personaliti extrovert juga bekerja dari rumah, jadi kami sudah biasa menghabiskan sebahagian besar masa bersama-sama di apartment kami.

Walaubagaimanapun, perintah berkurung ini merupakan kesempatan untuk berfikir secara mendalam tentang beberapa aspek kehidupan saya yang biasanya saya ambil mudah.

Saya kongsikan 5 perkara yang saya pelajari dari 5 hari pertama perintah berkurung yang saya jalani di Sepanyol.

1. "Kebiasaan saya" bukanlah satu norma

introvert ketika perintah berkurung

Menonton video yang dibuat oleh orang yang tidak tahu bagaimana mereka akan bertahan hidup akibat kuarantin membuatkan saya menyedari bahawa gaya hidup saya sebagai introvert tidak banyak berubah.

Saya suka bersenam pada waktu pagi, jadi saya biasanya berenang atau berjalan-jalan.

Selain daripada itu, saya bekerja dari rumah, membeli barangan dapur secara dalam talian dan gemar menghabiskan waktu malam di atas sofa dengan menonton Netflix dengan teman lelaki saya.

Saya tidak perlu keluar rumah untuk bergembira dan menikmati hidup saya.

Saya menyedari betapa hebatnya kesan perintah berkurung ini bagi mereka yang sudah biasa ke pejabat dan bersosial di luar beberapa kali seminggu.

Satu lagi yang mengejutkan saya adalah mendengar orang bercakap tentang masa yang mereka miliki ketika ini untuk melakukan projek yang mereka tangguh untuk berbulan-bulan.

Saya bertanya kepada diri saya, "Masa apa yang mereka maksudkan?". Ketika itulah saya sedar bahawa hidup saya tidak banyak berubah.

Saya sentiasa mampunyai masa untuk melakukan apa-apa projek bila-bila sahaja yang saya mahukan.

Beberapa hari lalu teman lelaki saya bertanya, "Awak serius tak ada pelan untuk keluar langsung?". Saya menjawab, "Kita tak boleh keluar pun,".

Bagi saya, ia bukanlah satu masalah besar. Sudah tentu saya rindu untuk bersiar-siar pada waktu pagi tetapi saya boleh atasinya.

2. Teknologi adalah satu rahmat

teknologi adalah satu rahmat

Ramai orang membandingkan situasi pada ketika ini dengan Perang Dunia Kedua. Satu meme yang saya lihat di Internet berbunyi, "Datuk nenek kita dikerahkan untuk berperang. Kita pula dikerahkan untuk duduk dalam rumah".

Ia benar-benar memberikan perspektif kepada saya. Sebagai seorang introvert, saya sangat suka menghabiskan masa di rumah dan saya tak rasa perintah berkurung ini sebagai satu pengorbanan yang besar.

Tetapi sudah tentu situasi ini akan berbeza jika kita tidak mempunyai internet, tak boleh kerja dari rumah, tidak berhubung antara satu sama lain di banyak platform media sosial, atau tidak mempunyai akses kepada berita dengan pantas.

Ramai orang perlu membiasakan dengan rutin baru dan bagi mereka, semuanya menjadi kacau bilau.

Sebab itu saya berasa sangat bersyukur dapat bekerja dari rumah dan saya sedar tak semua orang memiliki kelebihan ini.

3. Saya perlu peka terhadap badan saya

pengalaman introvert perintah berkurung

Untuk beberapa hari pertama, badan saya berada dalam keadaan baik. Tetapi kemudiannya saya sakit belakang, dan ketika itulah saya mula melakukan aktiviti yoga.

Kerana saya tinggal di apartment, saya tidak mempunyai halaman rumah tetapi mempunyai ruang yang cukup.

Saya mula melakukan beberapa gaya yoga yang sangat menenangkan, dan tak lama kemudian badan saya terasa lebih baik.

Orang dengan personaliti introvert cenderung untuk menghabiskan banyak masa dalam kepala mereka dan kadang-kala mengabaikan tubuh badan.

Saya sedar bahawa saya perlu lebih beri perhatian kepada tubuh badan secara fizikal dalam apa jua situasi termasuklah ketika perintah berkurung.

4. Krisis boleh membawa kebaikan kepada manusia 

rakyat itali nyanyi di balkoni 237

Sebagai seorang yang sangat sensitif, emosi saya mudah terganggu dan video-video di Itali menyanyi di balkoni benar-benar menyedarkan saya.

Mereka menemui satu cara untuk berhubung antara satu sama lain di tengah-tengah krisis membunuh ini, yang mana memberikan saya harapan yang sangat besar.

Jua, kanak-kanak di seluruh Itali melukis pelangi dengan ayat "Andrà tutto bene", yang bermaksud "Semuanya akan baik-baik sahaja".

Di Sepanyol, setiap malam pada jam 8 malam kami akan berdiri di balkoni dan menepuk tangan untuk mengucapkan terima kasih kepada ahli kesihatan yang bekerja keras untuk menyelamatkan nyawa.

Meskipun kita sedang hidup dalam saat yang menakutkan, krisis ini mengeratkan manusia dan ia telah menunjukkan tahap empati serta hubungan yang saya tak pernah lihat sebelum ini.

5. Saya boleh pilih siapa yang saya mahu dengar

kehidupan sebagai seorang introvert

Walaupun otak introvert saya (cenderung untuk overthinking dan terlalu peka) mahu saya menyemak berita setiap 5 minit, saya sebaliknya mendengar banyak podcast pembangunan peribadi kerana saya tahu saya boleh memilih ke mana untuk tumpukan perhatian saya.

Saya ingin sentiasa tahu akan keadaan sekeliling dan mematuhi peraturan, tetapi berada dalam keadaan peka setiap masa tidak memberikan apa-apa kebaikan kepada saya atau orang lain.

Itulah sebabnya saya melaksanakan beberapa kekangan dalam hidup saya ketika perintah berkurung ini berlangsung.

Kini saya hanya melayari berita sekali pada waktu pagi dan sekali lagi pada waktu malam.

Selebihnya, saya memberi tumpuan kepada kerja, mendengar podcast perniagaan dan perkembangan peribadi, mengamalkan yoga, mengecat, menonton Netflix dan memasak.

Saya mendapati bahawa aktiviti-aktiviti ini dapat menenangkan kegelisahan saya dan mengalihkan tenaga saya kepada sesuatu yang lebih produktif serta memuaskan.

Lagipun, semuanya masih merupakan satu pilihan, iaitu saya boleh memilih untuk menyalahkan novel coronavirus dan situasi luaran, atau saya boleh memilih untuk mengambil kesempatan ke atas tempoh ini untuk belajar dan membantu orang lain.

Dan apabila otak saya bercelaru, saya tahu saya boleh fokus semula kepada kerja penting yang saya lakukan, kepada hubungan yang saya ada dan hubungan masa depan.

Disebabkan krisis ini, semua tangisan akan berlalu dan saya tahu kita semua akan menjadi lebih kuat sebagai seorang manusia pada masa akan datang.

Rujukan:

1. Introvert Dear

2. Healthline

3. Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)