Sumber foto: Astro Awani (Gambar sekadar hiasan)
Dua lelaki dikatakan merasai simptom pening dan lemah badan diyakini setelah meminum kopi pracampuran 4 dalam 1 lalu terpaksa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) petang semalam.
Namun, mereka sedang berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Unit Kecemasan Rapi HPP.
Sebelum ini, video jenama kopi dan dua lelaki berkenaan tular menerusi media sosial.
Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Wan Mansor Hamzah, pihaknya sudah mendapatkan sampel darah terhadap kedua-dua individu tersebut dan sedang menantikan keputusan berkaitan kes itu.
"Kita menunggu keputusan darah sama ada simptom yang dialami itu disebabkan kopi tersebut ataupun makanan lain yang diambil mereka.
"Setakat ini kedua-dua mereka mendakwa simptom itu dialami selepas mereka minum sejenis kopi campuran,” ujarnya semasa dihubungi malam semalam.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataannya memberitahu, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang disuruh melakukan siasatan lanjut tentang insiden itu dan keputusannya bakal diumumkan tidak lama lagi.
Sumber berita: Kosmo Online