Mereka mungkin tidak memakai topeng seperti mana adiwira dalam televisyen, namun mereka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan - seandainya mereka berdepan dengan situasi yang memerlukan mereka bertindak.

Kewujudan gerakan yang digelarkan sebagai 'pasukan pertahanan lembu' atau 'cow vigilantes' di India, merupakan satu fenomena yang sebenarnya sudah ada sejak dulu tetapi kini mula popular selepas kerajaan BJP di bawah pentadbiran Narendra Modi mula membawa agenda seiring dengan mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun sudah diberikan amaran bahawa tindakan mereka sebenarnya menyalahi undang-undang, komuniti kumpulan Hindu yang meletakkan undang-undang di tangan mereka percaya apa yang mereka lakukan benar. Yang menjadi masalah, kerajaan India juga dilihat sebenarnya menyokong gerakan mereka.

Latar belakang yang menggalakkan keganasan

pm modi narendra bjp

Aktiviti menyembelih lembu sudah menjadi satu bentuk larangan di majoriti kawasan negara India, yang mempunyai populasi penganut Hindu dalam jumlah terbesar. Oleh kerana itu, sentimen dan kedudukan lembu sebagai seekor haiwan yang suci seringkali menjadi propaganda politik yang sangat berkesan dalam menyatukan persepsi penganut Hindu khasnya.

Sudah berdekad-dekad lamanya pemimpin Hindu mendesak kerajaan mereka agar memperkenalkan larangan penuh, seterusnya meningkatkan lagi kawalan ke atas penyeludupan lembu-lembu ke kawasan tertentu yang menjadi sumber makanan beberapa komuniti bukan Hindu.

Sentimen ini sampai ke kemuncaknya selepas Narendra Modi, pada ketika itu masih lagi Ketua Menteri Gujarat kerap kali memainkan pandangan bahawa kedudukan lembu di India belum terpelihara sepenuhnya dan kerajaan pada ketika itu perlu melakukan sesuatu yang drastik. Propaganda ini dilihat berjaya membawa Modi naik sehinggakan dia memenangi pilihanraya bersama partinya BJP dan Modi memegang jawatan Perdana Menteri.

Beberapa kejadian pembunuhan yang dilakukan pengganas Hindu terhadap individu Muslim yang dipercayai terlibat dalam penyembelihan lembu langsung tidak mendapat sebarang reaksi kerajaan Modi, yang dilihat sengaja membiarkannya berlaku. Hanya pada bulan Ogos 2018 kerajaan Modi mengeluarkan kenyataan mengkritik apa yang berlaku - empat tahun selepas mengambil alih tampuk kuasa.

44 kematian disebabkan perjuangan melindungi maruah lembu

anak dibunuh perusuh

Kumpulan-kumpulan berbahaya yang dengan sengaja mensasarkan mereka yang didapati menghina atau membahayakan nyawa lembu, berleluasa tanpa sebarang kawalan. Sehingga bulan Disember 2018, seramai 44 orang telah meninggal dibunuh dengan kejam, 36 daripadanya melibatkan orang Islam. 280 cedera diserang dalam 100 insiden melibatkan 'pasukan pertahanan lembu' yang dipenuhi individu beragama Hindu.

Antara kisah paling menyayat hati adalah kisah yang berlaku pada bulan Mac 2016, apabila dua orang lelaki Muslim bernama Majloom Ansari, 35 tahun dan anak buahnya Imtiaz Khan, 12 tahun mati diserang sekumpulan lelaki Hindu semasa dalam perjalanan ke pasar bagi menjual lembu jagaan mereka.

Dihalang daripada meneruskan perjalanan, kedua-duanya dipukul dan diserang dengan kayu dan kapak sebelum mayat kedua-duanya digantungkan dipokok - menggunakan tali yang sama digunakan untuk mereka menambat lembu jagaan mereka. Apa yang lebih menyayat hati, ayah Imtiaz, Azad Khan yang sempat melarikan diri terpaksa melihat dari dalam semak anaknya dibunuh dan digantung; terus mendiamkan diri bimbang perkara sama berlaku kepadanya juga.

Satu lagi kes yang kerap kali disebutkan adalah pembunuhan seorang warga Muslim berusia 55 tahun, bernama Pehul Khan. Dalam perjalanan pulang dengan membawa beberapa ekor lembu menaiki lori, lori Pehul ditahan 200 orang samseng. Walaupun mempunyai dokumen menyatakan lembu dalam jagaannya hanya digunakan untuk mendapatkan bekalan susu bagi bulan Ramadan tahun tersebut, rayuannya tidak diendahkan.

Pehul ditarik keluar kenderaannya sebelum dibelasah sehingga mati, barangan peribadinya seperti wang dan telefon dirompak. Apa yang menyedihkan - kematian Pehul disifatkan sebagai keadilan oleh beberapa orang pemimpin tertinggi BJP kerana melakukan kesalahan memindahkan haiwan tanpa permit.

Tindakan pembunuhan itu, mendapat pujian individu paling berpengaruh serta dianggap ketua kumpulan 'pasukan pertahanan lembu' India - Sadhvi Kamal Didi.

Siapakah Sadhvi Kamal Didi?

hindustan rajasthan rajasthan thursday jaipur sadhvi

Selepas Narendra Modi mengambil alih tampuk kerajaan, beberapa kumpulan kecil yang sebelum ini terpaksa beroperasi dalam diam mula menampakkan taring sebenar mereka. Antaranya adalah 'Bhartiya Gau Raksha Dal' atau 'Persatuan Organisasi Pelindung Lembu India' singkatannya BGRD dan juga 'Rashtriya Mahila Gau Raksha Dal' atau RMGRD.

RMGRD merupakan antara kumpulan lantang memperjuangkan kesucian lembu diketuai oleh seorang wanita bernama Sadhvi Kamal yang lebih selesa membahasakan dirinya sebagai 'kakak' atau 'didi.' Nama beliau dan kumpulannya mula menjadi terkenal selepas kejayaan mereka menutup sebuah hotel di daerah Jaipur, Rajasthan milik seorang pengusaha Muslim - kerana menghidangkan daging.

Kumpulan yang diketuai Sadhvi aktif di tiga negeri, Rajasthan, Haryana dan Uttar Pradesh; mempunyai keahlian lebih 2,200 orang wanita dan tidak diketahui jumlah keahlian lelakinya. Setiap ahli yang ada tidak takut untuk bertindak ganas asalkan kepentingan mereka dilindungi.

Setakat ini, Sadhvi mengaku sudah berjaya menyelamatkan lebih 583 ekor lembu daripada disembelih dan menjadikan penyeludup-penyeludup lembu sebagai sasaran utama. Bangga dengan apa yang dilakukannya, wanita itu mengaku setakat ini sudah lebih 15 laporan polis dilakukan ke atas aktiviti kumpulannya namun beliau yakin polis tidak akan mengambil sebarang tindakan.

Masalah terbesar - Sandhvi Kamal bukanlah satu-satunya pemimpin masyarakat yang ada. Ada lebih kurang 200 lagi kumpulan serupa muncul membawa agenda serupa.

Perjuangan suci mempertahankan lembu yang mensasarkan minoriti

sekatan jalan raya perusuh

Statistik tidak berbohong apabila direkodkan insiden berkaitan samseng-sameng yang melindungi lembu semakin meningkat hari ke hari, tanpa ada kawalan ketat diperkenalkan. Kumpulan seperti BGRD atau RMGRD merasakan kerajaan India menyokong usaha mereka dek pengenalan pelbagai sekatan baru ke atas aktiviti penyembelihan lembu, diperkenalkan.

Pada bulan Mei 2017, kerajaan India melarang sebarang bentuk eksport daging lembu ke pasaran luar di seluruh negara. Beberapa negeri memperkenalkan larangan keras menghalang pemilikan, jualan dan aktiviti memakan lembu. Akibat larangan ini, aktiviti penyeludupan semakin kerap berlaku dan kumpulan-kumpulan samseng ini mula mendakwa mereka bertindak dalam mematikan penyeludupan terus berlaku.

Merasakan diri mereka ejen kerajaan, kumpulan ini bertindak tanpa sebarang garis panduan, bebas melakukan apa saja kerana tidak ada tindakan balas berlaku menyebabkan mereka percaya mereka bertindak atas mandat yang diberi kerajaan.

Sesuatu yang lebih membimbangkan, siasatan media mendapati kumpulan-kumpulan ini juga mendapat latihan daripada sebuah badan bernama RSS yang dikenalpasti sebagai biro utama latihan paramilitari di bawah parti BJP.

Bagi mereka yang terlibat, apa yang mereka lakukan adalah perjuangan suci - walaupun terpaksa membunuh orang lain. Lembu dilihat sebagai haiwan yang tidak diletak pada tempat yang sepatutnya, jadi kumpulan-kumpulan ini mahu membetulkan keadaan itu.

Mereka mempunyai misi yang jelas; menyelamatkan maruah orang Hindu dengan melindungi lembu-lembu daripada terus dilapah menjadi makanan orang yang tak mempedulikan status lembu dalam agama Hindu.

Rujukan

A night patrol with India's cow protection vigilantes

India: Vigilante ‘Cow Protection’ Groups Attack Minorities




Hakcipta iluminasi.com (2017)