orang india lembu haiwan suci

Ramai orang beranggapan bahawa masyarakat Hindu menyembah lembu. Pendapat ini kurang tepat sebenarnya tetapi oleh kerana popularitinya, ramai pihak percaya dengan tanggapan ini tanpa benar-benar memeriksa kebenarannya.

Lembu memang memainkan peranan yang sangat besar, bukan saja dalam masyarakat Hindu malahan kebanyakan masyarakat dunia menggunakan faedah-faedah yang ada pada haiwan lembu ini, untuk kesenangan mereka.

Lembu dijadikan tunggangan, dijadikan penarik kereta, dijadikan makanan, susunya diminum malahan ada juga yang dipaksa menjadikan lembu pasangan hidup mereka. Namun hubungan lembu dengan masyarakat India khasnya mereka yang beragama Hindu, jauh lebih istimewa. Persoalannya - mengapa?

Lembu sebagai jelmaan suci

orang india dan ular tedung

Sesuatu yang perlu anda ketahui selain lembu, ada beberapa ekor haiwan lain yang turut sama diletakkan sebagai makhluk suci. Tiga lagi haiwan yang disanjung penganut Hindu adalah monyet, ular tedung dan gajah. Ini kerana menurut kepercayaan Hindu - keempat-empat haiwan merupakan simbol dan bentuk kepada Tuhan serta alam ini.

Asas kepercayaan orang Hindu agak pelbagai, dengan Tuhan mampu dijelmakan dalam pelbagai bentuk berbeza - elemen alam sekitar, tumbuhan, bahan-bahan lama, bentuk-bentuk geometrikal dan tak lupa juga haiwan. Tetapi orang Hindu tidak menyembah lembu!

Lembu pada mereka merupakan simbol yang amat rapat dengan Tuhan dan Dewa mereka, dengan beberapa ekor lembu dikatakan menjadi haiwan peliharaan Dewa kepercayaan mereka. Antaranya adalah Dewa Shiva yang membela seekor lembu bernama Nandi dan Dewa Indra pula memiliki seekor lembu bernama Kamadhenu yang mempunyai kebolehan menunaikan permintaan. Dewa Krishna pula dipercayai mereka merupakan seorang pengembala lembu semasa zaman mudanya.

Oleh kerana kaitan haiwan tersebut dengan Dewa-Dewa terbesar agama Hindu, kaitan di antara lembu dengan kepercayaan agama tersebut tidak boleh dipisahkan lagi - menyebabkan lembu diangkat dan diberikan penghormatan oleh orang Hindu.

Kepentingan lembu pada orang India

lord shiva menunggang lembu

Permulaan lembu diberikan penghormatan dalam masyarakat India dipercayai bermula semasa kebangkitan tamadun Vedic yang berlaku sekitar tahun 7BCE/SM. Oleh kerana kegiatan ekonomi mereka sangat bergantung dengan aktiviti bercucuk tanam dan bertani, haiwan seperti lembu memainkan peranan yang sangat besar dalam hidup mereka.

Kitab-kitab besar orang Hindu mencerminkan peranan lembu ini dengan beberapa larangan khas, dalam melindungi haiwan tersebut khasnya lembu yang digunakan bagi menghasilkan susu. Dalam kitab Rigveda, larangan membunuh atau menyembelih lembu susu disebutkan.

Dalam kitab Undang-Undang Manu atau Manusmirti, salah satu persetujuan perkahwinan dilakukan adalah dengan bapa kepada pengantin perempuan menerima hadiah seekor lembu daripada bakal menantunya, sebagai tanda penerimaan beliau. Walaupun begitu, amalan ini tidak lagi diamalkan kerana dikatakan seakan-akan sama seperti satu transaksi jual beli melibatkan lembu dengan seorang wanita, ditukarkan suka sama suka.

Sumber utama amalan 'panchagavya'

ingredients of panchagavya kandungan penghasilan

Lembu juga merupakan sumber yang sangat penting dalam penghasilan sejenis bahan campuran yang diguna dan diamalkan masyarakat Hindu, yang dinamakan sebagai 'panchagavya.'

'Panchvagavya' merupakan gabungan susu, ghee, keju, kencing dan tahi lembu yang digunakan secara meluas di bahagian selatan India di kawasan sekitar Tamil-Nadu dan Kerala, sebagai penawar atau ubat kepada beberapa jenis masalah kesihatan yang dijhidapi masyarakat seperti arthritis, darah tinggi, kencing manis, epilepsi, parkinson dan pelbagai lagi penyakit.

Selain daripada lima bahan itu, beberapa buah-buahan seperti air tebu, air kelapa dan pisang juga diadunkan ke dalam campuran. Ritual perubatan yang amat sinonim dalam masyarakat Hindu ini yang mampu merawat pelbagai jenis penyakit ini berasal daripada teks-teks yang terkandung dalam Charaka Samhita, dipercayai ditulis pada tahun 4BCE/SM.

Perbuatan memakan atau meminum najis serta tahi lembu, secara saintifiknya dilaporkan mampu menyebabkan banyak penyakit kepada orang ramai khasnya penyakit leptospirosis. Tetapi bagi mereka yang percaya dengan khasiat yang terkandung dalam adunan 'panchagavya', tidak ada apa yang mustahil untuk dicuba.

Rujukan

Bhagavatam Katha Mahabharata story: Krishna, Arjuna, the widow and her cow

Panchgavya and cow products: A trail for the holy grail



Hakcipta iluminasi.com (2017)