apt41 china perang siber rakyat malaysia

Dua orang rakyat Malaysia dilaporkan telah ditahan selepas kerajaan Amerika Syarikat mengeluarkan waran tangkap ke atas mereka berdua.

Ahli perniagaan bernama Wong Ong Hua berusia 46 tahun dan Ling Yang Ching, 32 tahun yang beroperasi dari Sitiawan, Perak ditahan pihak berkuasa negara kita. Sementara 5 orang lagi warga China yang menjalankan operasi bersama mereka masih bebas.

Ketujuh-tujuh mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan perang siber kelolaan kerajaan China, yang dikenali sebagai APT41. Jika anda pembaca tegar Iluminasi, nama itu pasti biasa anda dengari bukan?

Kumpulan perang siber APT41

apt41 double dragon rakyat malaysia

Pada bulan Mei tahun 2020, kami sudah menerbitkan artikel yang menjelaskan tentang organisasi perang siber yang diwujudkan oleh China, dalam usaha untuk mengintip dan menggodam apa saja maklumat berkenaan ketenteraan negara kita.

Kumpulan yang dikenali dengan nama kod APT40 yang beroperasi dari Hainan, China telahpun berjaya dan serangan ini telahpun disahkan berlaku pada bulan Februari tahun yang sama.

Sebenarnya ketika tempoh serupa, beberapa agensi risikan barat sudah pun mengeluarkan amaran berkenaan kumpulan APT41 yang dinamakan sebagai 'Double Dragon'.

APT41 merupakan kumpulan perang siber bagi mendapatkan maklumat yang boleh membantu dalam isu mewujudkan kerjasama antara syarikat luar dengan China atau penggabungan struktur, berkaitan bidang kesihatan, media, telekomunikasi, pendidikan, matawang digital dan topik kita hari ini - permainan video.

Kumpulan ini diberikan tanggungjawab untuk menyerang 14 buah negara dalam tempoh 7 tahun, iaitu Hong Kong, Perancis, India, Itali, Jepun, Myanmar, Belanda, Singapura, Korea Selatan, Afrika Selatan, Switzerland, Thailand, Turki, UK dan sudah tentulah Amerika Syarikat.

Modus operandi APT41

perang siber china

Matlamat besar APT41 seperti yang digariskan dalam skop fokus utama mereka, adalah untuk mendapatkan informasi atau apa saja maklumat yang boleh meluaskan bidang penyelidikan dan pembangunan China dalam sektor terbabit.

Namun APT41 sejak dari awal penubuhannya lagi dilihat agak cenderung mensasarkan industri permainan video dalam gerak kerja mereka, malangnya dibantu oleh dua warganegara kita.

Wong Ong Hua dan Ling Yang Ching didakwa menggunakan kedudukan mereka sebagai pengasas kepada SEA Gamer Mall, sebuah portal digital permainan video berpengaruh bagi membolehkan kod-kod tersembunyi, dipasangkan di mana-mana peranti milik individu lain bagi membolehkan pengumpulan data dilakukan.

Kod-kod pintu belakang ini bukan saja mampu mengumpul data peribadi sasaran secara sulit, malahan mampu menjana keuntungan lumayan kepada mereka yang terlibat seperti apa yang didakwa dilakukan oleh Wong dan Ling.

Dalam kertas pertuduhan kerajaan Amerika Syarikat, kedua-duanya didakwa di bawah dakwaan mengaut keuntungan dalam pasaran gelap, berkonspirasi dengan kerajaan China, memalsukan identiti, mencuri identiti, penggodaman, penyeludupan wang serta menyalah guna pendaftaran nama domain internet, bagi tujuan penipuan.

'Kejayaan' APT41 setakat ini

sea gamer mall anugerah

Satu perkara yang perlu kita tahu tentang APT41 - selain daripada ditugaskan menjalankan arahan kerajaan China, matlamat lain APT41 adalah bagi menjana keuntungan dalam skala besar.

Ini agak berbeza dengan kumpulan perang siber lain yang beroperasi di China, yang lebih memfokuskan kepada kompilasi maklumat sahaja. Atas sebab itulah APT41 gemar sekali mensasarkan industri permainan video sebagai mangsa utama mereka, kerana penggunaan matawang digital digunakan secara meluas dalam industri tersebut.

APT41 dilaporkan berjaya menjana jutaan ringgit wang digital dalam sebuah judul permainan video popular, yang kemudiannya dijual kepada pembeli-pembeli yang mahukan jalan mudah untuk mendapatkan apa yang mereka mahu dalam judul tersebut.

Kumpulan itu juga dilaporkan gemar mensasarkan syarikat-syarikat pengelola perkhidmatan pembayaran digital, bagi memintas transaksi yang dijalankan apabila melibatkan transaksi dalam judul (in-game transaction) dan juga transaksi menggunakan matawang sebenar.

Dalam satu kejadian, APT41 juga pernah menghantar emel ugutan kepada sebuah syarikat permainan video dalam talian selepas mereka berjaya memasang kod mereka dalam pelayan syarikat itu, bagi mendapatkan dana daripada mangsa.

Pendedahan terbaru ini mendedahkan bagaimana dalamnya ejen-ejen risikan China dari warga negara luar, terbabit dalam usaha menjayakan visi kerajaan tanah besar itu.

Tahukah anda tentang kes warganegara Singapura yang dilantik menjadi ejen risikan China? Berapa ramai lagi individu serupa berada di kalangan kita agaknya?

Rujukan

Seven International Cyber Defendants, Including “Apt41” Actors, Charged In Connection With Computer Intrusion Campaigns Against More Than 100 Victims Globally

APT41 Report (PDF)



Hakcipta iluminasi.com (2017)