Sesebuah negara mempunyai undang-undang yang dibuat oleh penggubal dasar, bagi melindungi kedaulatan, ketenteraman dan keselamatan negara itu sendiri daripada ancaman.

Majoriti undang-undang yang ada biasanya merangkumi perkara melibatkan perihal dalam negara, dengan hanya perkara seperti keselamatan, ekonomi, perdagangan dan sebagainya menyentuh aspek antarabangsa. Jarang undang-undang sesebuah negara digubal bagi melindungi sebuah negara atau masyarakat tidak berkait mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tetapi di Amerika Syarikat, tahukah anda wujud undang-undang yang melarang individu di negara itu - memboikot atau memulaukan apa saja berkaitan Israel? Betul ke? Memang betul!

Undang-undang aneh yang menghalang boikot

bantah larangan anti israel bds

Sejak tahun 2015 sehingga tahun 2021, 35 buah negeri di Amerika Syarikat telahpun berjaya meluluskan dasar yang menghalang secara mutlak mana-mana entiti perniagaan mahupun individu memboikot Israel dalam segala aspek.

Kewujudan undang-undang ini sejak diperkenalkan mengikut negeri, sudah mengakibatkan banyak syarikat dan individu hilang sumber pendapatan atau mata pencarian - disebabkan enggan menerima atau akur dengan satu undang-undang aneh di sana.

Undang-undang yang dikenali sebagai undang-undang Anti-BDS, sempena nama gerakan BDS pro Palestin iaitu Boycott, Divestment and Sanctions adalah gerakan balas kerajaan negeri di Amerika Syarikat dalam memastikan hubungan ekonomi di antara Israel dengan Amerika Syarikat terus terbela.

Dasar yang membentuk undang-undang ini bertindak dalam dua cara. Yang pertama, adalah dengan memastikan setiap kontrak perniagaan atau pekerjaan yang dibuat harus meletakkan klausa persetujuan untuk tidak memboikot Israel dalam apa cara sekalipun.

Kaedah kedua pula adalah dengan memastikan dana-dana pelaburan yang dikeluarkan baik kerajaan pusat ataupun kerajaan negeri, haruslah sampai hanya kepada entiti atau badan yang bersetuju dengan klausa ini.

Dua kedah ini menyebabkan mana-mana individu atau badan perniagaan perlu menerima kerjasama atau kemasukan individu, produk atau badan dari Israel sebagai satu perkara yang harus diikuti.

Penghalang kebebasan suara atau pelindung anti diskriminasi?

penyokong pro palestin di usa

Apabila dah diperkenalkan di Amerika Syarikat - sebuah negara yang mendabik dada membenarkan warganegaranya mempunyai kebebasan bersuara dalam perlembagaan utama mereka, undang-undang ini telah menyebabkan konflik wujud di kalangan ahli masyarakat mereka.

Ini kerana ada pihak melihat kerajaan tidak sepatutnya campur tangan dalam perihal sebegini, sebaliknya memberikan kebebasan kepada orang ramai untuk memboikot atau mengangkat apa saja yang mereka suka.

Dalam perspektif berbeza, pendokong undang-undang ini khususnya kumpulan ahli perniagaan yang datang dari orang Yahudi merasakan undang-undang ini perlu ada, bagi melindungi kepentingan mereka serta sumbangan yang telah mereka curahkan dalam membangunkan Amerika Syarikat.

Bagi memperkuatkan lagi pengenalan dasar ini, kerajaan Israel sendiri telahpun meluluskan undang-undang pada tahun 2017 untuk menghalang mana-mana individu atau badan luar negara mereka, yang telah dikenalpasti memegang sentimen anti-Israel masuk ke dalam negara mereka.

Lucunya, seperti adik dan abang - terlebih dahulu pada tahun 2011 kerajaan Israel telah memperkenalkan undang-undang hampir serupa di negara mereka; membolehkan mana-mana warga Israel yang didapati menyuarakan bantahan terhadap tindakan kerajaan Israel menceroboh masuk ke Palestin sebagai satu tindakan yang boleh dihadapkan ke mahkamah melalui tindakan saman.

Dan seperti biasa, Britain pun akan turut serta

warga uk bantah israel

Setelah dijalankan di Israel dan Amerika Syarikat, Great Britain juga sebenarnya dalam proses serupa sedang memperkenalkan undang-undang sama dalam pentadbiran mereka.

Semuanya bermula pada bulan November tahun 2014, selepas Majlis Perbandaran Leicester memperkenalkan kempen memboikot mana-mana produk dari Israel kerana mereka merasakan apa yang dilakukan oleh Israel sebagai satu pencabulan hak rakyat Palestin.

Tindakan itu mendapat reaksi keras Jewish Human Rights Watch, yang menyifatkan apa yang dianjurkan oleh negeri itu lebih mirip kepada apa yang pernah dibuat parti Nazi di Jerman. Tindakan itu juga mendapat kritikan keras kerajaan pusat United Kingdom, kerana bagi mereka tindakan kerajaan perbandaran Leicester itu anti-Semitik.

Selepas beberapa kali usul dibawa dan dibincangkan pada peringkat Parlimen UK, salah seorang ahli Parlimen UK bernama Michael Gove, penyokong kuat kerajaan Israel bakal membacakan usul tersebut pada penghujung bulan Oktober tahun 2023 untuk diluluskan selewat-lewatnya bulan berikutnya.

Sekiranya diluluskan, United Kingdom akan menjadi negara ketiga dalam dunia mempunyai undang-undang dalam negara sendiri, yang menghalang mana-mana warganegara mereka menyebarkan sentimen anti Israel.

Andainya berjaya, mana-mana badan kerajaan baik kerajaan pusat, kerajaan negeri atau tempatan tidak lagi dibenar menjalankan kempen yang memboikot, menghalang atau mengenepikan produk, elemen atau individu berkait Israel.

Apa kesan undang-undang sebegini kepada individu?

manga undanh undang usa pro israel

Untuk menilai apa kesannya pengenalan undang-undang anti boikot Israel ini kepada orang kebanyakan, kita harus melihat kesannya di Amerika Syarikat yang telahpun berjaya melaksanakannya.

Seperti yang kami sebutkan, mana-mana individu atau badan perlu menandatangani kontrak bersetuju untuk tidak melakukan sebarang aktiviti bersifat anti-Israel di 35 negeri Amerika Syarikat.

Begitulah yang terjadi kepada seorang wanita Palestin Amerika, bernama Bahia Amawi selepas kontraknya sebagai seorang pakar kanak-kanak ditamatkan ekoran enggan menerima klausa tersebut yang dimasukkan dalam perjanjian, mengikut undang-undang kerajaan negeri Texas.

Undang-undang negeri Arizona yang memperkenalkan dasar serupa juga telah menyebabkan seorang peguam penjara bernama Mikkel Jordahl ditamatkan kontraknya, selepas dia enggan mempersetujui klausa anti boikot Israel yang dimasukkan dalam perjanjian.

Jordahl menerusi firma guamannya, telah lama menjalankan usaha sendiri untuk tidak terlibat dengan mana-mana badan dari Israel. Bagaimanapun, dalam proses pembaharuan kontrak bagi tahun 2016, wujud klausa yang menghalang firma miliknya melakukan tindakan sebegitu.

Lebih malang bagi Jordahl, untuk proses pembaharuan tahun berikutnya, klausa itu dipertingkatkan lagi untuk menghalang Jordahl sendiri secara peribadi menyertai, menganjur atau menyebarkan sentimen anti Israel - sekiranya mahu kontraknya disambung.

Itu baru dua kisah yang telah didokumenkan. Kita tidak tahu berapa ramai individu lain setakat ini telah terkesan dengan klausa melindungi Israel yang diperkenalkan di Amerika Syarikat dan akan datang, United Kingdom.

Persoalannya - kenapa Amerika Syarikat dan United Kingdom bersungguh-sungguh mahu melindungi Israel? Kami yakin pembaca kami sudah maklum kenapa. Bagi mereka yang belum tahu, cuba selongkar banyak artikel lama kami yang menjawab persoalan tersebut agar anda tidak tertanya-tanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)