Oleh pada 23 Sep 2021 kategori

Di Jepun, telah menjadi suatu kebiasaan bagi wanita yang sudah berkahwin dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Ia berlaku dalam kebanyakan keluarga di sana terutamanya di kalangan kelas pertengahan.

Sebagai suri rumah, seorang isteri itu akan menggalas tanggungjawab untuk menguruskan semua perkara berkaitan rumah dan anak-anak. Para suami pula diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk mencari nafkah atau wang belanja.

okozukai

Stereotaip lama ini masih berlaku di Jepun di mana lelaki menghabiskan waktu yang panjang untuk bekerja dan jarang terlibat dalam urusan rumah serta anak-anak. Pada waktu malam pula, mereka biasanya akan menghabiskan masa untuk keluar bersosial dengan rakan sekerja atau pelanggan.

Setiap bulan, para suami ini akan menerima bayaran gaji daripada syarikat atau majikan mereka. Di Malaysia, kita mungkin sudah terbiasa dengan budaya suami memberikan sebahagian wang gaji kepada isteri untuk membeli barang keperluan dapur serta bayaran nafkah.

Namun, situasi itu agak berbeza di Jepun di mana kebanyakan suami yang bekerja ini akan memberikan keseluruhan gaji mereka kepada isteri. 

Suri rumah dan wang

Sejak dahulu lagi, suri rumah Jepun diberikan kuasa mengawal kewangan keluarga dan hampir kesemua perbelanjaan untuk seisi rumah. Mereka juga bertanggungjawab memastikan segala keperluan sentiasa mencukupi dan mempunyai wang simpanan apabila keadaan memerlukan.

suami jepun bekerja

Bagi para suami yang sibuk bekerja pula, mereka akan diberikan "wang saku" atau elaun daripada isterinya hasil daripada gaji mereka sendiri. Budaya inilah yang dikenali sebagai "Okozukai" yang bermaksud wang saku.

Walaupun jika isterinya bekerja, kebanyakan suami masih mengamalkan budaya ini dan memberikan sepenuhnya gaji mereka untuk diuruskan pasangan.

Tinjauan yang dilakukan oleh The Japan Times mendapati:

  • 13 peratus keluarga mengamalkan pengurusan bersama (suami dan isteri bersama-sama menguruskan kewangan keluarga).
  • 20 peratus keluarga diuruskan oleh suami.
  • Selebihnya atau lebih daripada 50 peratus diuruskan oleh isteri.

Undang-undang di Jepun tidak membenarkan seseorang itu untuk membuka akaun bersama (joint accounts). Ini bermakna, isteri menguruskan wang gaji yang diberi suaminya 100 peratus.

Suami Okozukai

Apabila seorang lelaki berkahwin baru berkawan dengan seorang lagi lelaki lain yang sudah berkahwin, soalan yang biasa ditanyakan adalah berapakah okozukai yang mereka terima. 

bento

Malah, media Jepun juga sering menyediakan laporan purata wang saku yang diterima suami setiap bulan daripada isteri mereka.

Suami yang menerima wang saku daripada isteri dipanggil sebagai okozukai sei dan mereka mudah untuk dikenal pasti. Mereka sering membawa bekalan dari rumah seperti bento.

Mereka jarang membazirkan wang saku untuk membeli makanan apatah lagi membeli sebotol bir ketika waktu rehat tengah hari. Jika berbelanja sekalipun, mereka akan membeli makanan yang murah dan mengenyangkan tetapi kurang menyihatkan seperti makanan segera.

Mereka biasanya menghabiskan wang saku dengan membeli minuman tenaga ketika bekerja atau minum di bar bersama rakan pada waktu malam.

Cara berkesan untuk berjimat

Secara puratanya, seorang lelaki dengan gaji sekitar 10 juta yen setahun (RM 381,000) mungkin mendapat wang saku sekitar 35,000 hingga 40,000 yen sebulan (RM 1,335 - 1,527). Jumlah itu sebenarnya sangat sedikit terutamanya di bandar Tokyo yang mahal.

suri rumah jepun

Wang saku ini bukan sahaja diperuntukkan ketika bekerja sahaja tetapi untuk hampir semua keperluan lain suami. Ia termasuklah rokok, bil telefon, wang gunting rambut dan sebagainya.

Bagi para isteri yang menguruskan wang pula, mereka juga akan menerima elaun daripada gaji suami. Elaun ini akan digunakan untuk keluar bersama rakan atau membeli-belah. Biasanya, isteri menerima elaun separuh daripada elaun suami mereka.

Isteri yang tidak mempunyai anak akan menerima lebih banyak elaun berbanding isteri yang mempunyai anak. Dengan cara ini, keluarga di Jepun mampu menyimpan puluhan hingga ratusan ribu ringgit setahun.

Wang rahsia atau Hesokuri

Malah, sebahagian isteri tidak mengambil elaun ini. Satu tinjauan mendapati hampir separuh suri rumah di Jepun mempunyai "simpanan rahsia" yang dikenali sebagai "hesokuri".

tugu kazutoyo yamanouchi

Tugu Kazutoyo Yamanouchi

Wang rahsia ini tidak diketahui oleh para suami. Ia bukanlah perkara yang baru dan bukan juga untuk kepentingan diri sendiri. Terdapat kisah popular tentang seorang wanita bernama Chiyo pada kurun ke-16

Chiyo merupakan isteri seorang samurai bernama Kazutoyo Yamanouchi. Wanita itu menyimpan hesokuri untuk membeli seekor kuda hebat yang membantu suaminya memenangi peperangan dan disanjungi.

Malah, banyak lagi kisah yang menceritakan besarnya jasa seorang isteri dalam budaya Jepun. Maka, tidak hairanlah budaya okozukai ini terus diamalkan walaupun sering dipandang Barat sebagai queen control.



Hakcipta iluminasi.com (2017)