Masyarakat barat mempunyai kawalan ke atas media dunia, jadi amat mudah untuk mereka menjual pada kita kepercayaan-kepercayaan yang mereka amalkan dalam kehidupan mereka.
Satu budaya paling popular yang semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat kita, adalah beberapa kepercayaan dan adat resam berkaitan perkahwinan yang diamalkan mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Apa yang sangat membingungkan, mengapa masyarakat kita yang terkenal dengan keunikan adat perkahwinan kita sendiri melibatkan budaya Melayu, Cina dan India, dilihat sangat selesa mencedok budaya masyarakat barat?
Berikut adalah lima adat resam masyarakat barat yang popular di kalangan masyarakat kita, tanpa sebab yang munasabah kenapa orang kita perlu melakukannya.
1. Baling jambangan bunga
Masyarakat barat percaya apabila jambangan bunga yang digunakan oleh pengantin perempuan dilemparkan pada kawan-kawannya yang menunggu di belakang - individu perempuan yang berjaya menangkap jambangan itu akan melangsungkan perkahwinannya pula selepas itu.
Budaya ini berpunca daripada tradisi masyarakat barat zaman dahulu yang percaya, sekiranya mereka berjaya mendapatkan cebisan pakaian pengantin perempuan selepas majlis selesai, mereka akan bernasib baik. Bagi mengelakkan terlalu ramai yang mencuba untuk mengoyakkan pakaian pengantin, pengantin perempuan akan membaling jambangan bunga menjadi ganti kepada cebisan pakaian.
Tradisi membaling bunga ini kemudiannya diperhalusi lagi mengikut peredaran zaman. Selepas selesai majlis, pengantin lelaki akan mengambil bahagian stoking pengantin perempuan bergelar 'garter' untuk diberikan pada pengapit lelaki. Individu wanita yang berjaya menangkap jambangan bunga akan diperkenalkan dengan pengapit lelaki tadi sebelum pengapit lelaki tadi memakaikan 'garter' pada wanita tersebut.
2. Angkat isteri masuk rumah
Tradisi ini memerlukan suami yang baru berkahwin melangkah masuk ke rumah atau kediaman mereka, memikul isterinya semasa mula melangkah masuk. Mereka percaya tradisi yang bermula daripada zaman lama Eropah ini memberikan nasib yang baik kepada pasangan. Isteri juga dikatakan tidak mudah ditakutkan dengan gangguan kuasa jahat.
Selain daripada itu, masyarakat Eropah lama juga mahu melindungi maruah pengantin wanita itu agar tidak kelihatan terlalu terhegeh-hegeh mahu menikmati malam pertama mereka berdua. Apabila suami memikul isterinya ke dalam, tingkah laku isterinya dapat dikawal, menurut kata mereka.
Semua ini berpunca daripada kepercayaan orang Rom lama yang berpegang kepada kepercayaan sekiranya pengantin perempuan tersadung pintu atau jatuh semasa melangkah masuk ke dalam kediaman barunya, ini akan menyebabkan nasib pengantin wanita itu malang sepanjang perkahwinannya.
Oleh kerana pengantin lelaki tidak berhadapan nasib serupa kalau tersadung, adalah lebih selamat pengantin lelaki yang melangkah masuk sambil memikul sahaja isterinya.
3. 'Bachelor/Bachelorette Party'
Semakin lama semakin ramai pula orang Malaysia yang turut sama ikut menganjurkan 'bachelor/bachelorette party' sebelum pernikahan - kononnya mahu memberikan malam terakhir sebagai seorang bujang pada bakal pengantin yang akan melangsungkan rumah tangga.
Tradisi 'parti bujang' ini sebenarnya bermula sejak abad ke 5BC lagi apabila orang Sparta memulakan acara keraian hari terakhir golongan lelaki mereka bergelar orang bujang. Lelaki-lelaki Sparta akan berkumpul beramai-ramai, makan malam bersama dan setiap orang akan memberikan ucapan bagi mengenang memori mereka.
Bagi pengantin perempuan pula, tradisi ini bermula agak lewat. Bachelorette party hany mula mendapat sambutan golongan wanita barat semenjak abad ke 19, selepas berlakunya Revolusi Seksualiti 1960-an yang 'membebaskan' pemikiran wanita generasi baru. Tradisi ini masih lagi jarang dilakukan sebelum tiba era 1980-an dan kini sudah jadi satu perayaan biasa masyarakat mereka.
4. Pemakaian cincin sebagai tanda ikatan
Pemakaian cincin pada jari merupakan satu amalan yang sudah lama bermula sejak 6,000 tahun yang lalu, dimulakan oleh orang-orang Mesir Purba. Orang Mesir zaman tersebut percaya pemakaian cincin perkahwinan perlu dipakaikan pada jari manis seseorang, kerana jari ini dipercayai mereka mempunyai salur darah yang terus berhubung dengan hati.
Tradisi pemakaian cincin ini dteruskan oleh orang Rom dan Greek.
Bagaimanapun pada zaman mereka, cincin itu membawa makna yang berbeza. Cincin itu digunakan oleh masyarakat Rom zaman dahulu sebagai satu bentuk bayaran pendahuluan kepada pengantin perempuan oleh pengantin lelaki.
5. Memakai gaun putih
Pemakaian pakaian putih oleh pengantin perempuan sebenarnya masih lagi layak dikatakan baru. Tradisi ini adalah antara tradisi paling popular diikuti masyarakat di negara kita.
Sejarahnya, pakaian pengantin perempuan masyarakat barat zaman dahulu sebenarnya berwarna merah. Pakaian putih pula dipakai bagi melambangkan situasi murung atau bersedih. Dalam sebuah perkahwinan di-raja di antara Permaisuri Victoria dan Putera Albert yang dilangsungkan pada 10 Februari 1840, Victoria memilih untuk memakai pakaian gaun berwarna putih.
Pilihan beliau itu mendapat tentangan golongan bangsawan Britain namun beliau nekad mahu memakai pakaian tersebut yang direkanya sendiri. Ini mula mempopularkan pemakaian warna putih di kalangan masyarakat barat.
Sebuah penerbitan majalah klasik berjudul Godey's Lady Book pada bulan Ogos tahun 1849, menerbitkan sebuah artikel menyarankan agar pengantin mula memilih warna putih sebagai warna busana sebagai pengantin. Menurut artikel itu, warna putih mencerminkan sesuatu yang asli dan bersih sesuai dengan status seorang pengantin wanita.
Atas saranan itulah, masyarakat barat mula menjadikan gaun putih sebagai warna rasmi pakaian pengantin mereka.