Oleh pada 07 Nov 2019 kategori

Berikutan kebangkitan kuasa ekonomi China sebagai salah satu negara gergasi dunia, tawaran gaji lumayan turut sama meningkat sehingga mampu menarik minat pemain-pemain berstatus antarabangsa untuk bermain dalam liga tempatan China.

Salah satu kritikan yang akan kerap kali dihamburkan pada pemain bola sepak, adalah apabila pemain itu sendiri meletakkan wang ringgit sebagai sasaran utama berbanding membina legasi dan karier di peringkat tertinggi. Adakah kritikan ini adil?

BESARKAN TEKS     A-  A+

China kini memang menjadi salah satu negara yang menarik minat ramai pemain tetapi adakah pemain yang berhijrah ke sana, patut dianggap mensia-siakan bakat mereka kerana mengejar habuan wang semata-mata? Berikut adalah lima pemain yang meninggalkan liga berstatus tinggi di Eropah untuk mencuba nasib di Asia.

1. Oscar

oscar hijrah ke csl

Bekas bintang Chelsea yang pernah diletakkan sebagai harapan kelab tersebut dan pasukan kebangsaan Brazil, perpindahan Oscar ke kelab liga Perdana Inggeris itu dikatakan sebagai era baru dalam pembentukan corak permainan Chelsea. Walaupun mempamerkan aksi yang memuaskan ramai pihak, keputusan untuk menyertai kelab Shanghai SIPG pada penghujung musim 2016 mengejutkan peminat.

Kelab China tersebut merupakan antara gergasi liga tempatan Cina dan kemasukan Oscar memperkuatkan lagi barisan serangan SIPG, yang ketika itu memiliki penyerang Brazil - Hulk. Gandingan mereka berdua membolehkan SIPG memperbaiki kedudukan menjadi naib juara pada musim 2017 sebelum bergelar juara kali pertama pada tahun 2018. Atas khidmatnya, Oscar dibayar £400,000 seminggu.

2. Hulk

hulk bintang chinese super league

Lebih dikenali dengan nama Hulk kerana badannya yang besar walaupun nama asal beliau Givanildo Vieira de Sousa, 'Hulk' mula dikenali ramai setelah mencatat nama sebagai penyerang handalan kelab Porto namun kariernya seakan tersekat, gagal dipancing kelab-kelab besar Eropah. Dia berpindah ke Russia, menyertai kelab Zenit St. Petersburg sebelum dibeli Shanghai SIPG dengan yuran perpindahan £45 juta.

Menjadi salah satu nama yang dikatakan menaikkan status liga bola sepak China di mata dunia, Hulk mempamerkan aksi konsisten meledakkan jaringan khasnya dalam Liga Juara-Juara Asia. Kini menjadi antara nama besar di Asia, perpindahan ke China bukanlah kali pertama beliau bermain di benua ini. Pada awal karier beliau, Hulk telahpun menimba pengalaman di Jepun lebih 4 tahun sebelum ke Portugal. Berapa pendapatan beliau seminggu di Shanghai? £320,000. Jauh melebihi gaji beliau di Russia yang 'hanya' £115,000 seminggu.

3. Graziano Pelle

graziano pelle china

Dinobatkan sebagai salah seorang pemain yang agak lambat merealisasikan potensinya, Graziano Pelle merupakan salah seorang pemain yang agak lambat dikenali sebelum hanya mula menyertai skuad kebangsaan Itali pada usia 31 tahun. Nama beliau mula dikenali selepas menyertai pasukan Feyenoord pada musim 2012 di mana dia menjadi antara penyerang paling konsisten liga Belanda.

Dibeli oleh pasukan Liga Perdana Inggeris Southampton, Pelle mempamerkan aksi baik menjaringkan 30 gol dalam 81 perlawanan membolehkan pasukan Shandong Luneng dari Jinan, China menawarkan kontrak bagi musim 2016. Dikritik kerana memilih untuk ke China bagi menamatkan kariernya, tawaran £290,000 yang pasti sukar diterima Pelle di mana-mana kelab Eropah menjadi pilihan beliau.

4. Ezeguiel Lavezzi

ezequiel lavezzi hebei

Seorang penyerang pasukan kebangsaan Argentina yang mempunyai profil tinggi, Lavezzi memulakan karier bersama kelab tempatan Estudiantes sebelum mencipta nama sebagai salah seorang pemain utama kelab Napoli di Itali. Prestasi baik membolehkan gergasi Perancis, kelab Paris Saint-Germain (PSG) memancing beliau selama empat musim.

Perpindahan beliau ke kelab Heibei China Fortune membolehkan pendapatan beliau naik kepada £290,000. Bagaimanapun, ada pihak mendakwa gaji sebenar Lavezzi di kelab tersebut sebenarnya berjumlah £798,000 - meletakkan beliau sebagai pemain bola sepak dengan gaji paling besar di dunia; mengalahkan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo. Benar atau tidak, kita hanya boleh berspekulasi.

Selain itu, Lavezzi juga mencetuskan kontroversi selepas mengubah bentuk matanya semasa sesi fotografi kelab tersebut. Walaupun kelabnya menganggap perbuatan itu lucu, peminat bola sepak China tidak nampak apa komedinya.

5. Marouane Fellaini

marouane fellaini jaring gol china

Menjadi salah seorang pemain yang kerap kali membezakan pendapat penyokong kelab Manchester United, Fellaini mula bermain bola sepak pada usia 8 tahun namun cinta sebenarnya adalah acara larian jarak jauh. Walaupun begitu, bakatnya dalam bola sepak digilap, mempunyai tubuh yang tinggi lampai membolehkan dia menjadi pemain tengah yang efektif selain mudah dikenali kerana rambutnya yang unik.

Menjadi rebutan banyak kelab besar sebelum menyertai pasukan Everton, di kelab inilah Fellaini mencipta nama sehingga dilamar Manchester United. Bagaimanapun, pergolakan pengurusan di kelab tersebut menyebabkan nasib Fellaini juga terumbang-ambing sebelum beliau ditawarkan untuk menyertai Graziano Pelle di Shandong Luneng dengan pendapatan lumayan £235,000.

Pada perlawanan pertama di China, Fellaini memulakan penampilan dengan menjaringkan gol tunggal perlawanan, menamatkan musim pertama dengan 7 gol daripada 20 perlawanan. Perpindahan beliau ke China dikatakan antara faktor besar kenapa prestasi Manchester United sangat goyah.




Hakcipta iluminasi.com (2017)