Oleh pada 23 Sep 2017 kategori

netizen berang babak bercium fattah dan janna nick

Kredit foto: Instagram @fatt4stictv80xds

Beberapa siri kontroversi mengiringi penggambaran drama adaptasi karya Korea Selatan, Coffee Prince arahan Micheal Ang.

Jika sebelum ini pemilihan aktor Fattah Amin sebagai teraju utama menjadi pertikaian, kemudian timbul pula kekecohan apabila usahawan sensasi Nur Sajat membuat kemunculan istimewa menerusi sebuah adegan bersama Fattah.

Dan yang terkini, sebuah video memaparkan adegan bercium antara Fattah dan aktres Janna Nick pula menjadi tular.

Mulanya ia dimuat naik di Instagram @fatt4stictv80xds sebelum mendapat perhatian apabila diulang siar (repost) oleh pelakon baru Fara Mendoza.

Rata-rata netizen berang kerana meskipun Fattah dan Janna dalam realitinya tidak bersentuhan, namun babak itu dianggap mampu memberi pengaruh buruk kepada para pengikut mereka.

"Di manakah para alim ulama Malaysia ni sampai adegan macam ini pun boleh dilakonkan. Memang tak betul tapi tetap mengundang kepada maksiat. Tolong terangkan sebab saya cetek dalam bidang hukum hakam agama ni! Kalau macam ini sampai kiamat pun gejala keruntuhan moral remaja tak dapat dibendung," tempelak pengguna Instagram bernama @cik_semut_api.

"Kenapa mesti tiru babak yang ini. Macam mana kalau budak-budak remaja tengok drama ini nanti, kan tidak elok. Lagipun kitakan orang Melayu Islam," sahut @azizneny pula.

"Memang tidak dinafikan terkejut tengok babak ini. Rasanya tak perlu buat adegan macam ini nampak terlalu dekat walaupun tak bersentuh," celah @nurulrazahyra.

Pun begitu, ada juga netizen yang menganggap ianya hanya isu kecil yang sengaja diperbesar-besarkan oleh sesetengah pihak.

Ini berikutan lebih banyak aksi yang lebih teruk dilakonkan dalam produksi lain, namun dua teraju utama drama itu juga yang menjadi kecaman.

"Tenang, orang lain boleh buat, siap laga-laga hidung bagai kenapa Fattah tak boleh?" cetus @rositaheta.

"Saya hormat dia kerana berani melakukan adegan itu walaupun akan ramai mengkritiknya selepas ini. Kita semua pun tahu ini semua permainan kamera sahaja kan," tegas @my.Charmander.

"Kali pertama tengok Fattah buat babak berani ni. Good job Fattah! Macam betul gaya cium Janna tu. Bagi yang tengok tolong jangan kecam sebab itu hanya lakonan, berfikiran positif ok!" tulis @sylviaanthony7780 pula.

Coffee Prince dijadualkan menemui penonton pada November ini di saluran Astro Ria. Antara lain turut membariskan pelakon Diana Danielle, Fahrin Ahmad, Sharifah Sakinah dan Sharifah Shahira.

Kredit video: Youtube Jebart Media

tags : , , , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)