Oleh pada 25 Sep 2017 kategori

Kredit foto: Instagram fatt4stictv80xds & Instagram Fara Mendoza

Aktres Fara Mendoza membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak yang terkesan dengan perbuatannya berhubung kontroversi babak cium antara pelakon Fattah Amin dan Janna Nick.

Menerusi kenyataan yang dibuat di laman Instagram itu, Fara memberitahu tindakannya itu tidak mempunyai niat buruk terhadap sesiapa.

"Di sini saya ingin memohon maaf kepada semua pihak disebabkan Instastory saya itu. Saya tiada niatpun untuk melukakan hati sesiapa, menjatuhkan sesiapa atau menyentuh hati sesiapa," jelas Fara.

Fara membuat kenyataan tersebut ketika mengulas tentang rakaman babak cium antara Fattah dan Janna menerusi drama Coffee Prince yang mencetuskan kemarahan netizen.

Aktres itu menjadi penyebab kontroversi berlaku kerana merupakan individu yang bertanggungjawab merakamkan babak tersebut ketika berada di lokasi penggambaran.

Sementara itu, Fara berharap dengan permohonan maaf yang dilakukan, tiada lagi pihak yang cuba memanjangkan isu berkenaan.

"Dengan rasa rendah diri saya mohon maaf atas kesilapan itu dan saya mengakui ianya dari kesilapan khilaf saya yang tidak sengaja. Harap selepas ni tiada yang cuba membesarkan lagi hal ini. Saya hanya manusia biasa yang tidak lari dari membuat kesilapan," tulisnya lagi. 

Drama Coffee Prince di bawah arahan Michael Ang juga dibintangi oleh Diana Danielle, Fahrin Ahmad, Sharifah Sakinah dan Sharifah Shahira. Bakal bersiaran di saluran Astro Ria pada November ini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)