Oleh pada 07 Feb 2018 kategori

Sumber foto: Mynewshub

Nestle (Malaysia) Berhad menegaskan kandungan 40 peratus jumlah gula yang dipamerkan pada label MILO merujuk kepada jumlah gula dalam serbuk minuman perisa coklat tersebut sebelum air ditambah.

Menurut pakar pemakanannya, Nurul Iliani Ahmad, serbuk MILO yang dibancuh menurut penyediaan dicadangkan iaitu 5 sudu kecil berserta 200 mililiter (ml) air panas, hidangan itu cuma mengandungi 6 peratus gula.

"Apabila 200 ml air ditambah, kandungan gula adalah enam peratus daripada keseluruhan minuman, termasuk gula semula jadi daripada susu dan malt," ujarnya menerusi sebuah kenyataan semalam.

Minggu lepas, sebuah klip video yang mengatakan MILO merupakan minuman tidak berkhasiat menjadi tular sehingga mencetuskan kecelaruan terhadap kebaikannya di kalangan pembeli.

Nurul Iliani memberitahu, MILO mengandungi nutrisi yang baik iaitu 'protomalt' dan ekstrak malt yang memberi gabungan pelbagai karbohidrat untuk membekalkan tenaga.

Menurutnya, MILO juga mengandungi 'activ-go', gabungan vitamin B (B2, B3, B6, B12) bagi tujuan pengeluaran tenaga yang maksimum.

"Vitamin D membantu penyerapan kalsium dalam badan kerana elemen itu dan fosforus penting untuk kesihatan tulang.

"Zat besi pula membantu pembentukan sel darah merah manakala protein penting untuk pembinaan tisu badan bagi pertumbuhan," jelasnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Halal Nestle, Othman Md Yusoff, memberitahu jika pembeli membuat minuman tersebut menurut sukatan yang disyorkan pada paket MILO, ia tidak akan menyebabkan pengambilan gula berlebihan.

"Masalah timbul apabila pengguna tidak mengikut cadangan sukatan hidangan dengan menambahkan gula atau susu pekat dalam minuman itu," ujarnya.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)