milo gula banyak honey stars racun

Kontroversi berkenaan minuman popular Milo yang dicetuskan oleh CEO kepada syarikat pendidikan, MindValley, Vishen Lakhiani berdasarkan sebuah artikel yang diterbitkan dalam NY Times yang bertajuk 'In Asia's Fattest Country, Nutritionists Take Money From Food Giants' benar-benar menimbulkan pelbagai pandangan dari orang ramai.

Menurut beliau dalam video itu, syarikat besar seperti Nestle dengan sengaja meletakkan kandungan gula yang tinggi yang disamakan dengan racun ke dalam produk mereka. Vishen juga mendakwa syarikat-syarikat ini melakukan penyelewengan dengan mengatakan produk mereka selamat dan merupakan pilihan yang lebih baik, seperti Milo dan Honey Stars.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ini membuatkan ramai pihak di sekeliling saya bertanyakan kebenaran tentang isu ini. Untuk mereka yang tidak mengenali saya, saya adalah seorang juru nutrisi yang berkhidmat kepada masyarakat. Fokus saya adalah untuk memberikan khidmat nasihat dalam bidang diet dan pemakanan.

Nama saya Leonard Yap. Berikut adalah perspektif saya berkenaan isu ini.

GULA PERLU TETAPI PASTIKAN TERKAWAL

milo zaman dulu

Gula adalah sejenis karbohidrat yang diserap dalam badan dengan mudah. Gula tidak ada kandungan berkhasiat lain, jika dibandingkan dengan buah-buahan yang mengandungi vitamin, mineral dan serat. Jadi, jumlah kalori yang diberikan oleh gula adalah apa yang digelarkan sebagai 'kalori kosong.'

Dalam video. Vishen menyatakan 40 peratus kandungan Milo adalah gula. Dakwaan itu benar. Untuk setiap 100g Milo, di dalamnya terdapat 40g gula.

Bagaimanapun, melihat peratusan sahaja tidak memadai. Kita perlu juga mengambil kira saiz hidangan yang disyorkan. Dalam kes Milo, disyorkan kita mengambil 30g yang dilarutkan dalam air atau susu. Kandungan gula dalam 30g itu adalah sebanyak 12.2g atau secara kasarnya, saiz 2 sudu teh.

Kandungan gula jika dilihat secara kualitatif, andai nilainya berlebihan memang memberikan kesan buruk. Namun kita juga perlu mengambil kita jumlah kuantitatif gula yang diambil. WHO mengesyorkan agar kita mengambil kurang 10 peratus atau lebih baik 5 peratus jumlah gula (5 ke 10 sudu teh sehari) dalam pemakanan kita.

Oleh kerana itu, apabila kita melakukan perbandingan Milo dengan makanan lain seperti kuih, gula-gula ataupun teh tarik, hakikatnya banyak makanan dan minuman yang diambil mempunyai jumlah gula lebih tinggi berbanding Milo.

Samalah seperti Honey Stars. Dalam maklumat pemakanannya dinyatakan terdapat 28 peratus gula, tetapi dengan saiz satu hidang dengan susu, hanya terdapat 14.3g gula dalam hidangan.

USAHA KERAJAAN MENDIDIK MASYARAKAT ADALAH BENAR

kontroversi milo banyak gula

Vishen dalam video beliau juga mengkritik pengenalan logo Kementerian Kesihatan yang digelarkan 'Pilihan Lebih Sihat' dicetak pada makanan yang mengandungi kandungan gula yang tinggi.

Hakikatnya, Kementerian Kesihatan memang mengambil berat syarat-syarat regulasi makanan, dalam membentuk tabiat pemakanan sihat masyarakat. Jika kita meneliti kriteria pemakanan sihat yang diberikan, Milo dan Honey Stars tidak melakukan sebarang kesalahan.

logo pemakanan sihat

Kedua-dua produk yang kontroversi ini sebenarnya mematuhi syarat-syarat Kementerian Kesihatan yang meluluskan kegunaan label itu pada produk mereka. Menurut syarat kelayakan Kementerian Kesihatan untuk bijirin sarapan, dalam setiap 100g hidangan, mesti mengandungi 3g lemak atau kurang, 400 mg sodium, 30g gula, lebih daripada 3g fiber dan 25% bijirin penuh.

Syarat yang dikenakan secara jelas mempromosikan pengambilan bijirin penuh dan juga fiber dalam syarat pemakanan lebih sihat.

PEMASARAN ADALAH TAKTIK UNTUK MEMENUHI PERMINTAAN KITA SEMUA

milo warisan tradisi malaysia

Dalam kritikan terhadap Nestle itu, salah satu kritikan paling popular adalah berkenaan penggunaan slogan Milo sebagai minuman kesihatan dengan penggunaan visual ahli taekwondo dijadikan sebagai isu kontroversi.

Sebenarnya, dakwaan Milo itu ada asasnya. Jika kita membaca tentang kaedah pemakanan dalam sains sukan, kita akan mendapati wujud pengambilan minuman bergula yang mampu merangsang prestasi dan juga pemulihan badan dalam kadar pengambilan yang berkadar.

Indeks glycemic (GI) bagi Milo adalah 55±3 yang ditakrif sebagai 'medium-low GI'. Jika dicampurkan dengan susu penuh krim, nilai GI bagi Milo campuran itu menurun kepada 35±2 yang termasuk dalam nilai GI rendah. Minuman yang berada pada tahap GI lingkungan itu, memang mampu memberikan penambahan pada prestasi atlit.

Isu besar yang ramai orang kurang jelas - kita harus menerima yang pengeluar akan mengeluarkan produk yang dirasakan pengguna akan terus beli dan gunakan. Teknik pemasaran yang digunakan juga sudah pastilah sesuatu yang memberikan impak positif pada potensi pembeli.

Syarikat mana yang tidak akan mengambil langkah serupa? Apa gunanya sesebuah syarikat mengeluarkan sesuatu produk kesihatan tanpa wujud pembeli, dari aspek perniagaan? Jadi hendak tak hendak, pengeluar terpaksa mewujudkan produk yang lebih mudah diambil dengan penambahan gula, seperti Milo atau Honey Stars.

Kepada individu yang merasakan pengambilan gula adalah sesuatu yang merbahaya dan perlu dielakkan, produk-produk lain yang mempunyai kandungan gula yang rendah, boleh menjadi pilihan anda.

Apa yang saya ingin perkatakan, ini semua adalah norma yang berlaku dalam perniagaan. Bekalan pasti akan bergantung kepada permintaan. Tidak ada syarikat yang mahu membekalkan sesuatu sekiranya mereka tahu tidak wujud permintaan terhadap produk mereka.

PENYELIDIKAN MEMERLUKAN DANA YANG BESAR

sains pemakanan

Banyak kritikan dilontarkan pada pakar pemakanan yang dibiayai oleh syarikat-syarikat pengeluar produk makanan. Dikatakan pakar nutrisi dibeli oleh syarikat-syarikat ini untuk turut sama berkomplot dan mulut pakar nutrisi didiamkan dengan wang ringgit.

Kebenarannya, penyelidikan memerlukan dana yang sangat besar. Kesemua pakar pemakanan, juru diet atau konsultan pemakanan seperti saya hanya mahu mencari solusi kepada bagaimana hendak meminimakan masalah kesihatan.

Tanpa kerjasama dengan syarikat pemakanan, tahap pemakanan kita berkemungkinan besar mampu menjadi lebih teruk lagi. Sebagai contoh, kerjasama yang diberikan syarikat pengeluar produk banyak membantu mewujudkan pengenalan label makanan yang diwajibkan sejak 2003 di negara kita.

Hasil kajian, sama ada dibiayai oleh pengeluar produk sekalipun, adalah hasil kajian. Komuniti penyelidik pula bukanlah hanya sekadar mengambil 1 atau 2 artikel dan terus membuat kesimpulan pantas.

Banyak proses reviu yang perlu dilalui semasa penyelidikan dengan banyak perbandingan perlu dilakukan hasil kajian penyelidik, sebelum sesuatu kesimpulan atau kata putus diambil. Memang lebih mudah untuk kita merasa skeptik dengan hasil kajian daripada kajian yang didanai Nestle sebagai contoh, bagaimanapun sekiranya parameter sama ditemui dalam penyelidikan terkawal oleh pihak lain, beberapa kali di seluruh dunia, bukankah itu membuktikan data dan hasil kajian itu mempunyai asas yang kukuh, untuk dijadikan rujukan?


Leonard Yap adalah seorang jurudiet dan jurunutrisi bertauliah yang banyak melakukan kerja-kerja dalam komuniti masyarakat dalam bidang pendidikan pemakanan.

Seorang lulusan Ijazah Bidang Pendietan dan Nutrisi dari International Medical University (IMU), Leonard pernah bekerjasama dengan beberapa hospital di Malaysia, India dan Singapura seperti IJN, Hospital Bumrungad di Bangkok, Hospital Apollo di Chenna dalam khidmat nasihat berkaitan pemakanan.

Beliau menganjurkan kelas masakan, ceramah serta menawarkan perkhidmatan konsultansi peribadi bagi mereka yang mahu menurun atau menaikkan berat badan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)