Jepun sememangnya terkenal dengan game show TV melampau yang mana meletakkan para peserta dalam bahaya dari segi fizikal dan psikologi untuk memberikan pengalaman tontonan yang unik kepada para penonton.

Pada lewat 90-an awal tahun 2000-an, siaran yang dipercayai ramai sebagai contoh yang paling radikal dan dahsyat disiarkan di rangkaian berpangkalan di Tokyo yang dipanggil Nippon TV.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Rancangan tersebut berjudul "Susunu! Denpa Shōnen" dan ia terdiri daripada siaran langsung dalam sebuah bilik.

Di dalam bilik tersebut terdapat timbunan sampul surat, sebuah rak majalah, air, pembakar gas dan seorang lelaki yang diarahkan untuk menjalani salah satu perjalanan ketahanan yang paling dahsyat yang pernah disiarkan.

nasubi japan reality show susunu denpa shonen

(Nasubi)

Lelaki tersebut adalah seorang pelawak yang terdesak dan inginkan kemahsyuran, bernama Nasubi.

Pada Januari 1998, Nasubi yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu kepada "terung", dipilih secara undian daripada kira-kira 20 pemohon untuk sebuah pertandingan yang dikenali sebagai "A life of prizes". 

Selepas terpilih, Nasubi diiringi ke sebuah ruang yang kira-kira berkeluasan apartment studio di mana dia diarahkan untuk memulakan permainan tanpa apa-apa termasuklah pakaiannya. 

Untuk menyediakan dirinya dengan pakaian, makanan atau apa-apa cara hiburan semasa dia berada di bilik, Nasubi mesti mendapatkannya dengan memenangi melalui peraduan.

Peraduan tersebut boleh ditemui dalam majalah di mana dia boleh menyertainya dengan menghantar permohonan melalui sampul surat yang disediakan.

hari pertama nasubi

Hari pertama Nasubi dalam rancangan ini

Ini adalah tujuan permainan ini di mana Nasubi perlu bertahan semata-mata dengan hadiah peraduannya.

Apabila hadiah kemenangan Nasubi mencapai nilai wang sebanyak 1 juta yen atau kira-kira RM40,000, dia diisytiharkan sebagai pemenang dan dibenarkan keluar dari bilik itu untuk meneruskan hidupnya dan menikmati status selebriti yang baru dibina.

Jadi, adakah Nasubi berjaya? Semuanya bergantung kepada bagaimana anda mendefinisikan sebuah kejayaan. Untuk menjawab soalan ini, jom kita lihat dengan lebih mendalam lagi perjalanan Nasubi dalam bilik tersebut.

Sebaik sahaja ditinggalkan sendirian, perkara pertama yang menjadi keutamaan Nasubi adalah untuk menutup dirinya. Peraduan pertama yang disertainya dalam episod pertama adalah untuk mendapatkan apron.

Bukan sahaja dia tidak memenangi apron, malah sepanjang 15 bulan tinggal dalam bilik tersebut, Nasubi kekal bogel.

Kebanyakan masanya dalam bulan pertama digunakan untuk menghantar 5,768 permohonan peraduan. Ketika menunggu untuk mengetahui sama ada dia memenangi hadiah pertamanya, Nasubi melalui pelbagai cabaran yang menyeksakan.

nasubi di awal pertandingan

Dia menjawab panggilan telefon yang tersalah nombor dan pada suatu petang yang mengecewakan selepas beberapa hari tanpa makanan, seorang penghantar makanan ramen tersalah rumah dan mengetuk pintu bilik Nasubi.

Namun selepas beberapa hari menunggu dan menjadi tersangat lapar, dia akhirnya memenangi peraduan pertamanya iaitu 12 cawan jeli dan memakannya serta-merta.

Hadiah kedua ialah 5 kilogram beras, malangnya dia menyedari bahawa dia tidak mempunyai periuk untuk memasaknya.

Setelah gagal makan beras mentah, Nasubi mendapati dia boleh memasak nasi dalam bekas jeli tersebut dengan meletakkannya berhampiran dengan pembakar.

Untuk bulan Februari, Nasubi terus memenangi hadiah iaitu 1,000 yen, sabun badan dan spaghetti tin, namun menyedari dia tidak mempunyai pembuka tin.

Walaupun memenangi hadiah yang tidak mempunyai nilai praktikal, Nasubi kelihatan bersyukur dengan apa yang diperolehinya.

bilik yang didiami nasubi

Dan tak dapat dinafikan dengan masa yang dihabiskan olehnya sehari-hari untuk mengisi borang peraduan, apa yang membuatkan Nasubi teruja adalah apabila ada orang mengetuk pintu biliknya.

Sudah tentu keperluan asas untuk terus hidup diperlukan jadi makanan adalah sangat penting, namun semakin tinggi nilai hadiah, semakin cepat Nasubi mencapai sasaran 1 juta yen.

Akan tetapi, untuk mencapai sasaran ini mengambil masa yang sangat lama. Untuk memperoleh separuh daripada nilai tersebut, Nasubi mengambil masa 6 bulan dan menyertai 38,000 peraduan.

Dalam tempoh ini, antara hadiah yang ketara termasuklah sebuah basikal yang mana keterujaannya hilang selepas menyedari basikal tersebut tiada nilai praktikal dalam bilik yang kecil itu.

Nasubi menaiki basikal tersebut dan kemudiannya tidak lagi. Dia juga memenangi hadiah berupa pakaian pertama dalam 6 bulan iaitu seluar dalam, namun ia tidak muat.

nasubi gembira dapat hadiah makanan

Hadiah-hadiah lain termasuklah patung anjing laut yang diberi nama Binasu dan menjadi rakan Nasubi, sebuah TV 14 inci tanpa antena, bermakna dia tidak boleh menontonnya dan berus serta ubat gigi yang membolehkan dia memberus gigi untuk pertama kali.

Menjelang tempoh 6 bulan, rancangan ini menjadi tersangat popular dan pihak media tempatan menemui lokasi bilik yang didiami Nasubi.

Oleh itu, pihak penerbit mengejutkan Nasubi di tengah malam dan menutup matanya lalu diiringi ke bilik lain yang hampir serupa.

Sebelum kejadian ini, A Life of Prizes disiarkan pada malam Ahad dan disunting kepada ringkasan mingguan berdurasi 10 minit, namun selepas lokasi bilik ditukar, pihak penerbit menawarkan alternatif berupa livestream, membuatkan mereka terpaksa "mengikut" Nasubi ke setiap masa menggunakan joystyick bagi menutup alat sulitnya.

nasubi bersama tv yang dimenanginya

Seperti yang anda lihat, kualiti livestream agak teruk tetapi perlu diingat bahawa ini berlaku pada hujung tahun 1990-an.

Nasubi mengambil masa 3 bulan lagi untuk memperoleh dua pertiga daripada sasaran 1 juta yen dan sepanjang bulan Ogos, September dan Oktober, Nasubi telah menghantar tambahan 17,000 penyertaan peraduan.

Antara hadiah yang menarik dimenangi adalah buah tembikai, tiket untuk menonton Spice Girl The Movie dan pemain VHS yang boleh dimainkan menggunakan TV yang dimenanginya beberapa bulan lepas.

Selepas, kemenangan yang "mahal" ini, Nasubi dibelenggu dengan nasib malang sehinggakan dia tidak memenangi apa-apa hadiah selama seminggu.

Dalam satu tempoh drastik, Nasubi kehabisan makanan sepenuhnya.

nasubi bermain playstation dimenanginya

(Nasubi bermain Playstation dimenanginya)

Dilaporkan bahawa pihak media lain telah mengetahui lokasi bilik Nasubi. Bagi mengelakkan berhadapan dengan risiko rancangan tergendala dan khuatir Nasubi mengetahui video beliau disiarkan, pihak penerbit memilih untuk memindahkannya ke lokasi yang baru tapi 100% menyamai biliknya yang lama.

Dan lokasi baru ini terbukti memberikan nasib yang baik kepada Nasubi apabila dia memenangi hadiah berharga termasuklah sebuah konsol Playstation yang mana dia bermain selama 4 hari tanpa henti.

Namun, Nasubi berhenti daripada bermain selepas menyedari ia adalah satu gangguan kepadanya untuk mengisi penyertaan peraduan.

Pada bulan Disember, Nasubi memenagi sebuah hadiah yang sangat mahal berupa satu set tayar kenderaan, baucar hadiah bernilai 10,000 yen dan satu beg beras kecil yang membuatkan sasaran 1 juta yen tercapai.

nasubi dikejutkan di tengah malam

(Nasubi dikejutkan di tengah malam dan dibawa ke lokasi baru)

Dan selepas 355 hari berturut-turut tanpa melakukan apa-apa melainkan makan apa yang ada, termasuklah makanan anjing ketika ketiadaan makanan lain, membuka pintu apabila diketuk dan yang paling penting iaitu mengisi borang peraduan, Nasubi akhirnya memenangi permainan ini.

Ketika itu, rating rangancan ini mencecah 17 juta tontonan, dan untuk perbandingan, episod Game of Thrones yang paling banyak ditonton adalah 16.5 juta penonton.

Orang Jepun sangat menyukai rancangan ini dan pihak penerbit mengaut keuntungan yang tersangat banyak. Dan tanggapan untuk menamatkannya masih lagi tidak masuk akal.

Pihak penerbit sekali lagi mengejutkan Nasubi di tengah malam dengan mengumumkan bahawa dia memenangi pertandingan itu.

nasubi dipindahkan ke lokasi bilik baru

(Nasubi terkejut ketika dikejutkan pihak penerbit selepas berjaya mencapai sasaran 1 juta Yen)

Mereka mengembalikan pakaiannya tetapi Nasubi telah lama tidak memakai apa-apa, membuatkan dia menyedari bahawa dia mempunyai rasa tidak suka kepada pakaian dan memberitahu bahawa ia membuatkannya gatal.

Walaupun Nasubi beranggapan bahawa rancangan tersebut telah tamat dan lawatannya ke karnival di Korea Selatan merupakan percutian bagi merayakan kerja kerasnya, dia tidak mengetahui bahawa pihak penerbit belum berniat untuk membenarkannya pulang.

Ketika masih di Korea Selatan, mata Nasubi ditutup sekali lagi dan dibawa ke bilik keempat yang terdiri daripada perkakas yang sama iaitu rak majalah, timbunan sampul surat dan kamus Korea-Jepun.

Walaupun tidak tahu berbahasa Korea, Nasubi diarahkan untuk mula mengisi penyertaan peraduan dengan bantuan kamus yang disediakan.

nasubi mula bekerja di bilik barunya di korea selatan

(Nasubi mula bekerja di bilik barunya di Korea Selatan)

Sasaran barunya adalah untuk memperoleh nilai hadiah yang bersamaan dengan tiket penerbangan untuk pulang ke Tokyo.

Tiket yang diperlukan hanyalah kelas ekonomi dan selepas menterjemah serta menyertai hampir 7,000 peraduan, Nasubi berjaya mencapai sasarannya hanya dalam 2 bulan sahaja.

Namun semua ini berlaku dengan begitu pantas, jadi pihak penerbit mengarahkannya untuk mencapai sasaran tambahan 9,000 yen untuk menaiktaraf tiketnya kepada kelas perniagaan dan Nasubi mencapainya dengan memenangi 2 beg daun teh yang tersangat mahal dan jarang ditemui.

Pihak penerbit masih tidak berpuas hati jadi mereka mengarahkan Nasubi untuk sekali lagi menaiktaraf tiketnya kepada kelas atasan.

nasubi gembira selepas memenangi hadiah beg teh yang mahal

(Nasubi gembira selepas memenangi hadiah beg teh yang mahal)

Bagi Nasubi yang telah melakukan perkara ini selama lebih daripada setahun, ia menjadi satu perkara mudah dan dia sekali lagi memenangi hadiah mahal berupa bingkai gambar diperbuat daripada kulit musang serta seekor sotong kurita hidup, membuatkannya berjaya menaiktaraf tiket penerbangan pulang ke Tokyo.

Akhirnya, pihak penerbit menutup mata Nasubi dan membawanya ke bilik terakhir.

Tanpa pengetahuannya, di bukan dibawa ke bilik seperti sebelumnya tetapi ke dalam sebuah kotak, yang mana terletak di sebuah studio siaran langsung yang penuh dengan para penonton.

studio yang dipenuhi dengan para penonton dan bilik nasubi

("Bilik" terakhir Nasubi di atas pentas siaran langsung dipenuhi para penonton)

Sebaik sahaja Nasubi ditinggalkan berseorangan, tabiatnya kembali di mana dia dengan pantas membuka semua pakaiannya. Selepas kiraan yang dramatik, dinding "bilik" nya dijatuhkan dan para penonton bertepuk tangan sambil menjerit riuh.

Riak wajah Nasubi yang terkejut dengan perkara itu sangat menyedihkan. Di saat itu, Nasubi telah menjalani kehidupan selama 15 bulan tanpa bercakap dengan orang lain.

Dia menyertai 75,000 peraduan majalah, bersamaan dengan 1,250 peraduan setiap minggu dan hampir 200 peraduan setiap hari. Nasubi mengambil masa beberapa minit untuk memahami apa yang berlaku di sekelilingnya.

Tiada siapa yang tahu apa yang bermain di fikiran Nasubi ketika itu, melainkan dirinya sendiri.

wajah terkejut nasubi selepas biliknya diruntuhkan

(Wajah terkejut Nasubi selepas "bilikn"ya diruntuhkan)

Rancangan Susunu! Denpa Shōnen diteruskan untuk 3 lagi eksperimen ketahanan sebelum dibatalkan pada tahun 2002 kerana sifat kandungannya yang berupa penyeksaan.

Beberapa pertandingan lain termasuk menghendaki para peserta untuk hitchhike di seluruh Afrika, membina rakit di sebuah pulau terpencil dan mengapungkannya pulang ke Tokyo dan akhirnya duduk di dalam ruangan gelap gelita yang mana peserta diberikan cahaya dan makanan hanya apabila pasukan besbol kegemaran mereka memenangi perlawanan.

Walaupun kebanyakan orang di luar Jepun tidak begitu mengenali Nasubi atau livestream yang baru ini, namun reputasi Jepun untuk rancangan realiti kejamnya telah diakui secara meluas dan sering ditiru oleh media Barat.

Jadi, persoalan yang bermain di minda ramai para pembaca iluminasi.com sudah tentunya adalah apa yang terjadi kepada Nasubi, kan?

nasubi pada tahun 2017

(Nasubi pada tahun 2017)

Adakah dia mencapai kemasyhuran dan kekayaan yang dijanjikan untuk ketahanannya yang luar biasa? Jawapannya adalah ya dan tidak.

Jurnal pengalamannya diterbitkan dan mencapai status "bestseller" dan walaupun tidak menjadi pelawak terkenal di dunia yang diidaminya, dia berjaya mendapatkan kejayaan kecil dalam lakonan televisyen dan filem.

Namun tak dapat dinafikan rancangan ini telah memberikan kesan psikologi kepada Nasubi.

Disebabkan dia menghabiskan masa 15 bulan telanjang bogel, Nasubi dilaporkan mengalami kesukaran memakai pakaian selepas pulang ke rumah dan hidup bersendirian membuatkan kemahiran sosialnya merosot dengan teruk.

nasubi

Dia mendapati bahawa banyak pesona komedi dan kebolehan sosialnya hilang, membuatkan dirinya berasa janggal dan malu.

Walaupun eksploitasi terhadap Nasubi tetap menjadi salah satu livestream yang paling popular dalam sejarah jepun, pandangan mendalam terhadap kehidupan brutal selama 15 bulan yang dilalui oleh lelaki ini cukup untuk membuatkan kita bertanya satu soalan penting.

Sejauh mana kita harus lakukan untuk menghiburkan orang ramai?

Rujukan:

1. Tofugu

2. Project Casting

3. Japan's Strangest Livestream




Hakcipta iluminasi.com (2017)