Island of the Blue Dolphins adalah sebuah buku yang ditulis oleh penulis Amerika bernama Scott O'Dell. Ia mengisahkan tentang seorang gadis yang terkandas di sebuah pulau di Lautan Pasifik. Namun, novel kanak-kanak yang popular ini sebenarnya berdasarkan pada kisah benar.

Watak protagonis di dalam novel ini diilhamkan oleh Juana Maria yang juga lebih dikenali sebagai 'Lone Woman of San Nicolas Island'. Wanita itu telah terkandas di sebuah pulau yang terletak di luar pantai California selama 18 tahun.

BESARKAN TEKS     A-  A+

island of the blue dolphins

Bulu dan kulit haiwan merupakan salah satu sumber semula jadi yang diperdagangkan antara penduduk pribumi di Amerika Utara dan penjajah Eropah. Menjelang tahun 1800-an, para penjajah ini telah mendapatkan bulu dan kulit berharga mereka sendiri. 

Ketika itu, syarikat-syarikat perniagaan bulu dan kulit haiwan telah ditubuhkan bagi memenuhi permintaan pasaran. Salah satu syarikat saudagar barangan ini yang terkenal ialah Russian-American Company yang ditubuhkan dan dikawal selia oleh Rusia.

Pada tahun 1811, syarikat itu mula melakukan aktiviti memburu memerang di sepanjang pantai California kerana kulit haiwan itu mempunyai nilai yang tinggi. Pada peringkat awal, sekumpulan penduduk asli puak Kodiak dari Alaska seramai 25 hingga 30 orang telah diupah sebagai pemburu untuk ekspedisi ini.

Pada satu ketika semasa ekspedisi ini berlangsung, puak asli Kodiak telah ditinggalkan di Pulau San Nicolas secara berperingkat untuk memburu anjing laut pula. Walaupun pulau itu sedikit jauh dan terpencil daripada tanah besar di California, namun ia mempunyai penghuni asal yang dikenali sebagai 'Nicoleños'.

Kaum Kodiak dikatakan mengalami konflik dengan penduduk pulau itu dan telah membunuh hampir semua kaum lelaki Nicoleño. Wanita dan kanak-kanak Nicoleño pula telah diambil menjadi hamba.

Sejarah tidak menceritakan dengan jelas apa yang berlaku terhadap puak Kodiak selepas itu kerana mereka menghilang daripada pulau itu pada suatu ketika. Ada yang berpendapat mereka telah meninggalkan San Nicolas, sebahagian yang lain pula beranggapan mereka telah dibunuh oleh kaum wanita Nicoleño.

pulau san nicolas

Pulau San Nicolas, California

Malang bagi puak Nicoleño, populasi mereka telah menurun secara drastik selepas berhadapan dengan puak Kodiak. Setelah puak Kodiak meninggalkan San Nicolas, dianggarkan kurang daripada seratus orang sahaja puak Nicoleño yang berada di pulau itu.

Pada sekitar tahun 1830-an, ramai puak Nicoleño yang masih ada telah meninggalkan San Nicolas. satu pasukan mubaligh yang dikenali sebagai Santa Barbara Mission telah melakukan operasi pada tahun 1835 untuk membawa puak Nicoleño ini ke tanah besar. Operasi itu berjaya membawa keluar semua penduduk kecuali seorang, dia ialah Juana Maria.

Mengikut satu versi cerita, Juana Maria telah menaiki kapal penyelamat mubaligh itu namun menyedari bahawa anak kecilnya hilang. Dia kemudian kembali ke kampungnya tetapi mendapati bahawa anaknya telah dibunuh oleh anjing liar. Disebabkan ribut yang sedang menghampiri, kapal mubaligh itu terpaksa meninggalkan pular itu dengan cepat.

Tidak semua orang percaya dengan versi popular cerita ini. Satu lagi versi menceritakan, disebabkan ribut menghampiri pulau itu, krew kapal tidak menghitung para penduduk yang diselamatkan dan mereka meninggalkan pulau itu dalam keadaan tergesa-gesa.

Kapal yang diberi nama Poer es Nada itu dijadualkan akan kembali ke Pulau San Nicolas semula apabila cuaca kembali reda, tetapi malangnya ia karam setelah berlabuh di San Francisco. 

Akibatnya, Juana Maria telah menghabiskan 18 tahun hidupnya dengan tinggal seorang diri di pulau terpencil itu. Selama bertahun-tahun selepas itu, beberapa percubaan telah dibuat untuk mencari Maria namun tiada satu pun yang berjaya.

gua juana maria 635

Ia mungkin kerana Juana Maria tinggal di dalam sebuah gua di pulau itu sepanjang berada di situ. Kediamannya itu juga membolehkan Juana Maria terselamat daripada orang Rusia dan puak Kodiak yang kembali ke pulau itu untuk memburu memerang dan anjing laut dari masa ke semasa.

Pada tahun 2012, seorang ahli arkeologi dilaporkan telah berjaya menemui gua di mana Juana Maria tinggal setelah 20 tahun mencarinya. Pada tahun 2018 pula, seorang penyelidik sejarah iaitu Susan Morris mencadangkan bahawa Juana Maria mungkin pernah menemui pendatang yang singgah di pulau itu.

Ini kerana selain daripada pemburu memerang dan anjing laut, pemburu gajah laur, pemburu kepah atau penyeludup mungkin pernah bertemu dengan wanita itu. Tekaan ini dibuat Morris berdasarkan log kapal dan jurnal menunjukkan bahawa semua kumpulan ini pernah singgah di Pulau San Nicolas.

susan morris

Susan Morris

Salah satu bukti paling menarik datangnya daripada satu artikel yang dikeluarkan oleh akhbar Boston Atlas pada tahun 1847. Ia mengisahkan tentang berdozen kapal yang pernah berlabuh di pulau itu. Dalam salah satu persinggahan itu, sekumpulan pelayar telah menemui seorang wanita yang tinggal di situ.

Walau bagaimanapun, wanita yang ditangkap oleh para pelayar itu telah berjaya meloloskan diri tidak lama kemudian dan bersembunyi. DIa tidak lagi ditemui selepas itu. Namun, kebenaran cerita ini tidak dapat dipastikan.

kubur george nidever

Kubur George Nidever

Akhirnya pada tahun 1853, Juana Maria telah ditemui oleh seorang pengumpul kulit dan bulu haiwan bernama George Nidever. Nidever pernah diminta oleh kumpulan mubaligh Santa Maria Mission untuk mencari Juana Maria sekiranya singgah di pulau itu untuk memburu haiwan.

Ini merupakan cubaan kali ketiga Nidever mencari Maria sambil memburu. Juana Maria kelihatan gembira apabila melihat Nidever serta anak-anak kapalnya dan bersedia untuk mengikuti mereka kembali ke tanah besar.

tugu juana maria

Tugu Juana Maria di Santa Barbara

Di Santa Barbara, Juana Maria telah menjadi tumpuan dan dia telah didatangi ramai orang yang ingin melawatnya. Juana Maria kelihatan seronok dengan layanan yang diterimanya itu.

Malangnya setelah tujuh minggu berada di tanah besar, Juana Maria telah meninggal dunia akibat disentri atau berak berdarah. Dia kemudian dikebumikan di sebuah kubur yang tidak bertanda berhampiran dengan bangunan Santa Barbara Mission.

Rujukan:

1. VC Reporter

2. Missions California

3. Resist

4. Caving News




Hakcipta iluminasi.com (2017)