Secara logiknya, adakah haiwan boleh hidup tanpa kepala? Lebih kurang 70 tahun lalu, Amerika dikejutkan tentang kisah seekor ayam yang masih hidup walaupun tidak berkepala. Bagaimana keadaan ini boleh berlaku? Teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kisah ini.

Bagaimana Ayam Miracle Mike Boleh Menjadi Tidak Berkepala

miracle mike

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mike Ayam Tidak Berkepala, atau turut dikenali sebagai Miracle Mike, adalah sejenis ayam berbaka Wyandotte (baka Ayam Amerika) yang hidup selama 18 bulan selepas kepalanya dipotong. Walaupun ramai percaya bahawa kisah keajaiban ayam ini adalah suatu penipuan, pemiliknya telah membawa ayam berkenaan ke University of Utah di Salt Lake City, Utah bagi membuktikan kebenaran hal tersebut. 

Pada 10 September 1945, seorang petani bernama Lloyd Olsen dari Fruita, Colorado bercadang untuk makan malam bersama ibu mertuanya. Isterinya menyuruh Lloyd untuk menangkap dan menyembelih ayam yang dibela di halaman rumah mereka, dan salah seekor ayam yang dibela adalah Miracle Mike.

ayam miracle mike tidak berkepala 116

Ketika dalam percubaan untuk menyembelih Mike menggunakan sebilah kapak, Lloyd terlepas sasarannya iaitu urat utama (jugular vein). Bahagian depan kepala ayam tersebut terputus, namun sebelah telinga dan sebahagian besar tunjang otak masih utuh di kedudukannya. Kegagalan Lloyd untuk menyembelih Mike dengan kaedah yang betul menyelamatkan nyawa ayam berkenaan, di mana Mike masih dapat berdiri dalam keadaan seimbang, walaupun berjalan dalam keadaan tidak stabil. 

Walaupun tanpa kepala, Mike cuba untuk mematuk makanan dan mengokok, namun gagal. Percubaan untuk mengokok menghasilkan bunyi getaran di tekaknya. Apabila Mike tidak mati, timbul perasaan kasihan dalam hati Lloyd, dan dia akhirnya membuat keputusan untuk menjaga Mike sebaik mungkin. Lloyd memberi Mike campuran susu dan air menggunakan penitis (eyedropper) bersama sedikit bijirin jagung sebagai makanan. 

Mengapa Ayam Miracle Mike Tidak Mati?

ayam miracle mike tidak mati kepala potong

Menurut bedah siasat yang dilakukan oleh University of Utah, Mike masih hidup kerana Lloyd terlepas sasaran urat utama, dan terdapat segumpal darah beku yang menghalang pendarahan Mike. Walaupun kepalanya sudah putus, tunjang otak tidak terjejas.  Memandangkan fungsi asas seperti jantung dan pernafasan masih berjalan seperti normal, Mike mampu untuk terus hidup secara sihat. Ini adalah contoh terbaik 'central motor generators' ayam yang membolehkan fungsi homeostatik asas untuk dijalankan walaupun ketiadaan pusat otak utama. 

Kemasyhuran Ayam Miracle Mike

miracle mike tidak berkepala

Keajaiban yang berlaku ke atas Mike berjaya menarik perhatian seluruh rakyat Amerika. Dengan kemasyhuran Mike, Lloyd mengambil peluang yang ada untuk melakukan tour bersama ayam tersebut. Lloyd memperolehi pendapatan yang lumayan kerana ayam tidak berkepala yang masih hidup adalah sesuatu yang rare dan unik bukan sahaja pada zaman tersebut, malah pada masa kini juga.

Mike dipamerkan untuk tontonan umum dengan bayaran sebanyak 25 sen sebagai tiket masuk. Pada kemuncak popularitinya, Lloyd memperolehi sebanyak $USD4,500 sebulan, bersamaan dengan $USD49,300 bagi nilai hari ini. Miracle Mike juga berjaya menarik perhatian banyak majalah dan surat gambar, dan turut pernah dipaparkan dalam majalah terkenal Time dan Life

Kematian Ayam Miracle Mike Akhirnya Tiba

ayam miracle mike akhirnya mati

Pada tengah malam sekitar Mac 1947, di sebuah motel di Phoenix ketika dalam perjalanan balik daripada tour, Mike tiba-tiba tercekik. Mike sebelum itu cuba untuk memakan bijirin jagung, mungkin tersekat di tekaknya. Lloyd pula secara tidak sengaja tertinggal jarum suntikan makanan ketika persembahan hari sebelumnya, jadi dia tidak berupaya untuk menyelamatkan Mike. 

Ada yang menuduh Llyod menjual ayam tersebut, dan mengatakan bahawa tour Mike masih dilakukan sehingga penghujung tahun 1949. Sumber lain pula mengatakan bahawa trakea ayam itu yang terputus menyekat pernafasan Mike, dan akhirnya menyebabkan kematian ayam tersebut di motel. 

Legasi Ayam Miracle Mike

legasi ayam miracle mike

Mike the Headless Chicken kini adalah sebuah institusi di Fruita, Colorado, dengan sambutan tahunan 'Mike the Headless Chicken Day', pada setiap minggu ketiga bulan May, bermula dari tahun 1999. Antara acara yang dilakukan termasuklah larian 5 kilometer seperti ayam tidak berkepala, balingan telur ayam dan lain-lain permainan. 

Rujukan & Bacaan Tambahan:

  1. insh.world
  2. blogs.scientificamerican.com
  3. en.wikipedia.org
  4. bbc.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)